Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Ogos 2008

Karnival usahawan wanita


Oleh Nor Affizar Ibrahim

SEMAKIN ramai wanita di negara ini menceburi bidang usahawan. Kebangkitan wanita dalam bidang perniagaan dilihat perkembangan positif dan selari dengan kesedaran pentingnya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi membantu keluarga.

Bagaimanapun, penyertaan wanita dalam bidang itu seharusnya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya perlu membina jaringan lebih luas, berdaya maju dan adanya penguasaan pemasaran produk niaga setempat mahupun peringkat antarabangsa untuk terus kekal atau bersaing.

Sehubungan itu, bagi memberi peluang kepada usahawan wanita untuk meluaskan rangkaian pemasaran produk, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dengan kerjasama Glomac Berhad akan menganjurkan Karnival Usahawan Wanita 2008 di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh pada 9 dan 10 Ogos depan.


Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Awal, berkata program yang julung kali diadakan itu turut bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada usahawan serta masyarakat yang berminat terhadap pengurusan kewangan dalam perniagaan efektif.

Beliau berkata, karnival yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar itu adalah program pertama dianjurkan Yadim dalam usaha membantu usahawan wanita, berbanding sebelum ini yang lebih banyak menjurus aktiviti berkaitan hal kemasyarakatan dan pembangunan sosial.

“Pada asalnya, Yadim ingin menganjurkan program ekonomi bagi menggalak dan membantu ibu tunggal yang menghadapi masalah menjana pendapatan tetap untuk menanggung keluarga. Pada masa sama, Yadim juga sedar ramai ibu tunggal yang menceburi bidang perniagaan, tetapi pendapatan diperoleh tidak seberapa kerana aktiviti diceburi tidak berkembang dan kebanyakan dijalankan secara kecil-kecilan, hanya cukup untuk menampung kehidupan harian saja.

“Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelbagai aspek adalah lebih baik program karnival diperluaskan lagi dengan membabitkan semua usahawan wanita dalam pelbagai cabang perniagaan untuk turut sama menjayakannya. Ini lebih baik, malah memberikan banyak manfaat kepada ibu tunggal untuk meningkatkan pengetahuan mahupun mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan. Ini kerana untuk berjaya dalam bidang perniagaan, mereka perlulah keluar daripada kelompok masing-masing,” katanya.

Selain itu, Noor Aziah berkata, pihaknya juga berharap melalui program berkenaan satu jaringan kerjasama berpanjangan di antara pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diwujudkan, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.

Beliau berkata, pada karnival itu sebanyak 80 gerai akan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada usahawan wanita di kalangan persatuan ibu tunggal hinggalah wakil agensi MECD seperti Tekun Nasional (TEKUN), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta wakil persatuan usahawan wanita.

Katanya, antara produk yang akan dijual sepanjang karnival berkenaan ialah makanan, produk kesihatan dan kecantikan, pakaian, aksesori wanita, barangan rumah dan perkhidmatan seperti pelancongan, insurans dan andaman. Selain itu, ada juga gerai yang mempamerkan produk agensi kerajaan dan swasta seperti sektor perbankan, agensi menyediakan perniagaan serta badan kerajaan lain.

“Yadim berharap, usahawan wanita di seluruh negara merebut pelbagai peluang yang boleh diperoleh di karnival itu nanti. Ini termasuklah, bagi mereka yang mengalami masalah modal untuk mengembangkan perniagaan, tetapi tidak tahu sumber atau pihak yang boleh membantu dan usahawan yang ingin meningkatkan kemahiran bagi menambahkan lagi produktiviti keluaran,” katanya.

Selain daripada gerai yang menjual pelbagai produk, pelbagai program turut disediakan sepanjang karnival itu berlangsung. Antaranya termasuk bengkel bertajuk Menjejak Sayidatina Khadijah: Muslimah Sejati Dalam Konteks Pengurusan Kewangan Islam, pertandingan memasak, forum bertajuk Bicara Usahawan Muslim, demonstrasi busana Muslimah dan produk kecantikan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan persembahan nasyid.