Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Anak tempatan reka jaket Nike 2020


Oleh Diyanah Anuar


Syaiful Baharim

Syaiful terap elemen tradisional untuk pakaian sukan

KEMAJUAN dan pembaharuan yang sering dikaitkan dengan kehadiran tahun 2020 tidak hanya tertakluk kepada aspek sains dan teknologi semata-mata tetapi lebih menyeluruh, yang mana ia turut meliputi bidang fesyen.

Pada era itu nanti, kebanyakan orang menyatakan dunia fesyen akan banyak dipengaruhi elemen futuristik serta dipenuhi rekaan yang kreatif dan inovatif.


Masing-masing mempunyai gambaran dan ramalan tersendiri mengenai wajah fesyen 2020. Begitu jugalah empat pereka muda, Khoon Hooi (pereka fesyen), Tuck Loong (pereka multimedia), Syaiful Baharim (pereka fesyen) dan Lestat (pereka untuk produk Radioactive) yang meluahkan idea mengenai ilham gaya 2020 mereka ke atas sehelai jaket sukan Nike.

Keempat-empat mereka dipilih Nike dalam projek istimewa, Wind-Runner 2020, yang mana masing-masing dikehendaki menghasilkan satu rekaan yang menampilkan `terjemahan' 2020 pada jaket Wind-Runner Nike.

Ia bukanlah sebuah pertandingan untuk mencari rekaan terbaik tetapi untuk menghimpun idea kreatif mengenai gambaran masa depan menerusi pakaian sukan yang disifatkan tidak pernah ketinggalan zaman, The Wind Runner.



Projek ini turut disertai peserta dari serata Asia Tenggara. Dua puluh enam jaket Wind Runner versi 2020 akan dihasilkan dan koleksi istimewa ini akan sentiasa relevan sehingga menjelangnya 2020.

Terdapat juga idea untuk mengeluarkan koleksi terhad rekaan dari pereka Malaysia ini di cawangan butik Nike namun ia masih dalam perbincangan.

i-Kon berkesempatan menemubual seorang daripada pereka Wind-Runner 2020 iaitu Syaiful Baharim, pereka muda yang kian meningkat namanya dalam industri fesyen tanah air.

Bila agaknya anda menerima tawaran daripada Nike untuk terbabit dalam projek ini?

Kalau tidak silap, mereka mengundang saya untuk menjayakan projek ini sekitar Ogos atau September tahun lalu (2007). Ketika itu saya baru selesai mengadakan sebuah pertunjukan fesyen.

Apa perasaan anda apabila menerima tawaran daripada pengeluar produk sukan terkemuka seperti Nike?

Amat gembira. Walaupun ketika tawaran itu diterima saya agak sibuk dengan pelbagai urusan dan perancangan, peluang yang baik seperti ini saya terima dengan tangan terbuka dan sejak awal lagi saya berazam untuk memberikan yang terbaik.

Bagaimana anda memperoleh idea untuk menghasilkan rekaan ini?

Selepas menerima tugasan ini, saya menyiapkan kira-kira lima lakaran. Semua lakaran rekaan menampilkan ciri tradisional yang bagi saya tidak lapuk dek zaman. Saya memilih fabrik berona putih, menampilkan elemen rekaan tradisional seperti jahitan dan sulaman kerawang serta ciri potongan kebaya pada jaket Wind Runner ini. Garis 26 darjah pada bahagian dada jaket masih dikekalkan sebagai identiti koleksi Wind Runner yang sudah berusia 25 tahun ini.

Warna putih dipilih kerana ia mencerminkan keaslian. Fabriknya juga sedikit bertekstur dan hiasan kerawang terdapat di kaki baju bahagian hadapan (berpotongan kebaya) serta pada hud.

Hiasan kerawang dan potongan ala kebaya kedengaran agak janggal untuk pakaian sukan. Bagaimana anda memastikan rekaan ini tidak kelihatan janggal?

Kombinasi ini mungkin agak janggal. Oleh itu, saya menampilkan elemen tradisional ini secara minimum seterusnya menghasilkan rekaan windbreaker (jaket) yang lebih praktikal. Hiasan kerawang yang ada pada jaket ini sebenarnya, tidak begitu menonjol. Ia dapat dilihat pada jarak yang dekat saja.

Anda dikenali dengan rekaan yang kebanyakannya berciri feminin sebelum ini. Adakah ia suatu cabaran yang besar bagi anda untuk menghasilkan rekaan untuk pakaian sukan?

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menghasilkan rekaan begini (berciri sukan). Sebelum ini, pernah juga saya menghasilkan koleksi berciri sedemikian. Cuma, untuk projek ini, ia benar-benar mencabar kreativiti bagi menghasilkan sesuatu idea yang asli dan menepati konsep serta identiti koleksi ini.

Adakah anda berpuas hati dengan usaha anda ini?

Cukup berpuas hati. Segala pengalaman yang saya timba sebelum ini dapat saya praktikkan. Perkembangan seperti inilah yang saya inginkan dalam perjalanan kerjaya saya dalam bidang ini. Saya tidak mahu statik saja. Sejak menceburi bidang ini, saya sudah memasang impian dan kini sebahagian besar daripadanya sudah terlaksana. Bagi saya, kerjasama dengan jenama besar seperti Nike ini amat bermakna kerana ia memberi pendedahan yang baik untuk saya selain memberi peluang untuk saya untuk belajar lebih banyak lagi.

Apa pula projek anda yang selepas ini?

Untuk tahun ini, ada beberapa lagi usaha sama seumpama ini yang akan dijalankan. Selain itu, saya akan mempamerkan koleksi terbaru Syaiful Baharim, baik koleksi sedia pakai, pengantin dan juga koleksi untuk lelaki tidak lama lagi.


Kenali Syaiful

SYAIFUL Baharim adalah antara pereka fesyen yang menyinar pada tahun 2007. Memiliki pemikiran yang inovatif, Syaiful memberi sentuhan segar dalam arena fesyen tempatan. Rekaan yang dihasilkannya sentiasa menampilkan kejutan serta menyerlahkan gaya sesiapa yang memakainya.

Gaya klasik yang digabung dengan cita rasa urban dengan potongan dan tekstur yang tampak mewah menjadi identiti dan keunikan rekaan Syaiful.

Tidak hairanlah jika graduan Ijazah Seni Rekaan (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sudah beberapa kali menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya tempat kedua Anugerah Pereka Anggun Rias 1998, juara Anugerah Jarum Berlian Rias 2002, tempat keempat Piala Batik Seri Endon 2003, Rekaan Kasual & Avant-garde terbaik di Malaysia International Fashion Award 2004 dan juga juara Mercedes Benz Asia Fashion Award (MBAFA) 2006.

Beliau muncul sebagai pereka fesyen tempatan pertama yang memenangi anugerah antarabangsa yang cukup diidam-idamkan itu.

Selepas diiktiraf sebagai pemenang MBAFA, Syaiful diberi peluang mempamerkan koleksi rekaannya pada Minggu Fesyen Mercedes (Mercedes Fashion Week-MAFW) yang berlangsung pada bulan April 2006 di Sydney, Australia.

Di ruang Circular Quay, beliau bersama enam pereka muda lain mempersembahkan 10 rekaan daripada koleksinya yang menaikkan nama beliau dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

Hadiah kemenangannya, Syaiful berpeluang menimba ilmu bersama pereka antarabangsa, Ashley Isham di London selama enam minggu sebelum ke Mercedes-Benz Advanced Design Centre di Jepun selama empat minggu.