Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

Ketuanan Melayu dipinggirkan oleh Melayu sendiri?


BANYAK kebenaran dan natijah yang boleh dikutip daripada inti pati titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang melontarkan pandangan mengenai ketuanan Melayu buat renungan masyarakat Melayu secara amnya. Antaranya ialah hak Melayu yang perlu dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Membincangkan tentang hak dan keistimewaan Melayu di bumi sendiri boleh dianggap seperti mendendangkan lagu- lagu lama yang tidak diminati oleh anak-anak muda kini. Kita perlu akur dengan kewujudan sekumpulan Melayu yang membenci kepada nilai dan tatasusila yang menjadi tunjang terkuat dan lambang keunggulan Melayu.

Mereka adalah golongan yang hilang kewarasan dan begitu alpa akan petanda Melayunya malah seakan-akan mahu mengasingkan diri di bumi Melayu.

Di kalangan mereka ada yang menggenggam kelulusan tinggi dari institusi pengajian tinggi ternama dunia dan amat megah dengan status intelektual yang dilabelkan. Mereka mampu menjawat jawatan tinggi baik di sektor kerajaan, mahupun sektor swasta yang jelas begitu sombong dengan gaji serta elaun yang lumayan.

Cara hidup dan tutur kata langsung tidak mencerminkan mereka adalah umat berdarah Melayu yang hidup di tanah yang 'berbinkan' Melayu ini. Peliknya masyarakat begitu menghormati mereka dan sering menjadi sumber rujukan dalam kes tertentu.

Inilah golongan yang lahir daripada kekayaan sumber dan kuasa politik yang dipegang orang Melayu sejak lebih 50 tahun negara bebas daripada pengaruh penjajah. Adakah golongan terlebih profesionalisme ini begitu kuat mempertahankan ketuanan Melayu?

Kalau bertutur sudah tidak pandai menggunakan tatabahasa dan lenggok Melayu, cara berpakaian yang amat miskin budaya dan cara pergaulan yang teramat memilih ini diangkat menjadi ikon Melayu yang berjaya, di mana tanggungjawab mereka untuk menjaga ketuanan Melayu?

Kita sendiri telah tersilap membina dan memilih landasan untuk melahirkan umat Melayu moden tetapi menjulang pemikiran Barat yang tidak sesuai diamalkan di bumi Melayu.

Kita disumbat dengan kepadatan hiburan yang ternyata melalai dan melemahkan umat Melayu yang begitu pantas terikut-ikut dengan budaya songsang itu. Siapa yang begitu galak membawa pelbagai agenda hiburan masuk ke bumi Melayu, jika tidak orang Melayu sendiri.

Bercakap soal bahasa Melayu pula, kita pasti lebih cepat melenting. Apa tidaknya, orang Melayu yang amat galak bertutur dan menggunakan bahasa asing di pentas dunia untuk berkomunikasi. Sepatutnya kita perlu membiarkan orang asing terkial-kial mencari jurubahasa jika mereka berada di bumi Melayu seperti di negara kita.

Bahasa Melayu adalah hak Melayu. Jika ada sebarang urusan yang membabitkan orang Melayu, maka peluang itulah kita menunjukkan bahasa kita. Tetapi jika anak Melayu sendiri bila berhadapan dengan wartawan Melayu tetapi bercakap bahasa asing, Melayu apa ini?

Ini sebahagian dilema Melayu yang cepat dan mudah dikikis tanda Melayunya. Kelemahan ini berlarutan sehinggalah Melayu semakin hilang tumpuan dan imej.

Tetapi apabila kuasa politik Melayu semakin terhakis, maka pantas timbul pelbagai pihak untuk memperjuangkan hak-hak Melayu. Pelbagai pihak cuba melaungkan semangat Melayu dan perlunya perhatian ditumpukan untuk menjaga kepentingan Melayu.

Sayangnya, selama kita mempunyai kekuatan politik dan kuasa berada kukuh di tangan, kita begitu mudah menolak pandangan-pandangan Melayu tulen yang masih kukuh berkonsep dan berkiblatkan Melayu. Kita tidak meletakkan pejuang bahasa di tempat yang tepat untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Kita menolak suara-suara dari bawah yang cuba memanjangkan permasalahan yang boleh membawa kepada terganggunya hak-hak Melayu. Betapa mudah kita memperlekehkan suara rakyat yang masih terkial-kial di bumi sendiri.

Setelah semuanya diterjemahkan pada satu tindakan nekad di kertas undi, maka keluarlah 'wira-wira' Melayu yang ingin berhadapan dengan siapa saja untuk mempertahankan hak Melayu. Ini perjuangan bertemakan lakonan semata-mata. Tiada keikhlasan dan langsung tidak memahami erti perjuangan untuk menobatkan agama dan bangsa.

Selama ini suara umat Melayu yang dipinggirkan dalam bidang dan hal tertentu tidak diangkat sebagai satu perjuangan utama. Mungkin suara-suara itu dianggap tidak menjejaskan periuk nasi sendiri dan boleh ditutup dengan beberapa helai kain pelikat dan batik.

Silapnya kita apabila membiarkan umat Melayu yang hilang petanda Melayunya berada di atas dan berkuasa mengatur serta mencorakkan kehidupan umat Melayu lain. Tetapi dalam situasi sekarang, umat Melayu terus tertekan dan dihimpit dengan pelbagai isu yang boleh menjejaskan usaha pemulihan dan penjenamaan Melayu tulen.