Oleh Ihsan Noorzali
Program pupuk semangat generasi muda hargai, martabat budaya bangsa
TANJONG MALIM: Ketika situasi budaya bangsa kebanyakan negara lain seakan makin terhakis dilanda arus globalisasi, budaya warisan bangsa tanah air tidak wajar dilupakan oleh generasi hari ini.
Masyarakat pelbagai etnik di negara ini mencerminkan keunikan seni dan budaya bangsa yang perlu dipertahankan sebaik mungkin oleh generasi hari ini sebagai kesinambungan demi masa depan warisan bangsa.
Budaya dan warisan bangsa pelbagai etnik di negara ini ternyata mempunyai nilai positif seperti unsur pendidikan yang boleh membentuk keperibadian mulia daripada terjerumus ke kancah gejala sosial yang boleh menghancurkan peradaban bangsa.
Demi menyahut seruan kerajaan agar budaya dan warisan bangsa dimartabatkan sebaik mungkin, baru-baru ini Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Simfoni Cinta Warisan 2008 (SCW) di dataran kolej berkenaan.
Pengarah program itu, Umie Nurmiyati Lapawi, berkata program SCW diadakan bagi melahirkan perasaan cintakan seni dan warisan bangsa di kalangan mahasiswa UPSI dan masyarakat setempat khasnya generasi hari ini dalam meniti cabaran zaman .
"Selain itu, program berkenaan juga menguji keupayaan semua biro dalam JMK menyerlahkan bakat serta kebolehan mereka dalam pengendalian majlis sebelum mereka melangkah keluar meninggalkan alam kampus untuk bergelar pendidik,” katanya dalam satu pertemuan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, antara aktiviti menarik sepanjang program SCW termasuk malam gema warisan Islam, pertandingan gubahan warisan, pertandingan masakan negeri, persembahan wayang kulit Seri Asun, bengkel istana kasih, permainan rakyat, pertandingan kesenian Islam (azan, khat dan menulis jawi) serta, persembahan silat gayung, silat cekak serta kumpulan nasyid dari Kolej Harun Aminurrashid.
Persembahan wayang kulit Seri Asun dengan Tok Dalangnya dikenali sebagai Pak Majid yang menggabungkan watak lama berbicara dalam konteks isu semasa begitu menggelikan hati.
Antara artis jemputan yang menyemarakkan warisan kesenian Islam pula termasuk Amar yang menyanyi dan bermain silap mata, kumpulan nasyid Fareast serta Hijjaz.
Selain itu, sebuah kumpulan nasyid UPSI, Destiny yang aktif membuat persembahan dalam pelbagai program anjuran kolej kediaman berpotensi memeriahkan persada nasyid tanah air turut membuat persembahan .
Pada malam Gema Warisan Islam, Destiny buat pertama kalinya menyampaikan lagu sendiri iaitu `Terima Kasih Bonda ' ciptaan Ketua Jabatan Muzik , Fakuiti Seni dan Muzik, Raja Azuan Nahar Raja Adnan.
Yang Dipertua JMK, Mohd Zulhalmi Hussin berkata, tujuan kolej itu menganjurkan pelbagai program warisan adalah bagi memupuk kesedaran pelajar serta masyarakat setempat menghargai warisan pelbagai etnik dan kesenian Islam.
Beliau berkata, generasi hari ini mungkin kurang mengamalkan permainan rakyat seperti congkak dan batu seremban, tetapi melalui program itu ia memberi peluang peserta bermain permainan tradisional itu.
“Bagi mengeratkan hubungan kolej dan pihak media, turut diadakan Breakfast Talk bersama Berita Harian selepas pelajar menyertai senamrobik yang dikendalikan instruktor Zainab Husin dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI," katanya.
Sementara itu, Pengarah program Breakfast Talk, Azhar Abdul Rahman berkata, kali ini Pengarang Berita Pendidikan Berita Harian, Tamrin Anuar dijemput menyampaikan syarahan bertajuk `Pendidikan Dalam Akhbar Berita Harian' untuk lebih 300 pelajar Kolej Harun Aminurrashid, UPSI .
Beliau berkata, pelajar UPSI ingin membuktikan bahawa dalam kesibukan mereka mengejar cita-cita dalam bidang akademik, mereka masih mampu mengendalikan program seumpamanya sebagai menimba pengalaman sebelum bergelar pendidik.
Tamrin menyampaikan ceramah mengenai aspek kandungan berita dan mengapa akhbar Berita Harian perlu melakukan perubahan demi perubahan bagi menepati cita rasa pembacanya dari masa ke semasa.
Sehubungan itu, Azhar berkata, pelajar UPSI perlu menjadikan amalan membaca akhbar sebagai budaya bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang dan isu semasa sebagai persiapan menjadi seorang pendidik yang berwibawa.
Pengetua KHAR, Mohd Nizam Nasrifan berkata, program SCW diadakan bertujuan memupuk rasa cinta pelajar terhadap seni dan budaya tempatan dari pelbagai etnik, kesenian Islam serta permainan rakyat.
"Selain itu kami juga menganggap media atau akhbar sebagai pihak yang amat membantu mempromosi pelbagai program sama ada di peringkat kolej atau universiti," katanya.
Beliau berkata, pelajar juga dapat mengetahui peranan akhbar perdana khasnya Berita Harian dalam mengangkat martabat dunia pendidikan melalui ruangan pendidikan yang disediakan.
Majlis penutup program itu disempurnakan Pensyarah Sains Sosial dan Kemanusiaan UPSI, Prof Datuk Dr Yaacob Harun dengan dimulai sambutan kompang, perarakan sirih junjung serta persembahan silat gayung serta memotong pulut kuning.
Dalam ucapannya Yaacob berkata, program itu adalah usaha murni ke arah melahirkan pendidik yang akan meneruskan tugas mereka menyemaikan rasa cinta warisan bangsa kepada generasi muda.