Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Sentral: Mercu tanda baru Melaka


Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

Menara Taming Sari dengan reka bentuk unik beri peluang pelancong lihat panorama sekitar bandar raya

MELAKA: Dengan reka bentuknya menyerupai keris Taming Sari, keris legenda milik pahlawan terbilang, Hang Tuah pada zaman kegemilangan Melaka, Menara Taming Sari di Bandar Hilir kini muncul sebagai mercu tanda baru yang bakal melonjakkan lagi nama negeri ini sebagai destinasi pelancongan paling menarik dilawati.

Menara unik ini iaitu tarikan pelancongan pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, dibina dengan mengambil model The Super Gyro Tower 1200 yang ketika ini hanya terdapat di enam lokasi di seluruh dunia.


Lokasi berkenaan adalah di Sea World Parks San Diego; Six Flags Magic Mountain, Valencia, California; Carowinds (Paramount) di Charlotte, Carolina Utara; Hershey Park, Pennsylvania; Knot's Berry Farm, Anaheim, California, semuanya di Amerika Syarikat serta di Shanghai, China.

Menara Taming Sari dijadualkan beroperasi awal bulan ini, selepas semua kerja pembinaan struktur berkaitan seperti kaunter membeli tiket, restoran dan gerai cenderamata disiapkan sepenuhnya serta memenuhi semua spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Dengan ketinggian 110 meter, projek menara berputar ini yang pembinaannya turut mendapat sokongan kuat Kerajaan Pusat membolehkan pelancong dan rakyat Melaka menikmati keindahan panorama sekitar bandar Melaka dari lokasi tinggi dengan perasaan seronok dan teruja.

Mengikut maklumat diberikan, kabin pengangkut menara unik ini mampu memuatkan 80 penumpang dalam satu masa, bagi satu perjalanan yang memakan selama satu minit untuk sampai ke puncak dan dalam tempoh sama juga, ketika menuruninya.

Kabin ini akan berhenti pada ketinggian 80 meter iaitu lokasi perhentian, sebelum berputar sebanyak 360 darjah, bagi membolehkan setiap pengunjung yang menaikinya menikmati pemandangan bandar Melaka dan Sungai Melaka. Tempoh berhenti di sini, adalah lima minit.

Orang ramai yang ingin menaiki kemudahan ini perlu membeli tiket masing-masing berharga RM10 bagi dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak. Ia boleh diperoleh di kaunter berhampiran menara berkenaan yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menyorot pembinaan projek Menara Taming Sari, ia sebenarnya adalah hasil cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang ingin melihat Melaka menjadi destinasi pelancongan utama di negara ini meskipun tidak memiliki sumber alam semula jadi seperti beberapa negeri lain di Malaysia.

Berikutan itu, projek ini dirancang dengan teliti dan hanya dilaksanakan kerajaan negeri selepas hasil kajian mengesahkan ia tidak akan menjejaskan ekologi, pemandangan, selain tidak akan merosakkan struktur warisan serta sejarah di kawasan terbabit.

Pemilihan konsep binaan yang menyerupai keris Taming Sari pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pula diharap dapat memberi peluang kepada generasi akan datang untuk terus menghayati warisan legenda kepahlawanan Hang Tuah dan sejarah Melayu Melaka.

Mohd Ali berkata, pembinaan Menara Taming Sari pastinya bakal menjadi satu lagi produk pelancongan utama Melaka dan menaruh keyakinan kira-kira 500,000 pelawat akan menaiki menara itu pada tahun pertama ia beroperasi.

"Menara ini adalah satu lagi kebanggaan penduduk Melaka yang diharap mampu melonjakkan nama negeri ini sebagai destinasi pelancongan paling menarik dilawati. Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas sokongannya terhadap projek ini dan berharap ia bakal menjadi mercu tanda terbaik di Melaka," katanya.

Sebelum ini Melaka sering kali dikenali sebagai negeri yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah berharga negara seperti Kota A'Famosa dan Bangunan Stadhuys, tinggalan penjajah Portugis dan Belanda. Selain itu, ia juga memiliki Sungai Melaka yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menaiki bot pesiaran dan Jonker Walk.

Tidak ketinggalan 21 muzium yang menyimpan pelbagai barangan lama dan tinggalan sejarah, selain sebuah zoo di Ayer Keroh yang menempatkan pelbagai jenis haiwan.

Pembinaan Menara Taming Sari dilaksanakan oleh Kumpulan Melaka Berhad (KMB), sebuah agensi milik kerajaan negeri. Ia turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Jabatan Warisan Negara bagi memastikan projek ini memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Projek ini sebelum ini dihentikan pembinaannya pada November lalu berikutan penemuan tembok bersejarah dipercayai kota lama Portugis di tapak asal projek tidak jauh dari kawasan itu, sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang di Taman Bunga Merdeka, bersebelahan Dataran Pahlawan Megamall Melaka.

Mohd Ali berkata, kerajaan negeri berharap pembinaan projek ini akan juga menjadi satu cabang ekonomi yang dinamik sekali gus mampu memberi pulangan menguntungkan kepada rakyat serta negeri Melaka.

Walaupun tidak setinggi Menara Kuala Lumpur, katanya, Menara Taming Sari mampu melonjakkan angka bilangan pelancong ke negeri ini dari semasa ke semasa.

"Dengan kombinasi tiga produk baru pelancongan berdekatan iaitu Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan Megamall Melaka dan Sungai Melaka, ia pasti menjadi pakej pelancongan yang mampu menawarkan keuntungan kepada pelancong, di samping produk sedia ada di sekitarnya iaitu Jonker Walk, kompleks warisan sejarah dan kawasan membeli belah," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini meletakkan sasaran menarik kedatangan 6.8 juta pelancong sepanjang tahun ini, berbanding 6 juta tahun lalu. Pada 2005, Melaka berjaya menarik kedatangan 4.7 juta pelancong manakala 4 juta pada 2004; 3.6 juta (2003); 2.9 juta (2002); 2.5 juta (2001) dan 2.1 juta (2000).

FAKTA: Menara Taming Sari

  • Model: The Super Gyro Tower 1200

  • Buatan: Switzerland

  • Ketinggian Menara: 110 meter

  • Ketinggian Perjalanan Kabin Penumpang: 80 meter

  • Muatan Kabin Penumpang: 80 orang

  • Kabin Penumpang Berputar: 360 darjah

  • Diameter Menara Tinjau: 2.75 meter

  • Diameter Kabin Penumpang: 14 meter.
  •