Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Rahsia aksi lagak ngeri


Oleh Fairuz Zaidan




Aksi berbahaya, cemas lariskan filem, drama

SEMESTINYA adegan lagak ngeri menjadi 'klimaks' dan saat yang ditunggu-tunggu bila menonton sesebuah filem aksi. Melihatkan aksi lagak ngeri terasa berbaloi dengan bayaran untuk sekeping tiket wayang. Masakan boleh dilupakan adegan terjun bangunan, melayang ke udara mahupun aksi kemalangan yang bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

Walaupun berdebar menyaksikan adegan mencemaskan sebegitu, realitinya aksi itu yang ditagih penonton. Lihat saja produksi besar dari Hollywood dengan genre filem aksi yang tidak sepi dengan adegan merbahaya dan ekstrim sehingga membuatkan filem itu laris bagai goreng pisang panas!


Ramuan pelbagai aksi lagak ngeri yang dipaparkan dalam sesebuah filem itulah menjadi pelengkap resepi kejayaan sesebuah filem. Lagi banyak adegan remuk, pecah, melambung, terbang dan luka-luka maka lagi hebat sambutan penontonnya.

Senario sebegitu sudah menjadi kelaziman untuk memancing perhatian penonton untuk memenuhi kerusi panggung.

Jika dulu babak terjun bangunan, memanjat bangunan tinggi mahupun bergaduh sudah dikira sebahagian daripada aksi lagak ngeri, hari ini pula aksinya lebih agresif dan begitu mencabar dilakukan. Ditambahkan lagi dengan bantuan teknik pengimejan komputer (CGI), sudah tentu adegan bertambah sempurna dan semula jadi.

Saharuddin Yusof, Pelakon lagak ngeri

Di negara ini juga tidak kurang gahnya dalam mengetengahkan aksi babak ngeri. Lihat saja filem mahupun drama yang akhir-akhir ini semakin menonjolkan adegan lasak dan mendebarkan sebagai cubaan menyaingi produksi luar negara dalam pembikinan aksi sebegitu.

Bagi mereka yang kurang tahu selok-belok perjalanan belakang tabir sesebuah produksi drama dan filem mungkin menganggap aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh pelakonnya, walhal kebanyakan aksi mencemaskan dan merbahaya dilakukan pelakon lagak ngeri.

Peranan pelakon lagak ngeri yang profesional begitu penting dalam menghidupkan sesuatu watak. Malah, khidmat profesional itu banyak membantu perkembangan karier pelakon utama.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, pengusaha filem dan drama tempatan sudah mula memberanikan diri menonjolkan adegan lasak yang mana khidmat pelakon lagak ngeri menjadi resipi utama sebagai kekuatan sesuatu jalan cerita. Kadangkala, aksi yang dipaparkan pelakon lagak ngeri ini begitu mengujakan hingga terbit rasa kagum dengan keupayaan mereka memperjudikan nyawa sendiri.


Bukankah mengundang padah jika tersilap percaturan sekali gus membahayakan nyawa sendiri?

"Kalau hendak difikirkan soal bahaya dan keselamatan diri, di mana-mana pun seseorang itu sentiasa terdedah dengan bahaya. Prinsipnya mudah saja, ajal maut di tangan tuhan. Cuma, penting untuk diingati, setiap yang dilakukan itu harus ada garis panduan dan hitam putih perjanjian untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak baik daripada berlaku.

"Bukan setakat hanya melakukan tanggungjawab yang diberi untuk adegan lagak ngeri, seseorang pelakon lagak ngeri juga harus memikirkan risiko dan membuat ulang kaji untuk sesuatu babak aksi sebelum bersedia melakukannya.

"Selain menitikberatkan aspek keselamatan di lokasi penggambaran, penting sekali perjanjian hitam putih yang melindungi keselamatan pelakon lagak ngeri sendiri harus diambil kira khususnya dalam perlindungan insurans nyawa jika berlaku perkara yang tidak diingini," jelas pelakon lagak ngeri terkenal Malaysia, Saharuddin Yusof.

Beliau yang sudah hampir 20 tahun membabitkan diri dalam aksi lakonan lagak ngeri menjelaskan yang faktor disiplin adalah kunci utama untuk seseorang pelakon lagak ngeri berjaya dalam bidang berkenaan.

Banyak terbabit dengan produksi filem, drama dan iklan komersial, Saharuddin berkata, peranan pelakon lagak ngeri penting dalam memberi kesan pada sesuatu jalan cerita, sekali gus berupaya menghangatkan lagi babak di dalam sesebuah drama mahupun filem.

"Namun, pelakon lagak ngeri hanya terbabit di belakang tabir dan tidak popular seperti pelakon," katanya tergelak menceritakan peranannya yang hanya menggantikan pelakon asal dalam menghidupkan sesuatu watak dalam adegan lasak dan mendebarkan.

Ditanya mengapa kerjaya itu yang menjadi pilihannya, Saharuddin berkata, selain sukakan sesuatu cabaran, kemahiran lagak ngeri itu sudah menjadi seakan 'asam garam' baginya yang pernah berkhidmat selama 10 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sememangnya kalau dilihat sesuatu babak dalam filem mahupun drama yang nampak seakan benar-benar dilakonkan pelakon utamanya seperti babak kemalangan, pergaduhan dan melompat antara bangunan ke bangunan yang lain, sedangkan di sebaliknya aksi sebegitu dilakonkan insan profesional bergelar pelakon lagak ngeri.

Seperti kata Saharuddin, bagi penonton yang tidak tahu pasti berasa teruja dengan kemampuan pelakon asal, walhal aksi merbahaya sebegitu menggunakan khidmat profesional insan sepertinya.

Ramai pelakon handalan dan terkenal baik di negara ini mahupun di luar negara jarang memperjudikan nyawa sendiri untuk menjayakan sesuatu babak cemas kerana mereka bukanlah seperti pelakon terkenal Jackie Chan mahupun Jet Li yang yakin dengan kemampuan diri sendiri dalam melakukan aksi sedemikian.

INFO

BERHASRAT untuk menceburi bidang mencabar dan ekstrem itu, ikuti terlebih dulu beberapa garis panduan dan cabaran yang tersendiri yang harus ditempuhi seorang pelakon lagak ngeri.

1 - Waktu bekerja

Di sesebuah negara, khidmat seseorang pelakon lagak ngeri sentiasa diperlukan bagi menjayakan banyak aksi lagak ngeri untuk sesetengah produksi. Tidak keterlaluan ada di kalangan pelakon aksi ekstrem ini yang mampu mengumpul kekayaan kerana sering ke luar negara untuk melakonkan babak ngeri.

2 - Pelajaran

Sesetengah orang mendapat ilmu dan kemahiran di sekolah lagak ngeri sebagaimana yang ditawarkan di California dan Florida. Di sana, pelakon lagak ngeri profesional memberi bimbingan sempurna untuk pelatih baru yang berhasrat menjadi pelakon lagak ngeri profesional. Bagaimanapun, ramai di kalangan pelakon lagak ngeri sedia ada tidak mendapat bimbingan khusus di sekolah kerana yakin dengan kemampuan diri sendiri selain minat dan mendapatkan bimbingan daripada mereka yang berpengalaman.

3 - Kesabaran

Faktor sabar adalah kunci utama kejayaan seseorang pelakon lagak ngeri. Jika tidak mementingkan kesabaran, seseorang pelakon lagak ngeri terdedah dengan kemalangan dan tidak mustahil boleh membawa maut.

4 - Insurans

Seseorang pelakon lagak ngeri disarankan untuk mengambil insurans nyawa yang boleh melindungi aspek keselamatan dirinya sepanjang menjayakan babak mencemaskan. Menerusi perjanjian hitam putih dengan sesuatu produksi mampu menjadi bahan bukti untuk membuat tuntutan sekiranya terdapat kemalangan.

5 - Bayaran

Kadar bayaran yang diterima seseorang pelakon lagak ngeri itu bergantung kepada pengalaman aksi bahaya yang dilakukan mereka.