Oleh Sariha Mohd Ali
Bahas Ahmad Shabery, Anwar platform terbaik perbetul kekeliruan penstrukturan subsidi minyak
KUANTAN: Debat mengenai isu penstrukturan subsidi minyak antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, akan memberi peluang kepada kerajaan menjelaskan isu dan dasar yang sering dikelirukan pembangkang, khususnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri.
Debat selama sejam yang disiarkan secara langsung oleh TV9 dan Bernama TV itu juga akan menjadi platform terbaik untuk kerajaan menjelaskan mengenai isu kenaikan harga minyak kepada rakyat, berikutan program itu ditonton orang ramai yang memang menunggu ia diadakan.
Ahmad Shabery berkata, debat itu penting dan mungkin menjadi ikutan selepas ini bagi menjelaskan sebarang isu jika wujud perbezaan pendapat antara kerajaan dan pembangkang.
"Jika ada perbezaan pendapat, kita boleh berhujah secara terbuka menerusi debat dan ini lebih baik berbanding cara sekarang apabila pembangkang pergi ke jalan raya melakukan demonstrasi hingga mengganggu keselamatan orang atau buat konsert tak senonoh.
"Selepas habis debat, isu itu akan habis dan kita tunggu pilihan raya untuk rakyat membuat penilaian," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.
Ahmad Shabery berkata, beliau berpendapat debat berkenaan peluang terbaik menjelaskan isu dan dasar kerajaan.
Debat bertajuk 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' anjuran sebuah portal berita laman internet itu dijadual berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula jam 9 malam dengan kehadiran tetamu terhad bagi memastikan ketenteraman majlis.