Oleh Rozdan Mazalan
BERSATU: Antara penyanyi dan komposer yang menjadi teraju utama Produksi Kaki. |
INDUSTRI hiburan kini semakin sesak dengan kemasukan lagu luar sehingga menjejaskan tumpuan pemuzik tanah air untuk berkarya. Senario ini sekiranya tidak dibendung dibimbangi akan merosakkan pemikiran pengkarya tempatan yang terikut-ikut dengan rentak muzik luar.
Justeru, inisiatif syarikat penerbitan, Produksi Kaki yang ditubuhkan awal tahun lalu bertujuan memberi pendedahan kepada pendengar terutama remaja Melayu berkaitan rentak muzik Melayu kita tanpa memasukkan elemen muzik luar dengan pelbagai genre diperkenalkan.
Pengarah Produksi Kaki, Saidin Omar berkata, kewujudan Produksi Kaki adalah bertujuan menyuntik kembali kegemilangan muzik tanah air disamping menarik pendengar beralih kepada muzik tempatan.
“Istimewanya album yang kita lancarkan ini mengambil nama Wakaf Melayu yang membawa maksud tempat berhenti sejenak di mana wakaf itu sendiri ialah tempat berhenti komposer tempatan untuk berkarya.
“Menerusi Wakaf Melayu, kita menggabungkan banyak komposer yang menyumbang dalam penghasilan album bagi Produksi Kaki seperti Adinda Amiro, Amir EYE, Bell, Bong, Burn, Chobe, Duar, Gary Gideon, Ladin Nuawi Bingkas Kebayan, Mohar, Muzalmi, Nuar Botak, Ramli M.S, Tapai dan banyak lagi,” katanya selepas memperkenalkan Wakaf Melayu baru-baru ini.
Menurut Saidin atau lebih dikenali sebagai Adinda Amiro, majlis pelancaran album ini diadakan semalam di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur (DBP) dengan memperkenalkan penyanyi serta komposer yang terbabit.
“Pelancaran ini dibuat dengan memperkenalkan tiga album serentak iaitu Wakaf Melayu, Wan Nor dan Nada Dering yang mempunyai 30 lagu bersama komposer.
“Menariknya kesemua album ini dinyanyikan mereka yang bukanlah bergiat di dalam industri muzik, tetapi rata-ratanya mereka berkerjaya sendiri seperti juruterbang, jurutera, juruteknik dan pelbagai lagi bidang tersendiri termasuklah penganggur.
“Antara penyanyi yang menyumbangkan suara mereka dalam album ini seperti Wan Nor, Addie, Wan Li, Wan Lan, Irwani, Nukman, Aina, Kumpulan Ghazal Johor, Kumpulan Tumit, May E Mylines dan Irahayu,” katanya.
Konsep Melayu sederhana yang dipertahankan menerusi irama Melayu yang tidak dipengaruhi langsung muzik dari luar turut menggabungkan pelbagai genre muzik di dalamnya.
“Kita mempunyai irama ghazal, ketuhanan, rock, jazz, R&B, dikir, pop dan pelbagai genre muzik namun tidak terikut dengan muzik luar seperti Indonesia mahupun Barat.
“Antara lagu dalam album ini seperti Sahaja, Permaidani, Maknusio, Pedih Melayan Cinta, Bulan Nan Satu, Mata Pesona, Sanggar Jiwa, Fikir, Kaki-Kaki Di Wakaf, Mahkota Buana dan banyak lagi,” katanya yang berharap Produksi Kaki menghasilkan karya lagu Melayu yang berdaya saing untuk menambahkan khazanah lagu Melayu yang segar.
Menyingkap maksud di sebalik perkataan Kaki, Saidon berkata, ia bersesuaian dengan pelbagai lapisan masyarakat, fahaman, kepercayaan dan budaya di mana Kaki adalah kata bagi menyatakan sifat bagi semua golongan tanpa membezakan setiap satu darinya.
“Dari segi fizikalnya Kaki adalah satu anggota utama pada tubuh badan yang menggerakkan perjalanan untuk apa jua tujuan. Letaknya di bawah yang menanggung beban dan tanggungjawab untuk mencapai tujuan,” katanya.