Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 April 2008

Penternak minta mansuh harga siling ayam


SUBANG JAYA 15 April - Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) meminta kerajaan supaya memansuhkan harga siling ayam kerana pelaksanaannya ternyata merugikan para penternak.

Perunding Eksekutif FLFAM, Dr. Abd. Rahman Md. Saleh berkata, kerugian tersebut berlaku disebabkan peningkatan kos pengeluaran ayam di ladang yang melebihi harga siling.

Menurutnya, kos pengeluaran semasa untuk ayam mentah ialah RM4.53 sekilogram berbanding harga siling RM4 sekilogram yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, peningkatan ini berlaku kerana harga bahan mentah seperti jagung, hampas kacang soya dan lain-lain barang keperluan untuk menyediakan makanan ternakan telah meningkat di peringkat global.

''Bahan keluaran tempatan seperti minyak kelapa sawit mentah juga telah naik sebanyak 160 peratus,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Seramai 11 wakil penternak dari seluruh negara menghadiri sidang akhbar tersebut bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Abd. Rahman berkata, kenaikan harga bahan mentah itu telah berlaku secara berterusan sejak dua tahun lalu dan menyebabkan ramai penternak mengalami kerugian yang amat kritikal.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk jika berlaku situasi penawaran melebihi permintaan kerana pemborong akan menetapkan harga yang lebih rendah tanpa mengira kos pengeluaran yang dibelanjakan oleh penternak.

''Keadaan ini amat membebankan penternak kerana industri ayam ini tidak menerima subsidi daripada kerajaan,'' ujarnya.

Katanya, penetapan harga siling juga hanya akan memberi manfaat kepada pemborong dan tidak kepada pengguna kerana jika ayam tersebut diambil dengan harga rendah sekalipun, pemborong masih akan menjualnya mengikut harga siling.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah beberapa kali menghantar memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta supaya penetapan harga siling dikaji semula namun masih tiada tindakan.

''Kita telah ajukan perkara ini pada setiap kali musim perayaan selain mengadakan perjumpaan dengan ketua setiausaha kementerian tapi masih tiada keputusan diambil,'' katanya.