Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Sentral: Usaha maju Taman Botanikal


Oleh Nasir Abd Wahab

Mohd Ali cadang pusat riadah kaya pelbagai khazanah hutan hujan tropika jadi pusat rujukan saintis seluruh dunia

MELAKA: Kerajaan negeri akan mencadangkan supaya Taman Botanikal Melaka di Ayer Keroh, dekat sini, yang menyimpan pelbagai khazanah hutan hujan Tropika, dijadikan sebagai pusat rujukan saintis seluruh dunia membuat kajian mengenai asal-usul tumbuhan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata ia berikutan banyak tumbuhan hutan dunia yang nama latinnya dirujuk oleh pengkaji botanikal British sekitar abad ke-19 sebagai 'malaccensis', adalah mengambil sempena nama asal negeri ini.


Katanya, tumbuhan hutan yang terdapat di taman ini pernah menjadi bahan kajian pakar perhutanan British bermula 1862 apabila pentadbiran British di India mengesyorkan pentadbiran perhutanan di Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka, Singapura dan Pulau Pinang dimulakan di negeri ini menerusi penubuhan Jabatan Perhutanan.

"Sejak itu, laporan seorang jurutera yang juga juru ukur British, Mejar Mc Nair pada 1897 menyokong syor itu sebelum Pengarah Botanikal Singapura, Nathaniel Cantley pada 1883 pula diminta menubuhkan Jabatan Perhutanan di bawah pentadbiran pejabat tanah di Negeri-Negeri Selat.

"Oleh kerana pada masa itu Melaka memiliki 14,973 hektar hutan simpan, maka pentadbiran perhutanan Negeri-Negeri Selat dibuka di Melaka,'' katanya sewaktu merasmikan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Melaka, di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, dekat sini, baru-baru ini.

Ekspedisi selama seminggu itu disertai 142 saintis daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dibantu pegawai daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Jabatan Alam Sekitar, Mardi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua badan bukan kerajaan iaitu Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Malaysia Nature Society (MNS).

Ekspedisi ke-18 anjuran JPSM ini, meliputi kajian tumbuhan hutan paya bakau di Kuala Linggi sehingga Pekan Umbai, manakala kajian hidupan liar dan spesies bunga dilakukan di seluruh hutan di negeri ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidzir Abu Hasan; Ketua Pengarah JPSM, Datuk Seri Azahar Muda dan Ketua Ekspedisi, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

Mohd Ali berkata, pada 1888, seorang pakar tanaman getah dan Pengarah Botanikal Singapura, H N Ridley menguruskan hutan simpan di Melaka dengan teratur dan menjadi contoh pengurusan hutan oleh negeri lain di Tanah Melayu pada 1900.

"Pelbagai usaha bakal dilaksanakan untuk membangunkan taman ini sebagai pusat riadah, pendidikan, penyelidikan supaya Melaka dapat menyumbang kepada negara menerusi pusat kecemerlangan dalam pemuliharaan dan penyelidikan biologi hutan hujan Tropika dunia menjelang 2020,'' katanya.

Mohd Ali berkata, usaha itu menjadi lebih mudah apabila Kementerian Pelancongan setuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM7.7 juta untuk membangunkan dan mengindahkan tiga lokasi hutan rekreasi yang berpotensi dibangunkan di negeri ini sebagai tarikan pelancongan berkonsepkan eko pelancongan.

Katanya, sebanyak RM3.2 juta daripada peruntukan itu disalurkan untuk projek peningkatan kemudahan pelancongan di Taman Negeri Melaka di Hutan Simpan Bukit Sedanan di Jasin manakala RM3.2 juta lagi untuk projek sama membabitkan tumbuhan paya bakau laut di Kuala Linggi.

"Selain itu, sebanyak RM1 juta lagi disalurkan untuk projek peningkatan kemudahan pelancongan di Bukit Batu Lebah, di Hutan Simpan Bukit Senggeh, Jasin dan RM300,000 lagi bagi meningkatkan kemudahan rekreasi di Hutan Rekreasi Sungai Udang yang ketika ini diliputi hutan daripada pokok karas (aquilaria malaccensis)," katanya.