Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

12 Ogos 2008

Penyamun bermusim


Oleh Mohd Azis Ngah


GUBAHAN wang hantaran yang pelbagai.

Wang hantaran, barang kemas jadi sasaran: Wanita paling ramai ditangkap kerana mencuri pada majlis kenduri di rumah pengantin

MUSIM cuti sekolah yang akan bermula seminggu lagi seperti biasa menjadi tumpuan masyarakat mengadakan kenduri kahwin kerana ketika itulah masa paling sesuai untuk ahli keluarga sama ada jauh atau dekat untuk berkumpul.

Itu belum lagi dikira jiran, penduduk kampung atau taman, jemputan khas serta kenalan pengantin. Semuanya akan hadir dengan satu tujuan, iaitu meraikan pengantin baru dan menerima pasangannya sebagai seorang daripada ahli keluarga dan masyarakat.


Tetapi, awas. Berhati-hati dengan tetamu yang tidak dikenali, berlagak seolah-olah ahli keluarga ketika kenduri kahwin tetapi mempunyai niat jahat tersirat mencuri apa saja yang berkenan di hati atau memberi pulangan lumayan.

Jika awal 80-an hingga 90-an memang ada dilaporkan kes mencuri ketika kenduri kahwin tetapi ia lebih kepada kehilangan kasut atau basikal milik kanak-kanak.

Tetapi trend semasa lebih kepada memecah masuk, menceroboh dan mencuri di rumah pengantin. Menariknya, ia berlaku di tengah-tengah hadirin penuh sesak di rumah, tetamu duduk menjamu dan sudah tentu pengantin sedang tersimpuh malu di atas pelamin.


Pada masa sama tuan rumah, sama ada bapa dan ibu pengantin sibuk melayan tetamu serta memastikan semuanya berjalan lancar atau tidak sebarang masalah akan timbul. Sudah tentu ketika ini soal keselamatan di bilik pengantin atau bilik utama agak longgar.

Apa yang menarik perhatian ialah himpunan duit hantaran yang biasanya diletakkan di dalam album gambar, barang kemas atau barang bernilai seperti kamera atau apa saja yang terhidang di depan mata akan menjadi sasaran terbuka.

Konsep rumah terbuka yang kebiasaan diamalkan keluarga Melayu sebenarnya memberi peluang kepada penjenayah untuk memecah masuk tanpa disedari atau lebih mudah dikatakan lebih berisiko berbanding jika diadakan di dewan atau hotel.

Namun, persoalan sama ada kenduri wajar diadakan di dewan atau rumah mempunyai pro dan kontra tersendiri.

Penganalisis jenayah yang juga Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamal Afendi Hashim berkata, tetamu yang datang ke majlis kenduri kahwin sebenarnya mempunyai pelbagai niat termasuk ada yang cuba melakukan jenayah.

“Sesiapa saja boleh datang. Bahkan, boleh dikatakan ada yang sengaja datang untuk makan percuma, padahal langsung tidak dijemput atau mengenali keluarga pengantin.

“Dalam hal mencuri dalam rumah atau bangunan, biasanya dilakukan wanita kerana golongan inilah yang paling ramai di dalam rumah pengantin dan terbabit secara langsung dalam kerja menghias, menyiapkan pelamin atau hal-hal wanita.

“Wanita tidak mudah disyaki, jika ahli keluarga ternampak individu tidak dikenali, mereka tidak akan tergamak menghalau dan mereka juga bijak berlakon dengan mendapatkan sedikit maklumat awal mengenai latar belakang keluarga pengantin,” katanya.

Kebiasaannya kes ini berlaku di kawasan pinggir bandar atau kampung disebabkan majoriti penduduk bandar kini lebih gemar dan selesa mengadakan kenduri di dewan atau hotel.

Sehubungan itu, katanya, majlis di dewan lebih selamat kerana setiap tugasan mempunyai ahli jawatankuasa sendiri misalnya beberapa orang ditugaskan menjaga hal ehwal hadiah, tetamu. Ini sekali gus mengurangkan risiko barang dicuri.

Bahkan, kebiasaannya barang hantaran juga tidak dibawa ke dewan dan majlis juga lebih tertumpu kepada acara utama iaitu bersanding, makan beradat, memotong kek serta sesi bergambar dan bertemu tetamu.

“Kawalan di hotel atau dewan lebih ketat. Memang diakui kosnya lebih mahal berbanding kenduri di rumah, tetapi ia lebih selamat dan memudahkan keluarga pengantin kerana semuanya diuruskan di sana.

“Tetapi ada juga kes menyamar sebagai wakil keluarga pengantin. Ia berlaku di rumah atau di dewan. Caranya cukup mudah, jika ada tetamu bertanyakan siapa bapa atau wakil pengantin, mereka cepat-cepat mengaku dia adalah wakil.

“Adat orang Melayu, tetamu yang datang biasanya akan memberikan sumbangan. Ketika ‘salam berisi’ itulah penjenayah itu memainkan peranan dengan mengambil sampul surat berisi duit. Mereka cuma perlu berpakaian sama dengan tema keluarga dan letakkan bunga pada baju. Itu sudah cukup meyakinkan tetamu,” katanya.

INFO: Waktu kritikal berlakunya kecurian semasa kenduri kahwin : 3 jam

  • 1 jam pertama - sebelum persandingan

  • 2 jam pertama - semasa ketibaan pengantin, persandingan

  • 3 jam pertama - selepas selesai, semua orang sibuk

  • Hanya 30 peratus yang datang kenduri benar-benar ikhlas untuk menyaksikan majlis perkahwinan pengantin dan berjumpa mereka iaitu kawan lama, keluarga dan jiran terdekat.

  • Tetamu lain adalah ‘populasi tetap’ iaitu, mak andam, catering, pasukan kompang, pasukan juruteknik sistem bunyi.

  • Bakinya adalah tetamu yang datang sekadar memenuhi undangan keluarga pengantin.

    INFO: Modus operandi pencuri

  • Mendapatkan maklumat awal tempat kenduri kahwin berdasarkan poster atau apa saja tanda perkahwinan termasuk bunga manggar di persimpangan ke rumah pengantin sehari sebelum majlis.

  • Memakai pakaian hampir sama dengan tema pakaian keluarga pengantin.

  • Bertanyakan kepada jiran atau penduduk setempat mengenai latar belakang keluarga pengantin.

  • Duduk setempat untuk tempoh lama, misalnya di dalam rumah sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

  • Kebiasaan akan membawa kanak-kanak dengan membiarkan anak bermain di sekitar rumah dan berlagak seolah-olah sedang menjaga mereka.

  • Akan menyelinap masuk ke bilik pengantin ketika waktu kritikal (sebelum, semasa dan selepas majlis persandingan).

  • Berpura-pura ke bilik air jika terserempak dengan tetamu lain ketika mencari bilik pengantin.

  • Kebiasaannya penjenayah ini mempunyai rakan yang bertugas sebagai pemandu yang menunggu di luar rumah.

  • Penjenayah bermusim ini biasanya menjadikan majlis keramaian, perjumpaan termasuk majlis kematian sebagai sasaran mereka.

    TIP:

  • Kurangkan risiko kehilangan duit hantaran

    - Dicadangkan dibuat secara kiriman wang atau bank draf atas nama pengantin.

    - Menggubah wang hantaran kepada bentuk lebih selamat berbanding diletakkan di dalam album gambar kerana gubahan lebih sukar dibawa lari

  • Kebanyakan pencuri adalah wanita. Perhatikan individu yang mencurigai dan mendakwa sebagai ahli keluarga tetapi jarang bergaul atau ditemui berbanding ahli keluarga lain.

  • Kes ragut tetamu di luar rumah.

    - Jarakkan kedudukan ketika berjalan dengan mewujudkan zon penampan, misalnya menggunakan payung. Ini kerana, lingkaran payung secara automatik akan menjadi satu zon selamat dan sukar bagi peragut mencapai beg tangan di bahu.

  • Penggunaan tas tangan wanita bertali panjang.

    - Lebih selamat jika menggunakan tas tangan bertali pendek, mudah dipegang dan boleh diselitkan di bawah ketiak dan mengurangkan kecenderungan untuk meletakkan beg di atas meja makan.

  • Niat menghadiri majlis. Tukar persepsi menghadiri majlis perkahwinan untuk menunjuk-menunjuk barang kemas bagi mengelak anda menjadi sasaran mudah penjenayah.
  •