Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Pua kumbu punyai nilai seni dan mistik


Oleh Norma Mullie




PUA kumbu bermakna selimut untuk membalut namun bagi suku Iban di Sarawak tekstil itu memainkan fungsi yang amat besar dalam budaya, upacara dan kepercayaan masyarakat itu.

Sebagai hasil tenunan terbaik di rantau ini, tekstil itu juga memberi gambaran mengenai jiwa suku kaum terbesar di Sarawak itu, selain kedudukan wanita dalam kehidupan masyarakat yang sering dikaitkan dengan amalan memenggal kepala itu serta semangat kepahlawanan itu.

Bagaimanapun, wanita kaum Iban yang pakar dalam pelbagai aspek proses menenun pua juga dianggap setaraf dengan wira perang, yang bermakna pua adalah medan peperangan wanita Iban.


Pua pula masih digunakan secara meluas di kalangan masyarakat itu termasuk upacara pelbagai jenis gawai, upacara memandi bayi, kematian dan perubatan tradisional.

Didorong keunikan dan nilai seni serta mistik pua dalam masyarakat itu, seorang pencinta dan pakar tekstil itu, Senator Datuk Seri Empiang Jabu, 63, berjaya mengumpul dan memiliki kira-kira 600 helai pua dari seluruh Sarawak sejak 40 tahun lalu.

Empiang yang juga, isteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, berkata beliau mula mengumpul kain tenun itu sejak muda kerana sesetengah koleksi beliau memang diwarisi dari keluarganya yang menduduki rumah panjang di bahagian Betong.

KAIN pua kumbu bukan sahaja boleh dijadikan kain hiasan, malah boleh dijadikan sarung bantal, alas pinggan, kain cuci tangan dan juga kulit menu makanan.

Bagaimanapun, antara kain yang paling tua dalam simpanan beliau adalah hasil tangan dan pemberian ibu mertuanya.

"Kain itu berusia sekitar 100 tahun dan kini masih dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Empiang berkata, lazimnya pua bermotif alam seperti pucuk rebung, ular, naga, bunga, burung, lipan, daun dan beluncas.

Namun keistimewaan pua adalah terletak pada coraknya yang unik kerana si penenun memperolehi ilham membuatnya melalui mimpi.

Hanya penenun yang mencapai tahap tertinggi dan berpengalaman mendapat inspirasi seumpamanya.

Jika penenun yang kurang berpengalaman cuba meniru corak berkenaan, mereka dieprcayai akan `layu' atau mengalami masalah kesihatan.

Penenun yang berpengetahuan untuk mencipta corak pua itu dikenali sebagai `indu ka pandai nengkebang, diikuti indu ka pandai nakar' atau wanita yang tahu mengadun warna untuk membuat pua.

Hiraki terendah wanita dalam masyarakat Iban ialah 'indu temuai indu lawai' yang merujuk kepada wanita bersopan, manakala 'indu paku tubu' adalah wanita yang hanya tahu mencari makanan di hutan.

Empiang berkata, tidak dinafikan sukar menemui wanita Iban yang mencapai tahap indu ka pandai nengkebang kerana menenun menuntut kesabaran yang tinggi, selain faktor kos bahan tenunan yang kian meningkat sekarang.

Dalam usaha memastikan seni itu tidak dilupakan terutama di kalangan generasi muda, beliau bekerjasama dengan sekumpulan wanita dari Rumah Panjang Garie, Sungai Kain, Kapit, untuk menghasilkan pua secara komersial.

Mereka dibimbing penenun pua yang terkenal di Sarawak, Bangie Embol.

Hasil tenunan Bangie pernah disiarkan dalam majalah asing seperti Vogue, selain dipamerkan di Bangunan UNESCO, Paris serta dalam koleksi pencinta tekstil dari Sweden, Switzerland, India, Jepan dan India.

"Saya bekerjasama dengan mereka kerana wanita dari rumah panjang menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan pua bermutu tinggi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pereka fesyen tempatan dan asing kerana berminat memuatkan corak pua dalam cipataan mereka dan ini memastikan seni itu tidak lapuk ditelan zaman," katanya.

INFO: Pua kumbu

  • Pua kumbu bermakna selimut untuk membalut namun bagi suku Iban di Sarawak.
  • Memainkan fungsi yang amat besar dalam budaya, upacara dan kepercayaan masyarakat itu.
  • Wanita kaum Iban yang pakar dalam pelbagai aspek proses menenun pua juga dianggap setaraf dengan wira perang.
  • Pua masih digunakan secara meluas di kalangan masyarakat itu termasuk upacara pelbagai jenis gawai, upacara memandi bayi, kematian dan perubatan tradisional.
  • 2 meter panjang maksimum pua kumbu.
  • Lapan bulan tempoh menenun sehelai kain pua.
  • RM500 anggaran kos menghasilkan sehelai pua.
  • RM20,000 anggaran harga pua berdasarkan usia dan corak