Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Naik kuda lepas sekolah




KUDA perlu dibersih dan dimandikan setiap kali selepas latihan yang perlu di lakukan oleh setiap pelatih.

KUANTAN: Equestrian atau sukan berkuda sering dianggap sukan untuk golongan elit dan memerlukan perbelanjaan tinggi.

Persepsi itu kini sudah tidak boleh dipraktikkan lagi kerana pelbagai insentif dan inisiatif diambil bagi membolehkan semua golongan terutama remaja dan pelajar sekolah menceburi sukan berkuda ini.

Berikutan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Equestrian Sekolah Pahang (PSEC) di Tanjung Lumpur sejak awal 2006 sebagai langkah pertama dalam usaha melahir dan menggilap pelajar yang berpotensi untuk maju dalam sukan berprestij ini.


PSEC adalah badan sukan berkuda tunggal di negara ini yang dikendalikan sepenuhnya guru terlatih, di samping mendapat sokongan dan kerjasama daripada Lembaga Totalisator Malaysia dan Majlis Ekuin Malaysia.

Pengurus PSEC, Paiza Md Dom berkata, penubuhan pusat equestrian ini tepat pada waktunya ketika kerajaan melalui Program Pembangunan Sukan Berkuda Sekolah-sekolah Malaysia, sedang berusaha melahirkan sebuah pasukan ekuin yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan tanahair dan menjadi pelapis pasukan ekuin negara di masa depan.

"Sukan ini berpotensi dikembangkan di Pahang berikutan minat yang ditunjukkan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.

IZAD Rushdi Paiza, 13, memasang peralatan kuda sebelum memulakan latihan.

"Galakan daripada ibu bapa pula boleh menarik minat anak-anak menyertai sukan berkuda di samping badan korporat dan orang perseorangan berperanan menaja dan memberi sumbangan kelengkapan kemudahan dan bilangan kuda di pusat ini," katanya yang turut bertindak sebagai jurulatih.

PSEC juga menubuhkan Kelab Pony Pahang yang jumlahnya terhad kepada 35 pelajar dan selebihnya diserap menjadi ahli kelab PSEC sendiri.

Kebanyakan ahli adalah di kalangan pelajar sekolah sekitar Kuantan dan penduduk di kampung berdekatan dengan kadar yuran berpatutan dikenakan.

PSEC yakin dengan memperkenalkan sukan ini di sekolah, lebih ramai pelajar akan mencintai sukan ini dan bersedia menceburinya kerana ia sejenis sukan yang unik dan istimewa.

Khusus untuk pelajar dari luar, PSEC turut menyediakan tempat yang boleh menampung 20 orang pada satu-satu masa, jika mereka berminat mengetahui lebih lanjut mengenai sukan ini.

"PSEC sedia membantu jika ada sekolah berminat menganjurkan kem motivasi dan menjadikan aktiviti menunggang kuda sebagai satu daripada kegiatan riadah," katanya.

"Saya yakin pelatih yang ada sekarang jika dididik dan dilatih dengan lebih konsisten, mereka mampu menjadi penunggang kuda cemerlang suatu hari nanti," katanya.

Latihan diadakan setiap hari dan kebiasaannya pelatih diberi masa selama satu jam untuk menunggang dan sebulan sekali akan membawa kuda itu menjalankan aktiviti di persisiran pantai Tanjung Lumpur.

Sejak ditubuhkan, pasukan ekuin Pahang sudah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara.

Antaranya Putrajaya Premeir Leaque 2007, Selangor Turf Club Competition 2007, National Horse Show di Pulau Pinang 2006 dan Ipoh 2007 serta Kejohanan Equastrian Sekolah-Sekolah Malaysia yang diadakan kali pertama di Ipoh Turf Club pada Disember tahun lalu.

"Kami sedang berusaha menambah bilangan kuda sedia ada dan mempertingkatkan lagi kemudahan prasarana di sini supaya lebih ramai remaja dan pelajar sekolah yang berminat dan berbakat, dapat turut serta menjadikan aktiviti menunggang kuda sebagai suatu riadah menyeronokkan.

"Kami yakin sukan berkuda ini mempunyai masa depan cerah dan akan berkembang sejajar dengan perancangan Pembangunan Sukan Berkuda Sekolah-sekolah Malaysia yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Bagi Izad Rushdi Paiza, 13, menunggang kuda satu aktiviti yang menyihatkan dan minat menunggang kuda ini timbul kerana sering mengikuti ayah dan kakaknya menjalani latihan di trek setiap hari.

"Ketika mula membabitkan diri dengan sukan ini, saya juga takut sebab selalu jatuh sehingga mengalami kecederaan tetapi berkat sokongan padu rakan dan jurulatih, saya mampu mempelajari teknik mengawal dan mengendalikan kuda dengan cara betul.

"Saya akan menjadikan latihan ini sebagai landasan utama untuk berjaya dalam bidang ini dan bercita-cita menjadi seorang penunggang kuda terbaik negara satu hari nanti," kata pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad ini.

Bagi kakaknya, Izzatul Hanie, 15, minat menceburi sukan berkuda ini timbul apabila sering mengikuti bapanya menguruskan pusat latihan berkenaan sejak berusia 11 tahun.

"Berkat tunjuk ajar bapa dan jurulatih, akhirnya saya berjaya mengatasi perasaan takut dan kini menggemari sukan berkuda ini dan berazam menyertai pasukan ekuin negara pada masa depan," katanya.

Menurutnya, sukan berkuda dapat merapatkan hubungan keluarga kerana mereka dapat berkumpul dan menjalani latihan bersama serta bertukar fikiran mengenai sukan ini.

Sementara itu, jurulatih PSEC, Mohd Zakri Mohd Jali, berkata kemahiran menunggang dan mengendalikan kuda menjadi instrumen penting jika seseorang itu ingin menjadi penunggang terbaik.

"Kuda memerlukan pemerhatian, pengawasan dan pergerakan setiap hari. Kuda yang baik adalah kuda yang sentiasa aktif dan ini akan membantu pencapaian cemerlang ketika pertandingan berlangsung.

"Tanpa kemahiran asas dan teknik mengendalikan kuda yang tepat, pelatih sukar menjalani latihan kerana kuda adalah sejenis haiwan yang sangat sensitif. Setiap pergerakan tubuh kita ketika menunggang memberi pengaruh yang kuat kepada setiap langkahnya," jelas guru dari SK Kempadang ini.