Maju Melayu Perkasa!

08 Ogos 2008

Hiasan bilik pengantin


Oleh Hidayah Mohammad


TENANG: Bilik pengantin pelakon dan model, Dynaz ringkas dan menarik.

BILIK tidur pengantin dalam perkahwinan kini menjadi satu kemestian. Tempat yang diberi keutamaan, bilik tidur pengantin selalunya dihias indah untuk meningkatkan suasana perkahwinan yang dikecapi sekali dalam seumur hidup.

Selain memberi tumpuan terhadap dekorasi pelamin dan barangan dulang hantaran, bilik tidur juga sentiasa menjadi perhatian tetamu terdekat. Walaupun tetamu tidak masuk, tetapi sudah pasti ada yang ingin menyelak langsir untuk mencuri lihat ke dalam.

Atas dasar itulah, walau apa jua bangsa dan kaum, bilik pengantin akan dihias cantik mengikut kemampuan masing-masing.


Aura hasil sentuhan juruhias

BAGAIKAN satu kemestian dalam adat perkahwinan, bilik tidur pengantin perlu dihias bagi menyerlahkan sambutan raja sehari. Mengikut cita rasa dan konsep dalam perkahwinan, bilik tidur juga antara memberi semangat kepada pengantin ketika menempuh hari perkahwinan.

Perunding perkahwinan veteran, Maznah Yusoff, berkata semangat yang dimaksudkan ialah dari sudut kecantikan, suasana dan kelengkapan pada majlis berkenaan. Bilik tidur pengantin tidak berseri sekiranya tanpa sedikit hiasan sekurang-kurangnya menggunakan cadar baru bersesuaian serta hiasan bunga.



"Hiasan bersederhana sudah memadai tetapi masyarakat sekarang begitu mementingkan hiasan berlebihan terhadap dua perkara iaitu pelamin dan juga bilik tidur. Ini adalah kerana mahu nampak cantik, berbeza kerana dianggap sebagai satu kemestian.

"Sungguhpun begitu, hiasan bilik tidur ada yang ingin nampak hebat dan ada juga yang memilih konsep ringkas tetapi menenangkan. Dalam apa juga faktor, yang penting, hiasan bilik pengantin mesti kelihatan tenang," katanya ketika ditemui menghiasi bilik tidur pengantin rumah pelanggannya di Sungai Besi, baru-baru ini.

Maznah berkata, selain dihias sendiri oleh ahli keluarga, kebanyakan pengantin juga menggunakan khidmat juru hias bilik. Walau siapa pun yang menghiasinya, mereka perlu menyeimbangi suasana. Jika terlalu sarat maka 'mood' pengantin juga akan berserabut.

"Namun begitu, sarat, ringkas atau sebagainya ia bergantung kepada kehendak serta cita rasa pengantin itu sendiri. Tetapi, juru hias juga perlu bijak memainkan peranan runding dan nasihat kepada pelanggan," katanya.

TRADISIONAL: Hiasan bilik pengantin masyarakat Melayu.

Katanya, beberapa bulan sebelum berlangsungnya majlis bersejarah, pengantin terlebih dulu perlu memikirkan konsep, tema dan warna yang dikehendaki. Selain itu, pengantin harus berbincang dengan juru andam yang mempunyai keserasian supaya keinginan dapat dicapai.

"Saya ingin mengingatkan, pengantin dan keluarga perlu mempunyai keserasian sebelum bermula langkah melakukan kerja menghias. Keserasian adalah penting supaya kedua-dua pihak mudah menjalankan tugas masing-masing," katanya.

Beliau berkata, banyak konsep kini menjadi pilihan. Lazimnya, konsep tradisional yang begitu diagung-agungkan masyarakat dulu kini kurang diterapkan dalam perkahwinan.

"Konsep tradisional yang digunakan dulu contohnya seperti set kain cadar dari kain tenun benang emas, kain hiasan dan sedikit bunga untuk tampak seri bilik. Namun, kini kain tenun benang emas tidak lagi menjadi pilihan berikutan banyak penawaran dengan konsep lebih segar, menarik dan moden.

"Zaman moden kini, ramai yang gemar mengalas katil mereka dengan cadar yang diperbuat daripada kain satin atau renda. Tetapi saya kali ini, saya menyarankan bakal mempelai cuba menggunakan kain cita pula. Selain daripada selesa dan tidak memanaskan, ia tahan lama dan lebih menjimatkan," katanya.

Maznah berkata, pewangi juga meningkatkan aura wangian bilik tidur. Cukup sekadar meletakkan bunga rampai atau pewangi bilik. Jangan pula terlalu mengikut tren semasa dengan menggunakan pelbagai jenis lilin, kononnya untuk tampak beza.

"Ia sangat berisiko tinggi. Lilin yang dinyalakan boleh mengundang bencana seperti kebakaran. Ia pernah berlaku dan seharusnya dijadikan pengajaran," katanya.

Selepas bertungkus lumus memastikan majlis berjalan lancar bilik tidur pengantin menjadi tempat pasangan menikmati ketenangan dan menenangkan fikiran. Oleh itu, hiasan bilik tidur memainkan peranan penting dalam sesebuah perkahwinan.

INFO:

Panduan sebelum menghias bilik tidur pengantin

  • Tentukan terlebih dulu warna tema bilik pengantin.

  • Pilih konsep bersesuaian sama ada mahu nampak elegan, ringkas, kemas, selesa atau klasik.

  • Pilih set bilik tidur yang bertepatan dengan tema. Pilihan ini penting sebelum memberi fokus pada hiasan langsir, latar belakang kelambu hiasan katik dan permaidani serta cadar.


Panduan menyiapkan bilik pengantin

  • Pilih cadar katil dari warna putih atau 'pastel'. Elakkan dari memilih cadar bercorak besar kerana ia boleh menyebabkan bilik nampak kecil dan sempit.

  • Elakkan dari meletakkan hantaran di atas katil bertilam spring kerana ia boleh menyebabkan dulang hantaran tidak stabil dan jatuh. Sediakan ruang bersebelahan katil untuk mempamerkan barang hantaran.

  • Elak dari meletak jambangan bunga yang besar atas tilam. Lebih baik memilih jambangan bunga segar bersaiz kecil dengan kuantiti banyak supaya boleh diletakkan di tepi kiri kanan katil. Lebih manis gayanya.

  • Hias bilik dengan wangian lembut. Selain nampak cantik, wangi berupaya memberi suasana romantik kepada bilik pengantin.

  • Hias meja solek dengan barangan seperti botol haruman bersaiz kecil, kaki lilin, serta bekas potpouri.

  • Tabur cebisan bunga mawar ke dalam bekas air bertakung untuk menambah suasana romantik di bilik pengantin.