Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Cipta kelainan rai tetamu


Oleh Diyanah Anuar




SETIAP kali mahu mengadakan jamuan keraian, hati tentunya gusar. Pelbagai perkara harus difikirkan daripada hidangan enak hinggalah kepada pengisian acara bagi menambat tetamu. Sajian enak semata-mata tidak cukup untuk menjadikan majlis meriah dan menyeronokkan. Sudah pasti elemen lain perlu ada untuk menghidupkan suasana sekaligus menjadikan pertemuan lebih bermakna.

Antara tips menjadikan majlis keraian lebih meriah ialah dengan menetapkan konsep dan tema tertentu bagi program yang mahu dianjurkan. Pemilihan tema tentunya bersandarkan kecenderungan, minat atau hobi semasa masyarakat. Misalnya, jika parti hari jadi si kecil berusia lapan tahun dirancang, mungkin comel jika tetamu - sudah semestinya kanak-kanak, diminta mengenakan kostum ‘Barbie and Kent’.

Nyata apabila majlis keraian yang dirancang mempunyai tema khusus, semua orang terutama tetamu teruja dan tidak sabar-sabar menunggu hari ditetapkan.


Selain itu, pemilihan tarikh tidak kurang pentingnya dalam merancang majlis. Hari minggu atau kelepasan am mungkin paling sesuai untuk mengundang tetamu ke rumah. Selain itu, anda harus memastikan bahawa tarikh yang dipilih bersesuaian dengan majlis yang ingin diadakan.

Sesetengah tarikh boleh menimbulkan idea untuk tema acara. Sebagai contoh, jika anda bercadang untuk mengadakan majlis pertemuan semula rakan sekolah anda dan hari yang ditetapkan jatuh pada 31 Ogos, mungkin tema kemerdekaan dan Jalur Gemilang sesuai.

Namun, berilah sedikit masa kepada tetamu untuk membuat persiapan jika mereka ‘sporting’ untuk akur pada tema ditetapkan. Jadi, jika tema ditetapkan agak ‘berat’, maklumkan kepada tetamu lebih awal supaya mereka mempunyai masa yang cukup mencari pakaian yang hendak digayakan.

Memang menyenangkan hati bila melihat tetamu sanggup bersusah-payah menyiapkan diri mengikut tema yang dipilih. Bagi menghargai mereka, anda digalak menyediakan hadiah kepada tetamu paling bergaya atau mengadakan beberapa kategori penghargaan lain yang menarik.

Dalam menganjur majlis keraian, tidak dinafikan perbelanjaan adalah aspek yang wajib dititikberatkan. Sehubungan itu, penganjur mesti memastikan dana mencukupi serta memilih lokasi yang bersesuaian dengan jumlah tetamu yang ingin dijemput. Lebih menguntungkan jika anda mampu mengadakan persiapan yang mantap dengan belanja yang rendah.

Selain itu, anda mungkin mahu menambah keceriaan dengan pelbagai elemen perhiasan atau aksesori seperti belon, patung lucu mahupun kain rentang tertera nama individu yang dirai atau tema majlis. Semua ini pasti menjadikan majlis lebih meriah malah tetamu tentunya tidak mahu berganjak pulang.

Tema, dekorasi serlah majlis

MENYENTUH mengenai penganjuran parti atau majlis keraian, pengusaha perniagaan membekalkan barangan untuk majlis keraian, Balloon Buzz Party Centre (Balloon Bouquets Sdn Bhd), Coleen Koh berkata, kecenderungan ‘menghidupkan’ sesebuah majlis keraian lebih banyak dilihat di kalangan masyarakat Barat. Namun, katanya,rakyat tempatan juga sudah mula teliti dalam perkara ini.

“Mungkin, sebelum ini, kebanyakan kita memang mahu mengadakan majlis yang lengkap dengan perhiasan mengikut tema tapi sukar bagi mereka untuk mendapatkan barangan sebegini.

“Namun, selepas adanya perniagaan yang menawarkan pelbagai pilihan barangan yang boleh ‘menghidupkan’ suasana keraian, masyarakat tempatan lebih bersemangat untuk menjayakan majlis keraian yang mempunyai tema,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih daripada sepuluh tahun dalam menyediakan barangan perhiasan untuk majlis keraian.

Kata Koh, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menganjurkan majlis yang meriah, baik yang khusus diadakan untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Apa yang penting adalah perancangan teliti serta kreativiti dalam memilih tema serta dekorasi yang mampu menyuntik mood kegembiraan bagi semua yang menghadiri majlis berkenaan.

“Pelbagai hiasan yang boleh digunakan untuk memeriahkan majlis. Dari perhiasan seperti belon dan kain rentang hinggalah kepada alas meja serta cawan dan pinggan, jika disesuaikan warna dan persembahannya dengan konsep dan tema, sudah pasti ia akan menarik dan meriah.

“Seperti di Balloon Buzz, kami bersedia memberi idea dan nasihat mengenai perhiasan majlis keraian kepada pelanggan yang memerlukan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa perniagaannya kini membuka peluang francais kepada individu yang berminat.

Akhir sekali, bagi memperkayakan lagi idea dan kreativiti anda untuk menganjurkan sebuah majlis keraian, dipaparkan beberapa barangan menarik dari Balloon Buzz Party Centre yang menarik dipilih sebagai dekorasi. Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan, emel kepada sales@balloonbouquets.com.my