Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 April 2008

Segerakan muzakarah parti politik Melayu


KUALA LUMPUR 15 April - Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang didokong 25 pertubuhan Melayu dan Islam menyarankan parti politik Melayu menyegerakan muzakarah setelah masing-masing menyatakan kesediaan untuk bermuafakat.

Ketua Umumnya, Osman Abu Bakar berkata, sewajarnya pemimpin-pemimpin Melayu baik dalam Barisan Nasional (BN) mahu pun pakatan pembangkang duduk semeja mencari formula dan kata sepakat tentang hala tuju bangsa Melayu.

Katanya, ini juga bertepatan dengan saranan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan piagam Perhimpunan Perpaduan Melayu agar para pemimpin mengenepikan ideologi politik demi agenda bangsa.

Menurutnya, BBPM amat berbesar hati dengan kenyataan awal Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali tentang kesediaan mereka untuk bermuafakat dengan UMNO.

"Atas sebab itu kami menyokong kenyataan kedua-dua pemimpin ini yang bersedia berbuat demikian untuk perpaduan dan kepentingan orang-orang Melayu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Antara NGO yang mendokong BBPM ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tentang kesediaan Pas dan PKR untuk bermuafakat dengan UMNO bagi membincangkan soal yang berkaitan kepentingan orang Melayu.

Perkara ini mula timbul apabila Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria menggesa pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju orang Melayu.

Sementara itu Osman berkata, BBPM akan mempersembahkan piagam yang dikeluarkan pada akhir Perhimpunan Perpaduan Melayu Sabtu lalu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, ujarnya, piagam berkenaan yang menyentuh soal perpaduan Melayu akan turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja dan kepada pemimpin Melayu yang lain.