MEMANG menjadi adat manusia setiap kali berlakunya sesuatu isu terutamanya kenaikan harga minyak, barang dan kejadian-kejadian yang tidak diingini kita akan menuding jari untuk mencari siapa yang silap daripada berusaha mencari jalan penyelesaian ataupun menyumbang buah fikiran yang bernas untuk penyelesaian sesuatu masalah.
Jari telunjuk kita akan sentiasa berpusing bak radar mencari siapa yang akan kita persalahkan, tetapi bijak pandai ada mengatakan kalau satu jari menuding ke arah orang lain maka jari-jari lain akan menuju ke arah kita.
Namun berapa ramaikah antara kita yang berterima kasih dan bersyukur di atas kemakmuran dan kenikmatan yang dikecapi?
Jelas terbukti kemakmuran yang dikecapi di Malaysia tidak boleh dinafikan lagi. Di saat jiran tetangga kita Negara Gajah Putih bergolak, anak-anak kita bebas pergi ke sekolah tanpa perlu mengelak daripada terpijak periuk api dan bom buatan sendiri.
Para pensyarah dan guru bebas untuk menyampaikan ilmu tanpa bimbang pelajar akan mengacukan pistol. Pelancong-pelancong bebas untuk memilih serta menginap di hotel-hotel terkemuka tanpa perlu khuatir terperangkap dengan serangan bom pasukan berani mati.
Para peniaga bebas berniaga tanpa perlu risau akan tembakan rambang M-16. Adakah yang kita kecapi sekarang ini bukan nikmat kemakmuran yang perlu kita syukuri? Ironinya kita sukar untuk mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas kemakmuran yang ada.
Apabila berlaku kenaikan harga minyak kerana kenaikan harga minyak dunia yang melonjak tinggi, semua pihak menuding jari kepada pihak kerajaan atau lebih tepat kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna tetapi apabila kerajaan membuat keputusan menurunkan harga minyak buat kali keenam sejak Ogos lalu hingga ke paras RM1.90 seliter di bawah harga sebelum ini iaitu RM1.92 seliter pada Mac 2006 untuk RON97 manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, apakah ada di antara kita mengucapkan terima kasih?
Kebanyakan kita hanya diam sahaja, kalau ada pun mungkin hanya segelintir sahaja yang mengucapkan terima kasih.
Mungkin pendapat ini agak berat sebelah tetapi dalam soal ini kita perlu rasional dan profesional kerana bukan semua yang dibuat oleh kerajaan itu salah dan tidak semua yang dibuat oleh pembangkang itu betul.
Sebaliknya dalam soal-soal yang melibatkan kepentingan rakyat semua pihak perlu duduk semeja untuk berbincang dan bukannya bertelagah, bertegang urat dan terjerit-jerit sehingga menjejaskan kredibiliti masing-masing.
Rakyat yang semakin berpendidikan dan matang sudah 'muak' menyaksikan 'lakonan' dan gelagat wakil yang dipilih untuk menyuarakan kepentingan mereka walaupun ada segelintir yang harus diberikan pujian.
Tidak kita nafikan untuk melahirkan satu pentadbiran yang kuat kita perlu mempunyai pembangkang yang konstruktif selaras dengan prinsip check and balance bukannya check and bang.
Sebaliknya semua pihak perlu berpadu tenaga untuk menghadapi cabaran krisis ekonomi dunia yang bakal dihadapi pada tahun 2009 nanti demi untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.
Namun begitu jikalau kita semua menanamkan sikap dalam diri untuk berterima kasih terhadap usaha-usaha murni yang dilakukan untuk kemakmuran dan kepentingan rakyat serta bersyukur di atas apa yang kita kecapi sudah tentu sikap tamak, tidak berpuas hati atas apa yang ada, tuduh-menuduh akan terhindar dalam diri kita.
Dicemari
Kita perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku di negara 'Bollywood', walaupun mereka mempunyai pelakon-pelakon yang tersohor, hotel yang termasyhur di dunia tetapi dicemari dek dirobek keganasan manusia yang rakus dan cintakan keganasan.
Lebih 180 orang terbunuh dan hampir 320 manusia tercedera akibat daripada keganasan di Mumbai. Sebaliknya di Malaysia kita tidak pernah mendengar dentuman bunyi bom di hotel-hotel terkemuka dan pelancong asing terperangkap dalam runtuhan bangunan kerana letupan bom.
Di negara jiran pula, ramai pelancong dan jemaah haji terkandas kerana lapangan terbang dikuasai oleh beribu-ribu penunjuk perasaan, sebaliknya kita di Malaysia, alhamdulillah jemaah haji kita selamat berlepas, bahkan Tabung Haji diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia dalam menguruskan jemaah haji.
Namun kita kadang-kadang terlupa bahawa kita berada di negara yang rakyatnya hidup tanpa perlu memikul senjata untuk mempertahankan diri, bebas mengeluarkan pendapat hingga ada yang melampaui kebebasan, berbicara sesuatu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan hinggakan hilang pertimbangan rasional.
Realitinya kita tidak berterima kasih dan bersyukur kerana mengambil kesempatan di atas kemakmuran yang ada serta sentiasa mencipta isu-su sensasi dan sensitif.
Adakah ini semua tidak cukup untuk kita menzahirkan ungkapan terima kasih dan mensyukuri nikmat yang ada? Tidak kira apa agama yang kita anuti apatah lagi sebagai seorang muslim kita sememangnya dituntut untuk bersyukur di atas kenikmatan yang ada.
Namun kita sering terlupa di mana bumi yang kita pijak, langit yang kita junjung sehinggakan kita selalu mempersoalkan perkara yang remeh-temeh tanpa memfokuskan kepada kepentingan rakyat yang berbilang kaum.
Episod sensasi perlu dihentikan dan siri sensitif perlu dibanteras dengan ketegasan agar keamanan yang dicipta tidak dicemari dek kerana nilai setitik dan kerbau seekor yang membawa lumpur.
Kita perlu berpaksi atas dasar berterima kasih kepada usaha-usaha yang membawa manfaat berterusan untuk rakyat berbilang bangsa dan bersyukur di atas kenikmatan dan kemakmuran yang dikecapi agar keamanan berpanjangan dapat menjamin kesejahteraan rakyat yang berterusan.