Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Adat Dusun Lotud masih kekal teguh


Oleh Johary Indan




Soal perkahwinan ditentukan ikut adat walaupun segelintir masyarakat mempunyai kepercayaan agama masing-masing

SEBAGAI satu daripada etnik tradisi Sabah, masyarakat Dusun Lotud masih berpegang teguh kepada budaya dan kepercayaan adat resam warisan generasi silam yang menjadi amalan hingga sekarang.

Antaranya, soal perkahwinan yang ditentukan mengikut adat walaupun segelintir masyarakat itu sudah mempunyai kepercayaan agama masing-masing.


Adat penentuan perkahwinan yang menjadi amalan itu dipastikan tidak bercanggah dengan tuntutan agama, sebaliknya lebih menjurus kepada simbolik dalam memastikan warisan tidak hilang ditelan zaman.

Ketua Anak Negeri (KAN) Tuaran, Saniban Amphila, berkata adat diamalkan bagi segala perlakuan yang dibentuk tradisi dan diikuti turun-temurun.

"Masyarakat Dusun Lotud mengutamakan lima proses sebelum gerbang perkahwinan diintai.

MAJLIS perkahwinan Dusun Lotud tidak lengkap tanpa persembahan alat muzik tradisional kulintangan.

"Ia membabitkan merisik atau dalam `suruhan' dalam bahasa Dusun Lotud, monunui (bertunang), popiodop (bermalam), matod (kahwin) dan mirapou (adat)," katanya ketika ditemui di Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

Kira-kira 10,000 masyarakat Dusun Lotud mendiami 35 perkampungan di Tuaran dan mereka turut maju seiring pembangunan negara, termasuk memperoleh pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang serta bergiat aktif dalam politik tanah air.

Kajian Pertubuhan Dusun Sabah Bersatu (Usda) mendapati, seramai 319 generasi Dusun Lotud dari Tuaran adalah graduan beberapa institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara sehingga 2006.

Mengikut sejarah, masyarakat itu mendapat panggilan sebagai Dusun Lotud, selepas melihat wanita etnik terbabit yang gemar berpakaian hingga paras lutut.

GAYA seorang lelaki Dusun Lotud.

Dalam bahasa Dusun Lotud, lutut disebut `otud', manakala perkataan Dusun pula adalah panggilan orang Brunei bagi golongan itu yang mempunyai kebun pertanian.

Berikutan itu, kerajaan British yang memerintah Borneo pada 1881-1941, menggunakan perkataan Dusun sebagai merujuk kepada golongan Dusun Lotud yang kemudiannya turut dikenali sebagai Suang Lotud.

Saniban berkata, asal-usul Dusun Lotud kurang diketahui tetapi mengikut cerita mulut, kaum itu dipercayai berasal dari Nunuk Ragang di Kampung Tampias, Ranau.

"Mereka berpecah dan menjadi pelbagai suku serta puak tetapi dari sudut etnologi, besar kemungkinan masyarakat Dusun adalah rumpun Mongol dari China, Shan dan Kaohin, Burma atau Paiwan, Taiwan," katanya.

Sebelum 1950-an, katanya, pasangan hidup kaum Dusun Lotud dipilih ibu bapa yang perlu dipatuhi.

"Tujuannya ialah memastikan anak mereka mendapat keturunan baik seperti berbudi pekerti mulia dan rajin, selain mengelak berlaku perbuatan sumbang di kalangan keluarga," katanya.

Pun begitu, lelaki Dusun Lotud dibenarkan berpoligami dan menceraikan isteri dengan pembahagian harta sepencarian diselesaikan mengikut hukum adat Mahkamah Anak Negeri.

Saniban berkata, ketika upacara monunui dilangsungkan, kedua-dua pihak yang bakal disatukan diwakili ketua kampung bagi memulakan perbincangan, dengan wakil perempuan membuat permintaan terlebih dulu.

"Pemberian wajib sebagai harga diri perempuan ialah RM1,000 manakala barangan antik sebagai hantaran perlu disediakan lelaki sebelum hari perkahwinan dalam tempoh setahun.

"Selain itu, perbelanjaan dapur RM5,000 ke atas dan seekor kerbau perlu disediakan. Adat berian tanah bergeran juga wajib bagi Dusun Lotud dinamakan `pinolusadan do aluwia' dengan keluasan tanah cukai 25 sen," katanya.

Saniban berkata, berian tanah itu bertujuan dijadikan tapak rumah pasangan itu, selepas mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak.

Katanya, sijil perkahwinan akan dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri kepada pasangan Dusun Lotud selepas upacara persandingan dan meraikan pasangan itu selesai.