Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Dahaga arus kemodenan






Pulau Sibuan didiami masyarakat pribumi Pala'u ibarat hidup pada abad pertama Masihi

JIKA Pulau Sipadan di Semporna terkenal sebagai antara destinasi menyelam terbaik di dunia, lain pula ceritanya dengan satu lagi pulau di daerah berkenaan iaitu Pulau Sibuan yang didiami masyarakat pribumi Pala'u.

Jika lazimnya kanak-kanak berusia tujuh tahun sudah memulakan persekolahan Tahun Satu, anak-anak di Pulau Sibuan masih berlari ke sana ke mari tanpa berpakaian sambil leka bermain.


Malah, masyarakat setempat tanpa mengira dewasa atau kanak-kanak, lelaki atau wanita akan berlari mengelilingi pengunjung yang singgah di pulau itu, seolah-olah tempat mereka dilawat pembesar negara.

Mereka tidak pandai berbahasa Melayu, sekali gus membuatkan sesiapa yang berkunjung terpinga-pinga dan terpaksa menggunakan bahasa isyarat atau bahasa badan untuk berkomunikasi.

Setiap gerak-geri diekori kanak-kanak yang kadangkala menimbulkan perasaan seram kerana mengingatkan penulis kepada mitos `pemburu kepala' yang dikaitkan dengan penemuan beratus-ratus tengkorak manusia di Bukit Tengkorak berhampiran Pekan Semporna.

Penduduk Pulau Sibuan, Semporna hidup dalam kemiskinan serta menetap di pondok usang yang menunggu masa runtuh dan diterbangkan angin.

Tinjauan Berita Harian mendapati, rata-rata penduduk Pulau Sibuan di tengah Laut Sulawesi menetap di pondok usang yang tidak selamat diduduki kerana hanya menanti masa runtuh atau diterbangkan angin kencang.

Pondok dibina menggunakan kayu beratap nipah, daun kelapa atau daun kering, mewujudkan suasana seolah-olah hidup pada abad pertama Masihi.

Penduduk bergantung kepada hujan dan perigi berair payau untuk mendapatkan bekalan minuman. Kehidupan keluarga disara dengan menangkap ikan dan mencandat sotong, sama ada dijual secara segar kepada nelayan tempatan yang singgah di pulau itu atau dikeringkan sebelum dipasar di pekan Semporna.

Satu-satunya hiburan bagi golongan remaja adalah buaian dianggar berketinggian 20 meter yang dipasang dicelah dua pohon kelapa.

Berpandukan bantuan juru bahasa, Tilaman Assalai, 48, dari Pulau Bum-Bum, Semporna yang berbangsa Bajau subetnik Ubian tetapi fasih berbahasa Pala'u, penulis berpeluang menyelami naluri penduduk setempat.

Seperti masyarakat lain, mereka juga bercita-cita untuk keluar daripada kehidupan ala purba dan tidak mahu anak mewarisi kemiskinan dan keperitan hidup seperti dilalui nenek moyang.

Penduduk di situ asalnya hidup nomad dalam perahu yang menjadi budaya etnik Pala'u dan berhijrah ke darat untuk memulakan kehidupan baru.

Mereka mahu menyekolahkan anak kerana percaya bidang pendidikan mampu mengubah ekonomi keluarga.

Bagaimanapun, pulau berkenaan tiada kemudahan sekolah dan dengan sendirinya menyebabkan generasi muda mewarisi kemiskinan keluarga tanpa bekalan ilmu di dada.

Bagi keluarga yang mahu menyekolahkan anak, mereka terpaksa berhijrah ke pulau yang mempunyai kemudahan itu atau ke tanah besar Semporna untuk memulakan kehidupan baru yang moden.

Seorang penduduk, Alawangsa Kembangtuli, 60, berkata penduduk mahukan kehidupan sempurna dan tidak mahu anak mereka mewarisi kemiskinan dan penderitaan hidup keluarga.

"Sudah tentu kami mahukan sekolah supaya generasi muda dapat menimba ilmu. Kami nak ubah nasib keluarga... cukuplah sengsara `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Kalau budak-budak di sini tak cukup ramai untuk membina sekolah, kita minta kerajaan sediakan bot supaya anak-anak kami boleh bersekolah di pulau berdekatan.

"Paling tidak pun, kami harap kerajaan dapat membina asrama di sekolah di pulau berhampiran supaya anak kami dapat menumpang teduh," katanya.

Malgasia Masilani, 50, berkata ketiadaan sekolah menyebabkan kanak-kanak di pulau itu menjadi nelayan seawal usia 10 tahun untuk membantu menyara keluarga.

Katanya, pada usia itu, mereka sepatutnya memikirkan masa depan yang boleh diubah menerusi kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

"Kami ni bagaikan hidup di kawasan yang hilang dalam peta dunia sedangkan jarak Pulau Sibuan dari Pulau Bohay Dulang atau Pulau Lelaki Tua Tidur hanya kira-kira lima kilometer.

"Hidup kami tidak ubah seperti terpinggir di tengah laut sedangkan kami sudah menetap di darat sejak 20 tahun lalu berbanding nenek moyang yang hidup nomad dalam perahu di Laut Sulawesi," katanya.

Dalam pada itu, masyarakat Pala'u di Pulau Sibuan memiliki keunikan tersendiri iaitu mencuci pinggan mangkuk menggunakan pasir untuk menggantikan serbuk pencuci.

Suri rumah, Alawangi Sitangsi, 38, berkata amalan itu diwarisi daripada nenek moyang mereka dan kaedah itu terbukti berupaya menghilangkan kotoran yang sukar ditanggalkan dengan air.

"Kami mana pandai nak guna serbuk pencuci moden... ke pekan pun setahun sekali.

"Anak saya Tatangsi Kahangah baru berusia setahun. Setiap kali saya membuainya, saya menangis mengenangkan masa depannya yang mungkin terus menggunakan pasir sebagai serbuk pencuci," katanya.

Seiring kemajuan dan kepesatan pembangunan negara, kerajaan wajar mengambil kira keperluan masyarakat terpinggir seperti di Pulau Sibuan yang selayaknya mempunyai hak sama rata untuk menikmati secebis arus kemodenan.


INFO: Pulau Sibuan

  • JARAK Pulau Sibuan dengan tanah besar Semporna kira-kira 20 kilometer (km).

  • LEBIH 100 keluarga mendiami Pulau Sibuan

  • DILETAK dalam kawalan Pos Keselamatan Tentera Pulau Pandanan, Semporna kira-kira lima kilometer dari pulau berkenaan.

  • TIGA rumah dibina dalam air termasuk sebuah menjual makanan ringan di Pulau Sibuan.

  • TIDAK mempunyai sistem pentadbiran seperti ketua kampung, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua masyarakat seperti kampung lain di Sabah.