Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Disember 2008

Risiko bila peraturan alam diabaikan


Tiga tragedi mutakhir melibatkan runtuhan tanah di sekitar ibu negara dan negeri Selangor mengundang kembali ingatan kita terhadap kisah penuh tragik dan dramatik Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 48 nyawa. Peristiwa hitam yang luar biasa itu sememangnya tidak pernah kita duga boleh berlaku di negara ini

Setelah pelbagai siasatan yang melibatkan banyak pihak, maka antara punca tragedi yang dikenal pasti ialah aktiviti aliran air bawah tanah yang mengganggu kestabilan dan kekuatan tanah. Hasil siasatan itu telah membawa kepada wujudnya peraturan-peraturan dan kaedah penguatkuasaan yang membabitkan kerja-kerja penerokaan dan pembangunan kawasan tanah tinggi.

Rakyat seolah-olah baru menyedari akan risiko dan padah yang bakal dihadapi jika memilih lokasi berbukit sebagai tempat tinggal. Tragedi Highland Towers juga seakan-akan menjadi penamat kepada kerja-kerja penerokaan kawasan lereng atau tebing bukit untuk dijadikan kawasan penempatan.

Tetapi kita amat tidak menduga bahawa segala hasil kerja kuat para pengkaji yang terlibat dengan siasatan punca tersungkurnya satu blok kondominium di Highland Towers itu telah dibakul sampahkan. Kesedaran tentang risiko dan bahaya projek-projek pembangunan yang melibatkan kawasan berbukit hanya seketika dan boleh diumpamakan mencurah air di daun keladi.

Kerakusan pihak pemaju mengaut untung dan kelalaian pihak berkuasa meluluskan setiap projek telah menyaksikan penerusan kerja-kerja penerokaan kawasan berbukit untuk pelbagai projek termasuk untuk penempatan rakyat.

Tidak kira untuk apa sekalipun projek berkenaan, yang jelas kita telah mengkhianati dan menidakkan kesungguhan para pengkaji yang telah membuat keputusan yang menyatakan kawasan berbukit termasuk lereng, tebing dan kawasan berdekatan tidak sesuai, tidak selamat dan tidak boleh dimajukan jika kita gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Atas nama kemajuan, keuntungan dan permintaan yang tinggi maka kita telah menguburkan segala undang-undang dan peraturan yang melibatkan pembangunan kawasan berbukit. Pemaju kembali dengan rakusnya meneroka bukit dengan kedangkalan ilmu geografinya. Kaedah dan sistem yang dicadangkan tidak dihiraukan kerana kelemahan aspek pemantauan pihak berkuasa.

Dengan berulangnya tragedi ngeri di Bukit Antarabangsa baru-baru ini, maka segala fail mungkin akan dibuka semula. Segala undang-undang dan peraturan dengan cepat dikeluarkan dari simpanan dan diletakkan semula di atas meja supaya senang dan mudah untuk dirujuk jika ada permintaan mengejut.

Itulah cara kerja orang kita yang begitu mudah lupa akan segala peristiwa lalu. Dalam konteks lain, aspek sejarah atau peristiwa lampau tidak dijadikan panduan utama sebelum menetapkan sesuatu keputusan.

Bukan terlalu sukar untuk memahami akan bahaya dan risiko yang akan dihadapi jika kita terus menggunakan tiket pembangunan untuk mengeksploitasi alam sekitar bagi tujuan pembangunan. Kita akur dengan kehendak negara kita yang pesat menuju dan merebut status negara maju tetapi kita cepat lalai dengan kesesuaian lokasi dan peraturan sedia ada dalam tindakan.

Jika kita sudah memiliki undang-undang dan peraturan yang bersangkut paut dengan aktiviti pembangunan kawasan berbukit maka kita perlu akur. Apa guna kita memaksa tenaga-tenaga pakar memerah otak untuk merangka peraturan tetapi kita tidak berhajat untuk menguat kuasakannya. Ini salah satu aspek tindakan yang songsang dalam memartabatkan dasar dan hala tuju negara.

Apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa dan kejadian-kejadian seumpamanya sebelum ini adalah berpunca daripada rendahnya mentaliti rakyat kita yang bergelar pemaju terhadap alam sekitar. Golongan pemaju ini bergerak atas dasar kemajuan dan pembangunan dengan bermotifkan keuntungan.

Risiko dan kesan sampingan yang bakal muncul seakan-akan disorokkan untuk menggelapkan mata rakyat yang begitu teruja dengan lokasi indah di lereng bukit.

Arahan memberhentikan kerja-kerja pembangunan di kawasan berbukit oleh kerajaan mungkin dipatuhi ketika tragedi masih panas dan media masih berselera membuat laporan. Tetapi segalanya akan cepat dilupakan apabila kita sudah tidak terbaca atau terlihat isu ini muncul di dada media.

ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM