Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Ilham seni Raja Pensel Warna

Oleh Fairuz Zaidan




Terjemahan karya pensel warna Hasren Ismail cetus emosi

TANYALAH siapa saja, pensel warna meninggalkan banyak kenangan manis zaman persekolahan. Saban tahun, kotak kecil itulah yang dicari di kedai alat tulis bagi melengkapkan senarai barangan keperluan ke sekolah. Sama ada himpunan 12 batang hinggalah 48 batang pensel warna, kotak pensel warna menjadi pilihan mengikut kemampuan kewangan ibu bapa.

Namun umpama warna yang pudar ditelan masa, pensel warna dilupakan sebaik zaman persekolahan ditinggalkan. Tiba-tiba, tiada lagi kehijauan pepohon, warna-warni bunga, bendang yang menguning menunggu dituai, keceriaan warna rumah agam mahupun potret hingga objek geometri yang diwarnakan penuh kreatif. Dunia pensel warna seolah-olah terus menyepi.

Begitulah realitinya kelangsungan hidup pelajar sekolah, sedar atau tidak, pensel warna yang dulunya menjadi teman setia, tempat mencurah rasa atau menguji daya kreativiti, akhirnya dipinggirkan selepas sekolah ditinggalkan.

Namun lain pula keadaannya dengan pemuda berusia 37 tahun ini. Hasren Ismail masih setia dengan koleksi pensel warnanya. Tidak cukup batang pensel warna halus, himpunan pensel warna milik Hasren pelbagai variasinya, hingga bersaiz lebih besar daripada normal.

Malah, ada juga himpunan pensel warna Hasren yang makin pendek menyamai panjang jari kelingking. Kata Hasren, sayang hendak membuang pensel warna yang sudah pun haus kerana nilai sentimental, selain banyak berjasa.


Kecintaan Hasren atau lebih mesra dengan panggilan Uneh terhadap pensel warna bersebab. Bukan sengaja mengumpulkan berkotak pensel warna, sebaliknya pemuda berasal dari Muar, Johor ini menjadikan pensel warna sebagai medium lukisannya.

Nama samaran ‘Uneh’ - campuran ‘unik’ dan ‘aneh’ menggambarkan personaliti orangnya. Sumber rujukan dan inspirasi pun jarang muncul kerana Uneh seperti bersendirian di dalam medium yang dipilihnya, sekaligus menjadikan beliau cukup tersendiri.

Semua hasil karyanya diabadikan dalam bentuk medium pensel warna sama ada bagi tema abstrak, potret, permandangan hinggalah kepada lukisan lebih serius yang menguji minda.

“Saya tidak langsung menggunakan air dalam setiap lukisan yang saya hasilkan. Inilah saja modalnya dan warna-warna yang ada di dalam kotak warna ini,” kata Uneh sambil menunjukkan set pensel warna 24 batang yang menampilkan himpunan rona warna.

Akui Uneh, beliau cuba mengkomersialkan hasil karya dengan menampilkan medium pensel warna kerana ingin menonjolkan keindahan warna dalam karyanya.

Katanya, kelebihan pensel warna sedikit terbatas oleh kerana penggunaannya yang terhad di bangku sekolah. Apatah lagi, ketika itu warna air lebih ditekankan, terutama ketika menduduki peperiksaan.

Menerusi hasil karyanya itu, Uneh percaya pensel warna juga mempunyai pesona tersendiri dan mampu menandingi medium lain seperti warna air, akrilik dan lukisan minyak.

“Sebenarnya, jika kena pada gaya serta teknik yang bersesuaian, semua orang mampu mewarna dengan baik. Asal mengikut formula yang berkesan, saya percaya gabungan warna yang ditampilkan menerusi penggunaan pensel warna memberikan kesan khas yang menakjubkan,” kata Uneh ketika ditemui di Bandar Utama, Selangor.

Cemburu melihat hasil karya Uneh yang sarat dengan jiwa. Paduan warna sentuhan seni Uneh amat berkait. Tidak cukup dengan lukisan potret, Uneh juga bijak bermain dengan ‘warna’ tersendiri untuk mewujudkan tema abstrak. Warna yang cuba ditonjolkannya juga nampak hidup!

Kata Uneh, hanya selepas tiga tahun lalu dia mula bergiat secara serius untuk mengkomersialkan penggunaan pensel warna dalam lukisannya kerana mendapat kepuasan dengan setiap mainan warna yang dicetuskan.

Tambahan pula, komen positif dan membina daripada teman sekeliling, keluarga serta pengkritik seni lukis sedikit sebanyak mendorongnya lebih bergiat aktif dalam menghasilkan karya baru.

“Bagaimanapun saya terpaksa membahagikan masa antara kerjaya di Media Prima dengan hobi saya melukis. Semua lukisan ini bukanlah dilakukan sepenuh masa.

“Malah, ada ketikanya selepas balik daripada kerja, sambil menonton buletin malam pun boleh juga mewarna. Idea pula, datang bila-bila masa dan saya hanya perlu mencatatkan lakaran pada buku nota,” kata Uneh.

Ditanya mengapa pensel warna yang menjadi taruhan bagi mencetuskan karyanya itu, Uneh berterus terang yang dia sendiri tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang seni lukis dan cenderung menggunakan pensel warna dalam mata pelajaran seni lukis ketika di bangku sekolah.

Kata Uneh, ketika tamat pendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) beliau tidak pula meneruskan pengajian dalam bidang seni halus di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara - UiTM), sebaliknya mengambil jurusan Sains Perpustakaan dan Maklumat.

Biarpun tidak meneruskan minatnya dengan mengikuti kursus di aliran seni halus, Uneh tetap melakukan kerja sampingan dengan melukis komik di majalah Gila-Gila. Sekalipun tidak mewarna, itu bukanlah halangan untuk Uneh mengembangkan bakatnya dalam mempraktikkan skil dan bakat seni lukisnya.

“Waktu sampingan di rumah memang saya tidak pernah duduk diam. Banyak juga saya membuat kerja sampingan dengan mewarna tidak kiralah untuk lukisan potret, abstrak dan objek.

“Sebab itulah saya ingin memfokuskan bidang lukisan warna ini, apatah lagi tiada lagi pelukis yang mengkomersilkan medium berkaitan dengan pensel warna dalam mengembangkan karya seni mereka,” kata Uneh yang tidak lama lagi bakal dilantik sebagai duta pengeluar pensel warna terkemuka dalam merealisasikan impiannya.

Hala tuju pelukis pensel warna

TEKAN dan gosokkan perlahan-lahan - begitulah ungkapan yang diulang-ulang Uneh ketika menunjukkan tips mudah mewarna menggunakan pensel warna mengikut caranya. Mulanya nampak sukar, tetapi di tangan pemuda itu semuanya begitu mudah dan ringkas.

Tidak sampai lima minit, lakaran pokok dengan rona warna gelap dan cerah menampakkan kesan cukup dramatik. Bukan setakat imej pokok dihasilkan sempurna, Uneh juga mudah ‘menghidupkan’ suasana sekelilingnya dengan mainan warna pilihan.

Katanya, perkara paling mustahak perlu diambil kira sebelum mewarna adalah dengan melakukan perancangan dan objek pilihan. Seterusnya, susun beberapa batang pensel warna dalam rona serupa. Mulakan dengan rona paling gelap, disusuli warna sederhana dan disempurnakan dengan rona paling cerah.

“Saya percaya, tidak sampai 15 minit saja, semua orang mampu mewarna dengan baik asalkan tahu teknik sesuai,” kata Uneh pertemuan dengannya di cafe Sri Pentas, TV3.

Pada pertemuan itu juga, Uneh berkongsi berita bahawa kerjayanya sebagai Eksekutif Pusat Sumber Media Prima sampai ke penghujungnya kerana beliau ingin meneroka cabaran baru dalam bidang seni lukis, khususnya mengkomersialkan hasil karya pensel warna.

Bagi Uneh, tempoh 12 tahun bertugas di Media Prima cukup mematangkannya dan sekarang tibalah masa untuk memberi tumpuan kepada bidang baru yang selama ini menjadi hobi waktu senggang.

“Sememangnya banyak perancangan yang ingin saya lakukan sebaik meninggalkan Media Prima. Sudah semestinya, memberi penekanan kepada lukisan pensel warna, selain bekerjasama dengan syarikat lain dalam usaha mempromosi dan mengajar teknik untuk mewarna dengan betul dan mudah.

“Pada masa yang sama, saya berusaha untuk mengajar kanak-kanak bagaimana bermain dengan warna, sekaligus mewujudkan kesedaran yang pensel warna mampu menterjemahkan hasil warna menakjubkan,” kata Uneh penuh bersemangat.

Dua tahun kebelakangan ini, Uneh mengakui lebih bersedia untuk memilih hala tuju sebagai pelukis pensel warna sepenuh masa.

Bagaimana pula hendak menghadapi cabaran pelukis lain di dalam gelanggang serupa? Akui Uneh, biarpun cenderung memfokuskan pensel warna sebagai medium untuknya berkarya, beliau tidak menolak sekiranya satu ketika nanti akan ada pelukis lain yang mengikut jejaknya.

Sambil melihat ia sebagai persaingan sihat, Uneh seronok kerana cita-citanya adalah untuk merancakkan lagi penggunaan pensel warna dalam lukisan.

“Tidak seperti medium warna lain, pensel warna begitu mudah untuk digunakan. Tidak tumpah atau kotor sebagaimana warna air dan krayon, pensel warna dapat diwarnakan mengikut kehendak kita sendiri. Semua itu dapat dilakukan asalkan mengikut teknik yang betul,” kata Uneh.

Karya Uneh jelas dapat diperhatikan menerusi pemilihan warna yang pelbagai. Inspirasi Uneh jelas dengan penterjemahan warna yang cukup menonjol, naluri imej yang begitu simbolik, sesetengahnya ditampilkan luahan perasaan berbentuk prosa, puisi dan lirik.

Lebih unik dan aneh mengenai pelukis ini ialah simbol ‘U’ menjadi sebahagian daripada identiti lukisan warnanya itu. Hasrat Uneh, perjuangannya menekankan huruf ‘U’ adalah sebahagian daripada reformasi menggalakkan penggunaan semula pensel warna dalam kesenian moden.

“Adalah menjadi impian saya untuk menganjurkan klinik terbuka untuk menawarkan apa-apa kepakaran atau bakat yang ada pada saya. Saya juga menyimpan hasrat untuk mengadakan pameran solo saya yang pertama.

“Buat masa ini, saya ingin memberi fokus untuk serius dalam bidang seni ini bersama-sama adik, Haslin yang juga graduan seni lukis UiTM,” katanya yang bakal memperluaskan bakat di studio lukisan, Sebiji Padi di Shah Alam bersama pelukis angkatan baru.

Dalam usahanya menarik minat kanak-kanak dalam mewarna, Uneh kerap mengadakan tuisyen untuk belajar mewarna, selain menetapkan prinsip memberikan demo percuma kepada setiap pembeli lukisannya. Sementara untuk rumah anak yatim pula, Uneh akan memberikan khidmat dan masanya dengan percuma sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya.

Kertas yang digunakan juga tidak banyak karenah - Uneh hanya melukis dan mewarna di atas kertas ‘acid free paper’ ataupun kertas bebas asid.

Dalam kesibukannya bertugas waktu siang, Uneh masih berkesempatan menghasilkan beberapa siri lukisan. Dalam tempoh dua tahun, siapa sangka yang karyanya kini sudah mencecah lebih 150 lukisan pensel warna!

Biodata:

* Nama: Hasren Ismail
* Nama komersial: Uneh (Unik + Aneh)
* Umur: 37 tahun
* Tarikh lahir: 16 Februari 1971
* Tempat lahir: Muar, Johor
* Status: Berkahwin
* Nama isteri: Nor Azlina Misri, 27
* Anak: Dayana Aimi, 5; Danial Aiman, 4 bulan
* Telefon: 012-239 6444
* Emel: uneh2007@yahoo.com
* Laman web: www.myspace.com/uneh



Tahukah anda

* Pensel yang digunakan sejak zaman Yunani adalah alat tulis dan lukis yang pada awalnya diperbuat daripada grafit murni. Penulisan dilakukan dengan menggoreskan grafit tersebut ke atas media. Namun grafit murni cenderung mudah patah, terlalu lembut, memberikan efek kotor saat media bergesel dengan tangan serta mengotori tangan ketika dipegang.

* Hanya selepas itu barulah dicipta campuran grafit dengan tanah liat supaya komposisinya lebih keras. Seterusnya, komposisi campuran ini dibalut dengan kertas atau kayu.

* Pada abad ke-19, pembuatan pensel menjadi perniagaan besar termasuk di Siberia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

* Pada abad ke-20 pula, pelajar sekolah sudah dikomersialkan dengan penggunaan pensel.

* Pada zaman awal penciptaannya, pensel banyak dibuat dalam bentuk bersegi kerana kesukaran dalam proses pembuatan. Namun pada era moden, ramai yang menggemari bentuk pensel bulat kerana mudah dipegang dan lebih kuat.

* Pensel warna hanya mula diperkenalkan pada akhir 1890 di AS. Mulanya hanya warna kuning diperkenalkan sebelum beberapa warna menjadi asas kepada himpunan warna-warni untuk pensel. Selain AS, negara lain seperti Jerman dan Austria-Hungary turut melancarkan jenama pensel warna sendiri, Koh-I-Noor.

* Hari ini, pensel warna terus dikomersilkan di seluruh dunia dengan pelbagai warna baru sebagai tarikan untuk pecintanya.