Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 April 2008

Detik Tengah Malam

Oleh Shaidah Shafie

Kisah misteri lagi menggerunkan pasti menghiburkan peminat karya James Lee

DETIK Tengah Malam (DTM) karya James Lee dan diterjemahkan Datin Shajaratuddur Halim daripada karya asal Mr Midnight mengangkat cerita seram dan aneh yang memukau pembaca remaja di Singapura dan Malaysia sehingga diberi nama jolokan Harry Potter Asia.

Setiap naskhah DTM dimuatkan dua kisah aneh dengan watak berbeza sebagai penggerak cerita selain penyelesai misteri yang berlaku, walaupun pengarang lebih banyak membiarkan khalayak berada dalam keadaan tertanya-tanya apa yang terjadi.


DTM #5 memuatkan kisah Serangan Burger dan Hadiah Ngeri menampilkan Peter menerima hadiah hari jadi daripada musuh ketatnya, Jonathan iaitu kereta lumba mainan dengan alat kawalan jauh yang meletakkan kanak-kanak itu dalam bahaya apabila Max, pembuat kereta itu berusaha mendapatkan kembali rekaannya bagi melaksanakan misi jahat.

Serangan Burger merakam kegemaran Benjamin Lai terhadap makanan ringan itu sehingga 10 burger boleh dimakannya bersama-sama sepinggan kepak ayam goreng setiap hari mengakibatkannya menjadi gemuk, lalu igauan ngeri bermula apabila dia terjatuh ke dalam kawah burger yang menyaksikan burger lain membalas dendam kepadanya.

DTM #6 membawa khalayak mengikuti kisah Misteri Bunyi Radio dan Pawagam Berhantu melalui Joylin Seah, Mandy, Joan dan Christine menemui radio yang mengeluarkan bunyi seram manakala Pawagam Berhantu menyelitkan sikap luhur Howard, Emily, Daniel dan Harmony membantu hantu yang terperangkap dalam pawagam lama, walaupun pada awalnya mereka ditawan hantu berkenaan sehingga berasa ngeri apabila melihat wajah hodoh Igor.

Misteri Tingkat 13 dalam DTM #7 membawa khalayak mengikuti jejak Zack dan Natasha yang dikatakan tersesat di Tingkat 13 ketika menaiki lif untuk pulang ke rumah, sebaliknya tersasar ke dunia yang cerah dan terang benderang sambil melihat perubahan pelik berlaku pada diri mereka.

Keterujaan kanak-kanak terhadap kasut baru yang dihadiahkan keluarga boleh dihayati dalam Kasut Gila melalui gelagat Ho Kit yang menerima sepasang kasut berwarna biru berjalur putih daripada ibunya menyebabkan dia gembira, tetapi kasut itu akhirnya meletakkan Ho Kit dalam situasi cemas.

Mangsa Dr Dredd mungkin mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak yang sentiasa takut setiap kali mengunjungi doktor gigi dan ketakutan itu digambarkan melalui Yi Shuo, Desment, Wenhan dan Candice apabila mula bercakap dengan suara aneh sesudah gigi mereka ditampal Dr Dredd.

Rompakan Zoo agak melucukan apabila ada jembalang yang ingin menculik haiwan di Zoo turut menawan Nicholas Liao dan rakan-rakannya yang sedang berusaha menyiapkan tugasan guru, tetapi kebijaksanaan masing-masing menyebabkan jembalang jahat tumpas.

Kejahatan Dr Dredd dan kebijaksanaan Nicholas Lai dalam DTM #8 pasti membuka minda pembaca kerana gaya penceritaan Lee mudah dan menggunakan bahasa ringkas, tetapi mereka tetap dapat menambah perbendaharaan kata masing-masing.

Tampil dengan kulit luar yang menarik dan berwarna, DTM boleh merangsang ke arah minat membaca kerana novel kanak-kanak ini senang difahami di samping pembaca seronok dengan misteri aneh yang dihidangkan selain kisahnya tetap munasabah.

Info

Detik Tengah Malam

Pengarang: James Lee (diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Datin Shajaratuddur Halim)

Penerbit: MPH Distributors Sdn Bhd

Harga: RM9.90 senaskhah

Tebal: 140 halaman