Oleh MOHD. ARIF ATAN
UMUMNYA apabila kita menyebut Melayu bererti agamanya mesti Islam. Ramai daripada orang Melayu faham bahawa tiang agama Islam ialah sembahyang fardu lima kali sehari semalam. Sebaliknya, tidak mengerjakan sembahyang samalah seperti meruntuhkan tiang agama.
Bagaimana pula kaitan bahasa dengan bangsa? Tidaklah keterlaluan dikatakan, dengan menggunakan analogi yang sama bahasa Melayu yang diwartakan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini adalah tiang seri kecemerlangan bangsa Melayu dan perpaduan rakyat Malaysia.
Malah, al-Quran turut mengaitkan kepentingan bahasa dengan sesebuah bangsa.
Malangnya, sebahagian kaum Melayu jugalah yang tidak mensyukuri nikmat bahasa yang diberi Allah lantaran tidak menyedari hakikat bahasa miliknya sendiri sebagai tiang kekuatan bangsanya!
Berbeza pula dengan kaum lain walaupun maju ekonomi serta hebat penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa Melayunya tidak pula mereka mengabaikan bahasa mereka sendiri. Jika tidak, mengapa mereka begitu beria-ia mempertahankan sekolah jenis kebangsaan kalau bukan demi mempertahankan bahasa dan budaya kaum mereka?
Sampai bila orang Melayu benar-benar mahu mencontohi sikap kaum lain dalam mempertahankan bahasa dan identiti mereka?
Pada saat kita risaukan penurunan penguasaan bahasa Inggeris tiada siapa peduli akan kemerosotan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu.
Memang tiada siapa yang rugi jika kita menguasai banyak bahasa asing tetapi adakah ini bermakna sampai sanggup mengetepikan bahasa sendiri? Adakah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menafikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?
Tidakkah orang Melayu sedar bahawa bahasa juga memiliki kuasa budaya yang tidak kurang pentingnya dalam mempertahankan kewujudan dan identiti bangsa Melayu serta sebagai alat perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum?
Oleh itu, biarlah tindakan kita dalam mahu melihat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda tidak sampai tahap mengabaikan fungsi bahasa Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Tiada ertinya perjuangan bangsa jika bahasa sendiri diabaikan. Sampai bila-bila pun penguasaan bahasa Inggeris tidak akan tercapai selagi kaedah atau pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sendiri tidak kena pada tempatnya. Apatah lagi, dengan budaya membaca yang kurang di kalangan rakyat kita walhal aktiviti membaca adalah momentum kuat untuk penguasaan apa jua bahasa sekalipun.
Kita tidak mahu orang Melayu menjadi bangsa tanpa jati diri lantaran luntur kemahiran berbahasanya serta tidak berupaya mengungkapkan pemikiran dan daya penaakulan intelek dalam bidang ilmu tinggi.
Bertindaklah secara berhemah agar apa yang dikejar dapat manakala yang dikendong pula tidak keciciran. Mengejar penguasaan bahasa Inggeris usah sehingga mencicirkan kedudukan dan fungsi sebenar bahasa Melayu.