Oleh Nazmi Yaakub
DAPAT PERHATIAN: Beberapa sarjana sastera turun padang untuk mendengar gagasan Persuratan Baru pada Syarahan Perdana Prof Emeritus Ungku Maimunah. |
Sarjana sastera bidas pengkritik yang dianggap sambil berpihak kepada cerita dalam karya saja
POLEMIK Persuratan Baru bukan isu baru dalam dunia sastera Melayu, bahkan konsep janaan pengarang lantang, Mohd Affandi Hassan itu sudah lama menimbulkan kekecohan pada perbincangan mahupun perdebatan mengenainya.
Bukan sedikit nama besar sasterawan dan pengarang yang dicuit, dijentik serta diketuk dalam proses mengangkat gagasan itu sama ada secara terus-terang atau berkias-ibarat termasuk dalam Syarahan Perdana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Dari awal lagi, syarahan perdana yang disampaikan Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM, Prof Emeritus Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir itu, ‘menyerang’ bukan saja sasterawan, bahkan pengkritik dan dunia kritikan tanah air yang dianggap mengambil sikap berpihak dan sendeng kepada cerita dalam karya saja.
Kritikan sastera hari ini dilihatnya sering meminggirkan aspek faedah dan ilmu, selain memberi istilah baru kepada ilmu dengan menggunakan istilah kebijaksanaan, tetapi tafsiran terbabit untuknya boleh dipertikaikan.
“Dalam keadaan kritikan ‘mesra cerita’ yang terus mendominasi dunia sastera Melayu, kita terpanggil untuk bertanya apakah iklim itu dapat memastikan kemunculan karya besar yang memperlihatkan ketinggian ilmu, keutuhan fikiran dan kepujanggaan pengarang Melayu?,” katanya.
Beliau menamakan empat aliran kritikan dominan yang walaupun menghadirkan pelbagai perkara berbeza, tetapi tidak memperlihatkan perubahan signifikan, sekali gus menyebabkan implikasi peminggiran aspek pertimbangan ilmu dalam karya kreatif dan kritikan.
Aliran pertama yang senang dengan kerangka tema dan struktur, kedua mengambil kira faktor konteks kelahiran karya, ketiga menggunakan kerangka teori luar khususnya Barat manakala keempat mengemukakan kerangka gagasan tempatan.
Prof Emeritus Ungku Maimunah turut membidas tulisan kritikan dengan kerangka tema dan struktur, lebih bersifat memberi gambaran dan tidak analitikal sehingga hanya menceritakan kembali naratif kajian yang ditaburi dengan kutipan daripada karya, sekali gus memperkukuhkan dakwaan kritikan mengutamakan cerita berbanding pertimbangan ilmu.
Sesuai dengan pemahaman kritikan berlegar pada tahap cerita, kritikan dilihat memungkinkan kalangan bukan ‘orang sastera’ seperti sosiologi, sains politik, undang-undang dan pengajian Islam, menceburi bidang terbabit.
“Tanpa pengetahuan formal dalam bidang sastera dan berbekalkan fahaman mengenai cerita secara harfiah, kritikan yang terhasil jelas bertumpu pada aspek cerita, sekali gus memperkukuhkan kedudukan cerita sebagai pertimbangan utama,” katanya.
Kritikan menggunakan pendekatan konteksual pula, meskipun mempunyai persamaan dengan kritikan tema dan struktur, garapannya melampaui teks kajian sehingga menjadikannya lebih luas, tetapi tidak sampai memalingkan pemusatan kritikan daripada cerita kepada ilmu, selain masih memberi keutamaan pada cerita.
“Selepas percambahan teori di Barat khususnya pada dekad 1980-an, penulisan kritikan sastera di negara ini secara terang-terangan memperagakan teori yang dimanfaatkan untuk analisis sehingga timbul pandangan bahawa kritikan yang tidak bersandarkan teori, kurang canggih.
Kritikan yang mengemukakan kerangka gagasan dan teori tempatan, turut tidak terlepas daripada bidasan Prof Emeritus Ungku Maimunah, apabila kemunculannya dianggap hanya mewajarkan keutamaan cerita dalam sastera serta kritikan, selain memperkuatkan cengkamannya dengan mengabsahkan kedudukan cerita.
Dalam syarahan perdana itu juga, tokoh terbabit turut mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kedudukan gagasan Persuratan Baru dengan menganggapnya sebagai anjakan radikal dalam perkembangan penulisan kreatif dan kritikan Melayu.
Malangnya kesempatan itu tidak disempurnakan untuk menerangkan takrif dan konsep ilmu seperti dikehendaki dalam Persuratan Melayu, sehingga seolah-olah menolak hampir semua karya dalam sastera Melayu.
Sebaliknya, syarahan perdana itu lebih ditaburi dengan keinginan untuk memberi sifat yang muluk kepada Persuratan Baru, tanpa menghuraikan kaitan gagasan berkenaan dengan sifat terbabit, selain membezakan konsep cerita dan ilmu, sastera dan persuratan serta sasterawan dan pengarang secara sepintas lalu.
Syarahan perdana itu juga tidak memberi contoh praktikal untuk melahirkan karya bertepatan dengan gagasan Persuratan Baru, terutama menerangkan konsep ilmu yang sebenarnya berdasarkan perspektif Islam dilahirkan dalam karya.
Kenyataan ‘pekerjaan kalam’ yang sewajarnya ditangani oleh kelompok arif dan bijaksana seperti dikemukakan pada syarahan perdana itu, diakui kebenarannya dan mungkin sudah sampai masanya untuk semua pihak menelaah teks sastera secara arif, agar lapisan makna dalam karya dapat diselak untuk dinikmati ilmunya.