Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 April 2009

Menu burung puyuh


Oleh NOOR HASTIKAH HASSAN




SUSUN atur meja yang santai tetapi eksklusif dan menarik, disertai kemudahan Internet tanpa wayar (Wifi) secara percuma menyebabkan ramai beranggapan hanya orang yang berada atau ‘ada kelas’ mengunjungi restoran itu.

Namun, sebaik menjejakkan kaki ke kafe Route 69 dan melihat sendiri senarai makanan yang tersedia daripada pilihan makanan ala barat, tomyam dan pizza, pasti ramai yang terpanggil untuk mengunjunginya.


Keistimewaan yang terdapat di restoran ini tidak hanya terletak pada dekorasi dalaman dan kemudahan disediakan, tetapi juga harga makanan berpatutan dan mampu memenuhi cita rasa serta kepuasan pelanggan.

Kedudukannya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berhampiran kawasan perumahan serta institusi pengajian tinggi menjadikan restoran itu lokasi pilihan sama ada untuk bersantai bersama keluarga, sahabat handai atau kekasih.

Sebaik melangkah kaki ke Route 69, pengunjung boleh memilih sama ada mahu menikmati hidangan di bilik berhawa dingin atau lepak di kaki lima restoran untuk menikmati pemandangan luar restoran.

Kemudahan bilik berhawa dingin yang mampu memuatkan lebih 50 orang selain dilengkapi kemudahan skrin layar dan sistem pembesar suara sesuai untuk lokasi bermesyuarat atau jamuan meraikan sahabat handai tanpa mengganggu pengunjung lain.

Pelbagai pilihan makanan ala barat di restoran itu boleh didapati pada harga berpatutan. Bagi yang inginkan kelainan boleh mencuba menu istimewa iaitu Set Sate Goreng pada harga RM7.90. Ia dihidang bersama ‘coleslaw’ dan kentang goreng.

Lebih istimewa, sate ayam ini menggunakan ayam organik. Ia tidak dibakar atau dipanggang seperti sate biasa sebaliknya digoreng dan boleh dicicah dengan dua jenis sos sama ada 'Black Pepper' dan 'Sweet & Sour'.

Peminat pizza juga boleh merasai keenakan tiga jenis perisa iaitu BBQ, black pepper dan supreme.

Bagi yang datang bersama keluarga atau sahabat handai set hidangan 'Family Set', 'Friendly Set' atau 'Couple Package' ialah pilihan sesuai dan ditawarkan dengan harga istimewa.

Hidangan 'Family Set' mengandungi tomyam, ikan (jenis ikan dan masakan boleh dipilih), sayur (boleh dipilih), telur bungkus dan sejenis lauk yang boleh dipilih mengikut cita rasa masing-masing pada harga RM75 untuk enam orang.

Hidangan bagi 'Friendly Set' mengandungi makanan yang sama dengan harga RM50 Ia cukup untuk empat orang manakala set 'Couple Package' hanya menawarkan tiga jenis masakan iaitu tomyam, sayur dan ikan pada harga RM25.

Pemilik restoran berkenaan, Abdul Aziz Shik Ahmad, berkata dia mengambil alih restoran itu daripada pemilik lain pada November tahun lalu dan mengubahsuai premisnya supaya kelihatan lebih moden dan segar

"Route 69 adalah nama sebuah tempat di Amerika yang terkenal dengan makanan barat. Nama berkenaan sesuai dengan restoran ini kerana menawarkan makanan ala barat sebagai hidangan utama selain tomyam dan pizza," katanya.

Abdul Aziz berkata, restorannya turut menawarkan satu lagi menu istimewa yang tidak terdapat di restoran lain iaitu Set Puyuh yang menggunakan burung puyuh sebagai bahan utama.

Keistimewaan set ini ialah pelanggan dapat merasai dan menikmati keenakan burung puyuh berempah yang digoreng seperti ayam biasa dan dihidangkan bersama 'coleslaw' dan kentang goreng pada harga RM7.90. Murah, bukan?