Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Mac 2008

Tokoh Falak Nusantara


Oleh Mohd Azis Ngah


SHEIKH Muhammad Tahir Jalaluddin

Sheikh Muhammad Tahir juga dikenali sebagai ahli 'Kaum Muda' atau golongan ulama reformis

DI PANTAI Acheh, Pulau Pinang, ada sebuah pusat observatori dikenali sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir yang menjadi tempat cerapan hilal dan kajian falak oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Tempat cerapan ini dinamakan sempena nama seorang ulama, tokoh besar dalam bidang Falak Syar’i yang memang terkenal di Nusantara iaitu Muhammad Tahir Syeikh Muhammad, yang juga dikenali sebagai Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari.


Beliau adalah tokoh bidang Falak Syar’i yang memantapkan bidang fardu kifayah di rantau Nusantara melalui pengajaran, penggunaan dan penyebaran ilmu berkenaan di kalangan alim ulama yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Sheikh Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi, Minangkabau, Sumatera Barat. Bapanya, Sheikh Muhammad (bergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking) manakala datuknya keturunan bangsawan Minangkabau iaitu Tuanku Ahmad Jalaluddin.

Anak yatim ini dibesarkan keluarga sebelah ibunya dan ketika berumur hampir 12 tahun beliau dihantar ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan berada di sana lebih 12 tahun.

SHEIKH Muhammad Tahir bersama anaknya Tun Hamdan, bekas Yang DiPertua Pulau Pinang.

Di antara bidang ilmu yang dipelajari ialah ilmu al-Quran, Hadis, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak.

Kehidupan dan keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara sepupu dengannya yang pada waktu itu dilantik sebagai Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram.

Sheikh Tahir pulang ke Sumatera ketika berumur 24 tahun dan selepas empat tahun, beliau sekali ke Timur Tengah, iaitu Mesir.

Beliau mendalami bidang Falak ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun dan di situ beliau menerima pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur adat resam kuno serta mengembalikan Islam ke landasan al-Quran dan hadis.

PUSAT Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang.

Disebabkan kegiatan Sheikh Tahir yang berkait dengan pemikiran reformasi itu, beliau dikenali sebagai ahli ‘Kaum Muda’ atau golongan ulama reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.

Ketika di Mesir, beliau berdampingan dengan tokoh perjuang Islam seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha yang bergiat dalam penulisan rencana melalui akhbar berunsur Islam seperti Al-Manar.

Sheikh Tahir pernah menyumbangkan rencana ilmiah di akhbar berkenaan. Pendekatan sama beliau gunakan ketika kembali ke Tanah Melayu dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (kelolaan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi dan rakannya, selain akhbar Saudara).

Beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas tuduhan palsu. Bagaimanapun, selepas ditahan selama enam bulan, beliau dibebaskan. Sheikh Tahir mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, berpendirian tegas dan keras dalam hal keagamaan.

Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulama ‘Kaum Tua’ serta tidak suka terkongkong dengan ikatan adat hidup terlalu kuat termasuk Adat Pepatih.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatera atau untuk menjalankan perniagaan secara sampingan.

Berdasarkan maklumat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, Perak sebelum dilantik sebagai Mufti Perak selama tiga tahun di era pemerintahan Sultan Idris. Bagaimanapun, banyak fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulama golongan 'Kaum Tua'.

Sheikh Tahir kemudian berkhidmat di Johor pada 1914 sebagai pendidik dan nazir sekolah agama Johor selama empat tahun dan disambung lagi selama 3 tahun dari 1925 hingga 1928.

Pada masa sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pembelajaran Islam menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Dalam dunia pendidikan, Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. Beliau pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam.

Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai pendidik dan pengetua selama tiga tahun (1920 hingga 1923) sebelum pulang ke Kuala Kangsar, Perak.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada 1928 dan bersara di Kuala Kangsar, Perak pada 1029. Walaupun bersara, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulama penulis dan ahli Falak Syar’i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut dan anak muridnya yang kemudian menjadi ulama.

PROFIL: Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al_Falaki Al-Azhar

  • Dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat.

  • Kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun.

  • Dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak.

  • Jabatan Muzium Negara mengisytiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau.

  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.

  • Bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai 1350 (1929).

  • Berkahwin enam kali dan yang terakhir dengan Aishah Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak.

  • Mereka mempunyai enam anak iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid.

  • Anak kelimanya, Tun Hamdan Sheikh Tahir cemerlang dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi dan mendapat gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.

    FAKTA: Falak Syarie

  • Aspek Falak Syar’i, melahirkan kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada 1936) iaitu Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman.

  • Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada 1362H./1941M.).
  • Pejuang kemajuan Bahasa Melayu diusir ke England


    Oleh Mohd Azis Ngah


    DATUK Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak.

    Inggeris singkirkan Abdul Rahman Andak yang berjaya lahirkan ramai bijak pandai Melayu kerana bimbang pengaruhnya berkembang

    JOHOR memang terkenal sebagai negeri yang melahirkan ramai golongan bijak pandai dan pejuang bangsa. Bahkan hasil titik peluh mereka diguna pakai masyarakat seluruh negara hingga ke hari ini.

    Seorang daripada tokoh besar kelahiran Johor ialah Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak, seorang berpendidikan Inggeris dan dianggap sebagai antara pembesar negeri yang sangat pintar hinggakan wujud usaha menyingkirkannya dari bumi sendiri.


    Abdul Rahman Andak adalah anak kepada Haji Andak Jamak manakala adiknya pula Tan Sri Taib Andak.

    Beliau adalah anak Johor yang pertama melanjutkan pelajaran di England pada 1870 sebelum memulakan kerjayanya dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Johor (JCS) dan berakhir dengan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

    Disebabkan mempunyai pendidikan Inggeris, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai Inggeris dan pedagang asing di Johor.

    PAPAN tanda Jalan Abdul Rahman Andak di Johor Bahru.

    Tugas utama yang dilakukan oleh Abdul Rahman ialah mengawal hubungan yang dijalankan di antara kerajaan Johor dengan pihak Inggeris. Tugas yang dilakukan sememangnya berat dan beliau harus menentukan agar hubungan berjalan dengan seimbang.

    Disebabkan keadaan itu, Inggeris tidak dapat mengambil kesempatan untuk menguasai dan menjajah negeri Johor. Beliau menjalankan tugasnya dengan baik sehingga ada di kalangan pegawai Inggeris yang tidak menyukainya kerana sikapnya yang tegas terhadap mereka.

    Dalam menyelamatkan Johor dari terperangkap dengan muslihat penjajah, Abdul Rahman selaku Penasihat Sultan bertanggungjawab menasihat Sultan Abu Bakar menandatangani teriti persahabatan dengan Inggeris pada 1885, Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan menyekat percubaan Inggeris melantik Penasihat Am Inggeris.

    Pada 1888, Abdul Rahman Andak bersama putera Abdullah Munsyi, Datuk Muhammad Ibrahim Munsyi membuka lembaran baru memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu dengan mengasaskan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor Bahru.

    Walaupun berpendidikan Inggeris, beliau mewujudkan kesedaran untuk memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu secara berkumpulan melalui PBMPB.

    Tujuannya untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu.

    Usaha yang utama organisasi ini (PBMPB) ialah menterjemahkan istilah atau perkataan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Beberapa perkataan yang dicipta ketika itu dan kekal hingga sekarang adalah seperti setiausaha, pejabat dan kerja raya.

    Pendekatan yang diamalkan Abdul Rahman termasuk usaha melahirkan ramai bijak pandai Melayu melalui pendidikan menyebabkan wujud 'taktik kotor' untuk menyingkirkannya bagi mengelakkan pengaruhnya berkembang.

    Inggeris mendapati selagi ada Abdul Rahman Andak mereka sukar menguasai Johor. Oleh itu, Sultan Ibrahim dipengaruhi untuk menamatkan perkhidmatan beliau dan 'disemadikan' di England pada 1909.

    Gabenor Anderson bertindak menyingkir Abdul Rahman dengan persetujuan Sultan Ibrahim dan mencadangkan Abdul Rahman dibayar pencen 1000 pounds sterling setahun. Keadaan ini membolehkan Inggeris bertapak di Johor pada 1909 dan menguasai Johor mulai 1914.

    Situasi itu menyebabkan Abdul Rahman membawa diri ke London dan meninggal dunia di sana, namun jasanya tetap dikenang sebagai seorang daripada tokoh yang membawa pembaharuan dalam pendidikan khususnya perjuangan bahasa Melayu.

    Walaupun tidak membabitkan sebarang penentangan atau tumpah darah dalam memperjuangkan bangsa, Abdul Rahman tetap dikenang dalam usahanya mengasaskan PBMPB.

    Antara 1935 hingga 1947, PBMPB menghasilkan 34 buku, 16 daripadanya mengenai bahasa yang meliputi perkamusan, tatabahasa, ejaan dan daftar kata, manakala 18 lagi mengenai sejarah, kebudayaan dan laporan.

    Dalam bidang peristilahan pula, PBMPB memainkan fungsi besar mencipta beberapa istilah baru seperti pesuruhjaya, warta, jurucakap, jadual waktu dan timbalan.

    Abdul Rahman dianggap sebagai pemimpin pertubuhan terkenal dalam memberi nafas kepada organisasi itu. Namun begitu pertubuhan itu tidak kekal dan pada 1904 usaha dibuat untuk menghidupkannya kembali.

    Organisasi itu semakin tidak bermaya sehinggalah pada 1934, baginda Sultan Johor bersetuju memberi bantuan RM2,000. Nama Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Diraja (PBMPB). Gelaran 'Diraja' dianugerah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar pada 14 April 1935.

    Sumbangan awal Abdul Rahman itu diakui banyak memberi kesan dalam perkembangan bahasa Melayu sehingga membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar nama kepada Dewan Bahawa Pustaka (DBP) pada September 1956.

    BIODATA: Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak

  • Lahir 1850

  • Menetap di London dan berkahwin dengan Gustel Reis.

  • Mendapat tiga anak lelaki iaitu Henry, Mansour dan Walter.

  • Meninggal dunia pada 10 September 1930 di London dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Woking, London.

    FAKTA: Matlamat PBMPB

  • Memelihara, melengkap dan memodenkan Bahasa Melayu.

  • Memelihara tulisan Jawi.

  • Membaku ejaan dan perkataan.

  • Ceramah dan penyelidikan.

  • Menerbitkan Jurnal Peredar.

  • Mengadakan perpustakaan.

  • Mencipta perkataan baru.
  • Musa Unggu digeruni penjajah


    Oleh Mohd Azrone Sarabatin




    Pahlawan Sabah gunakan perniagaan satukan masyarakat lawan Jepun

    DATUK Maharajalela Musa Unggu atau lebih dikenali Pak Musa diiktiraf seorang daripada pejuang kemerdekaan Sabah, tetapi tidak ramai yang tahu tokoh itu dibunuh kerana karismanya dalam bidang perniagaan pada awal abad ke-20.

    Pak Musa atau nama asalnya sebelum memeluk Islam, Adui Unggu dibunuh secara kejam askar Jepun pada 1944 kerana ketokohannya memajukan ekonomi Orang Sungai, Kadazandusun, Brunei dan Bisaya di Membakut dan Beaufort.


    Kaedah perniagaan digunakan mirip sistem koperasi iaitu pelbagai hasil tani, belantara dan haiwan buruan tokoh itu dan pengikutnya akan dikumpul, sebelum dipasarkan sehingga ke Brunei Darussalam dan Singapura.

    Kebijaksanaan pahlawan Sabah itu menyatukan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang perniagaan menyebabkan Jepun menganggapnya ancaman kepada mereka.

    Beliau dan pengikutnya diisytiharkan sebagai musuh kerana kononnya menjadi sekutu Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).

    PEDANG milik Pak Musa yang digunakan menentang penjajah.

    Jepun menganggap Pak Musa berselindung di sebalik perniagaan yang ditaja British untuk mempengaruhi rakyat Membakut dan Beaufort supaya menyertai perjuangan SBBUB untuk mengusir mereka dari bumi Borneo Utara (kini Sabah).

    Ini menyebabkan askar Nippon memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi mereka enggan berundur, sebaliknya menyerang balas setiap kali masyarakat pribumi di Membakut dan Beaufort dibunuh, ditindas dan diugut penjajah.

    Cucu saudaranya, Subohria Amat Tua, 83, berkata Pak Musa dilahirkan di Kampung Kusilad, Pitas di Utara Sabah pada 1867, tetapi menjadikan Paitan, Beluran dan Membakut sebagai pangkalan untuk menentang British dan Jepun.

    Beliau berhijrah ke Paitan ketika usia remaja untuk menuntut ilmu persilatan dan kebatinan pada 1908.

    CICIT Pak Musa, Syehriffah Tanjil mewarisi harta pusaka milik Pak Musa.

    Ketika zaman penjajahan British, beliau bersama pengikutnya menyerang dan membakar Balai Polis Tanjung Nipis, Paitan untuk membela nasib masyarakat pribumi daerah itu yang menjadi mangsa kekejaman SBBUB.

    Ini menyebabkan beliau menjadi buruan penjajah dan kemuncaknya dibuang daerah ke Membakut pada 1913 iaitu selepas beliau menerima tawaran British untuk berdamai dan hukuman bunuh ditukar kepada buang daerah.

    Turut dibuang daerah adalah abang Pak Musa, Mondut dan adiknya Mualas Unggu serta dua sepupu mereka dikenali Kuloi dan Ulan yang diarahkan ke Membakut manakala dua lagi, Serail (Klias, Beaufort) dan Unggal (Kinarut, Papar). Mondut meninggal dunia dalam perjalanan dari Petagas ke Membakut.

    Subohria berkata, mangsa kekejaman penjajah itu meninggalkan kampung halaman bersama keluarga masing-masing dan belayar ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) menggunakan kapal layar yang mereka sediakan sendiri. Pelayaran enam bulan itu tanpa pengawasan SBBUB.

    Selain pernah menetap di rumah Pak Musa, Subohria mendapat maklumat kepahlawanan Pak Musa daripada ibunya, Dauyah Mondut yang terbabit dalam pelayaran merentasi samudera Pitas, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.

    Katanya, selain berehat, mencari bekalan makanan dan membaiki kapal layar, Pak Musa turut menjalinkan hubungan persahabatan dan membangkitkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat sepanjang lokasi persinggahan.

    Beliau berkata, sebaik tiba di Jesselton, wakil Residen British membawa mereka ke Petagas, dekat bandar itu dan menetap di sana selama tiga tahun sebelum diarahkan ke Membakut.

    "Masyarakat tempatan di Membakut terutama Kadazandusun, Brunei dan Bisaya dapat menerima kehadiran Pak Musa dan mengangkatnya sebagai pemimpin mereka terutama dalam bidang perniagaan dan menuntut kemerdekaan," katanya.

    Subohria berkata, Pak Musa sering bertapa di lubang batu di kenali `wasai' yang kini masih wujud di kawasan air terjun Pak Musa di pinggir Kampung Bambangan, kira-kira 13 kilometer dari Pekan Membakut.

    "Selain mengukuh dan meningkatkan ilmu batin dan persilatan, tokoh itu turut mencari ilham untuk meningkatkan ekonomi masyarakat pribumi dan membebaskan anak watan daripada cengkaman penjajah," katanya.

    Subohria masih ingat, lima perahu besar digunakan untuk mengangkut hasil dagangan Pak Musa dari Kampung Bambangan ke Pekan Membakut, sebelum diangkut menggunakan kereta api ke Kota Kinabalu atau Tenom.

    Katanya, hasil dagangan dikumpul oleh pengikutnya yang diperoleh daripada sumber kebun dan belantara sekitar Membakut dan Beaufort serta rumah Pak Musa adalah pusat pengumpulan barangan berkenaan, sebelum dipasarkan.

    Bagaimanapun, ketika itu `Kempetei' (perisik tentera Jepun) sering keluar masuk ke Kampung Bambangan untuk memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi sebagai seorang pejuang sejati beliau akan berjuang mempertahankan rakyat.

    Jepun yang menyedari, sukar untuk mengalahkan Pak Musa, menukar strategi dengan mengugut akan menangkap dan membunuh keluarganya. Ini menyebabkan Pak Musa membuat keputusan untuk menyerah diri.

    Jepun dikatakan menyedari Pak Musa mempunyai ilmu kebal dan berusaha untuk melemahkan pahlawan Sabah itu. Akhirnya askar Nippon menerima maklumat bahawa ilmu Pak Musa akan terhakis jika memasuki kawasan bernajis. Askar Nippon kemudian memasang jerangkap samar pada sebuah lubang najis di dalam penjara.

    Subohria yang menyimpan lembing digunakan Pak Musa ketika menentang Jepun dan British berkata, Pak Musa kononnya terjatuh ke dalam lubang itu menyebabkan kekebalannya hilang yang sekali gus peluang itu digunakan oleh askar Nippon untuk memancung kepalanya.

    Pak Musa adalah seorang pahlawan yang bukan saja sanggup menggadai nyawa untuk menuntut kemerdekaan, tetapi berjuang memajukan ekonomi etnik pribumi yang hidup dalam kemiskinan.

    FAKTA: Musa Unggu

  • Pak Musa menerima gelaran Datuk Maharajalela daripada Pangeran Siti Fatimah iaitu kerabat Sultan Brunei yang ketika itu pemerintah wilayah Karambunai di Pantai Barat Sabah.

  • Penganugerahan gelaran Datuk Maharajalela adalah penghargaan terhadap perjuangan Pak Musa membela rakyat Borneo Utara (kini Sabah).

  • Isterinya dikenali sebagai Babu Sairah.

  • Mengikut Ketua Kampung Bambangan, Membakut, Jabah Amat, 41, antara rakan seperjuangan Pak Musa adalah pejuang berbangsa Bisaya dikenali Marupah, Mat Saman (Brunei) serta Undan dan Mandat (Kadazandusun).

  • Pak Musa diIslamkan oleh Imam Kampung Brunei, Membakut dikenali Imam Untung.

  • Kampung Kuala Sungai Angitan adalah nama asal Kampung Bambangan. Kampung Bambangan dikatakan sempena nama pokok buah-buahan tempatan iaitu pokok bambangan.

  • Sebelum berpindah ke Kampung Bambangan, Pak Musa menetap di pekan Membakut yang kini bekas tapak rumahnya menjadi tapak Balai Polis Membakut.

  • Pak Musa dikatakan dikebumikan di satu kawasan yang kini tapak bangunan Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu.

  • Nama Pak Musa tiada dalam senarai 324 rakyat Sabah yang dihukum bunuh secara kejam di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 yang kini diabadikan menerusi Taman Peringatan Petagas.

  • Nama Pak Musa diabadikan menerusi Dewan Masyarakat Pak Musa di Pekan Beaufort.
  • Tok Sheikh Jarum lahirkan ramai tokoh agama


    Oleh Azmi Md Deros


    KUBUR Tok Sheikh Jarum di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga.

    Sheikh Wan Muhammad Idris buka lebih 200 sekolah pondok selain jadi guru agama di Istana Anak Bukit

    SEJAK dari awal lagi, syiar Islam di Kedah terus berkembang subur walaupun melalui pelbagai perubahan di sepanjang 867 tahun di bawah pemerintahan 28 Sultan. Sepanjang tempoh itu, ulama di negeri ini bukan hanya sebagai pendakwah, malah mereka turut bertugas sebagai penasihat istana.

    Sebagaimana negeri Melayu lain di Nusantara, pada peringkat awal kemasukan ulama Islam di Kedah kebanyakannya berasal dari luar, iaitu Yaman dan Hijaz di Arab Selatan yang datang berdagang di negeri ini.


    Pada abad ke-19 pula ramai di antara mereka yang berasal dari negeri Melayu lain berhijrah dan tinggal menetap di Kedah.

    Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, berkata antara yang terkenal, termasuk Sheikh Wan Muhammad Idris Wan Jamal atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh Jarum yang berasal dari Patani, Selatan Thailand. Tok Sheikh Jarum dilahirkan pada 1849 di Kampung Bendang, Daerah Jaha, Yala, Patani.

    Gelaran ‘Jarum’ di hujung nama beliau dikatakan berpunca daripada peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah hukum rejam dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, beliau selaku ulama yang paling muda itu dapat memberikan pandangan yang bernas, pintar dan tepat.

    Ketajaman fikirannya itu menyebabkan Raja Patani itu menggelarnya sebagai Tok Sheikh Jarum.

    Beliau mula mendalami Islam melalui gurunya yang juga ayah angkatnya, Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang amat terkenal.

    Selain mengajar agama, Tok Sheikh Minai turut membawa Tok Sheikh Jarum ke Makkah untuk menunaikan haji. Bagaimanapun, Tok Sheikh Jarum menetap di Makkah selama beberapa tahun kerana mendalami Bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

    Cucu beliau, Abdul Hamid Abdul Rahman, 77, berkata sekembali dari Makkah dan tiba di Pengkalan Kapal, Pekan Cina, Alor Star, datuknya ditahan Kadi Besar Kedah, Sheikh Ahmad Daim dan diminta menghadap Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang kemudian menitahkan Tok Sheikh Jarum menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam.

    "Tok Sheikh Jarum diberi kepercayaan oleh pihak istana selepas Sultan mengetahui kemasyhuran beliau ketika itu.

    "Disebabkan minat yang tinggi mahu melihat agama Islam berkembang di Kedah, Tok Sheikh Jarum membuka pondok mengaji agama di Derga, selain menjadi guru di Istana Anak Bukit," katanya yang juga imam Masjid al-Irfan, Derga yang diasaskan datuknya itu.

    Dalam tempoh beberapa tahun saja jumlah pelajarnya bertambah sehingga pondoknya meningkat kepada kira-kira 200 buah. Walaupun sibuk mengajar di pondok, Tok Sheikh Jarum yang mempunyai enam anak masih sempat mengajar agama untuk putera dan puteri Sultan.

    Disebabkan ketokohannya, beliau turut dipilih menganggotai sekumpulan 12 ulama tersohor di Kedah yang berpusat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa.

    Selain ketokohannya dalam bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati penyakit penduduk sekitar Derga.

    Malah, beliau juga dikatakan mempunyai kelebihan dapat menentukan tuah ayam yang mana kebetulan ketika mendirikan pondok, Derga adalah pusat kegiatan menyabung ayam terkenal di Alor Star.

    Sambil melihat tuah ayam, Tok Sheikh Jarum dikatakan bijak menarik penyabung ayam supaya lebih dekat dengan ajaran Islam dengan mengajak mereka makan tengah hari di rumah serta diberikan nasihat. Hasilnya ramai kaki sabung ayam yang meninggalkan perbuatan itu.

    Selepas 10 tahun ditubuhkan, iaitu sekitar 1909, kawasan pondok beliau mengalami kebakaran besar yang menyebabkan ia musnah sama sekali, termasuk banyak kitab yang beliau tulis dan gunakan untuk mengajar ketika itu.

    Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada api digunakan penghuni pondok untuk membakar ikan terubuk yang dikatakan mudah diperoleh di Alor Star selain harganya amat murah iaitu antara satu dan dua sen saja seekor.

    Ketika hayatnya, beliau turut membina Masjid Derga di kawasan pondoknya itu. Bangunan asal masjid itu masih kukuh dan digunakan hingga sekarang dan dikenali sebagai Masjid al-Irfan.

    Kerajaan kemudian membantu mendirikan rumah panjang bagi menggantikan pondok yang terbakar, tetapi ia mengalami zaman suram selepas Tok Sheikh Jarum meninggal dunia pada 6 April 1911 ketika berusia 63 tahun kerana cirit birit.

    Ramai keturunan Tok Sheikh Jarum mengikut jejak langkahnya, termasuk cicitnya, bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, selain pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    INFO: Antara anak dan cucu yang mengikut jejak langkah beliau

    • Anaknya, Abdul Rahman AI-Jarumi menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

    • Cucunya, Idris Abdul Rahman mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.

    • Cucunya, Hussin Abdul Rahman pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.

    • Cucunya, Datuk Sheikh Tajuddin Abdul Rahman pernah menjadi ahli majlis fatwa negeri Kedah.

    • Cucunya, Abdul Ghani Mohd Noor seorang hafiz dan guru al-Quran.

    • Cucunya, Nawawi Ahmad, pernah bertugas sebagai nazir sekolah agama Kedah dan penggubah lagu nasyid.

    20 Mac 2008

    Dating yang betul


    Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
    SOALAN:Bagaimanakah cara yang betul bagi pasangan muda-mudi masa kini mengaplikasikan konsep dating untuk mengenali hati budi masing-masing mengikut cara yang berlandaskan syariat dan peraturan Islam?

    JAWAPAN:

    Dating dalam erti kata berdua-duaan pasangan lelaki perempuan yang bukan mahram adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada mudarat. Iaitu mendedahkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan sesuatu yang ditegah dalam agama Islam.

    Mula-mula dating dalam telefon, kemudian ajak keluar makan. Mula-mula naik kenderaan berasingan. Lama kelamaan naik satu kenderaan bukan sekadar makan tetapi pegang tangan, tidur atas bahu kekasih. Sehingga kadang-kadang sampai melakukan perzinaan.

    Walaupun pada mulanya rasa bersalah terhadap perbuatan yang terkutuk itu, lama kelamaan menjadi alah bisa tegal biasa. Sebab itulah Islam menegah sama sekali pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

    Allah s.w.t berfirman, Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)

    Peringatan dalam ayat ini ialah tegahan keras Allah supaya jangan sekali-kali cuba menghampiri zina. Kaedah fikah menjelaskan ‘Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram’. Dan mencegah adalah lebih baik dari mengubat.

    Sekiranya usaha menghampirinya jelas ditegah apatah lagi sengaja terlibat. Islam mengajak penganutnya menjauhkan diri dari terdedah kepada maksiat. Menyesal dahulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

    Terjebak

    Allah s.w.t menegah umatnya mendedahkan diri terjebak dalam kebinasaan. Firman Allah s.w.t, …dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…. (al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah sebut mencampakkan, maksudnya sengaja melibatkan dan mendedahkan diri dalam sesuatu perbuatan yang boleh membawa kebinasaan.

    Allah s.w.t menyuruh setiap lelaki dan perempuan menundukkan pandangan. Ini kerana dengan menundukkan pandangan seseorang itu dapat memelihara kehormatannya. (al-Nur: 30-31). Ketika mentafsirkan ayat ini sebahagian ulama menyatakan bahawa; pandangan adalah panah beracun bagi hati, sebab itulah Allah s.w.t menghimpunkan dua perkara dalam ayat ini, iaitu merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan (kemaluan). Disebut juga bahawa mata adalah punca kepada zina. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, jld:18, hlm:214 ).

    Dating diharuskan bagi mereka yang sudah bertunang. Itupun dengan izin wali perempuan dan bersama mahram ahli keluarga perempuan. Bertunang adalah lesen awal untuk seorang lelaki mengenali tunangnya. Mungkin juga langkah awal untuk seorang lelaki dan seorang perempuan mengenal bakal pasangan hidupnya dengan lebih dekat lagi.

    Namun Islam tidak membenarkan seorang pasangan yang bergelar tunang untuk berdating. Kalau nak dating mesti dengan memelihara hak Allah. Ulama haruskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya.

    Namun percintaan dan dating yang halal ialah selepas diijab kabul, sementara itu pasangan kekasih hendaklah tunduk kepada perintah Allah. Adalah tidak wajar mencari kebahagiaan hidup dengan melanggar perintah Allah. Mungkin juga ada yang bertanya: kalau begini susahlah bagi pasangan kekasih mengenali antara satu sama lain.

    Tidak ada pengenalan yang sempurna bagi lelaki terhadap pasangan kekasihnya melainkan selepas perkahwinan.

    Melayu ‘makan’ Melayu?


    SURAT 1
    BELUM seminggu menikmati kemenangan dalam pilihan raya, DAP telah mula menunjukkan belang sikap cauvinis dan ‘kiasu’ dengan tidak menghormati dasar sosial melindungi hak orang Melayu.

    Orang Melayu Pas dan PKR hanya pandai menunjukkan kehebatan politik demonstrasi jalanan dan keseronokan berpesta pilihan raya. Tetapi DAP menunjukkan kehebatan menerusi penyatuan undi Cina dengan memperlekeh orang Melayu dan rakan kongsi mereka iaitu PKR dan Pas.

    Dengan kebijaksanaan, manipulasi dan dendam politik, DAP dengan berani menolak perlaksanaan DEB di Pulau Pinang.

    Mereka akan mengadakan sistem pilihan raya majlis perbandaran dan akan mendesak sistem yang sama untuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

    Oleh kerana orang Cina adalah penduduk dan pengundi majoriti di semua bandar besar, DAP yakin dapat memiliki pentadbiran bandar dan majlis tempatan. Mereka akan memastikan Cina, yang kini menguasai ekonomi dan kekayaan negara, akan terus diperkasakan sementara Melayu terus dipinggir.

    Pada masa yang sama mereka berikrar menjadikan Pulau Pinang negeri termaju dengan meminta kerajaan BN terus menyalurkan wang pembangunan. Mereka juga mahu Petronas membiayai kos membina jambatan kedua Pulau Pinang untuk mengelakkan kemungkinan membayar tol.

    Mereka mahu keselesaan untuk rakyat Pulau Pinang sahaja, peduli apa dengan orang lain. Yang sudah ada hendak ditambah, hak orang lain hendak dinafikan. Ini sikap kiasu yang sememangnya tamak dan jijik.

    Kerajaan DAP yang kononnya multi-racial mengwujudkan setiap satu jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk orang Melayu dan orang India, dengan alasan mereka akan mengadili kepentingan sendiri. Ini adalah bukti bahawa DAP dan PKR yang multi-racial tidak dapat berlaku adil dan menjaga semua rakyat sehingga terpaksa mengamalkan pemerintahan mengikut pecahan kaum.

    Perkara yang sama dilakukan di Perak dan Selangor kerana DAP hanya mahu menjaga kepentingan Cina sahaja dan tidak mempercayai PKR dan Pas yang mengetuai kerajaan-kerajaan negeri tersebut.

    Inilah akibatnya perbuatan orang Melayu yang menyokong DAP menerusi sokongan mereka kepada PKR dan Pas. Mereka sebenarnya pengkhianat bangsa dan agama. PKR tidak langsung membantah kerana mereka hanya berminat untuk berkongsi kuasa dengan DAP. Pemimpin utama PKR juga menolak DEB terutama ketika berceramah di hadapan hadirin bukan Melayu. Selain itu, ramai calon bukan Melayu turut bertanding atas tiket PKR. Maka segala momokan bahawa PKR mengutamakan kepentingan Melayu adalah penipuan paling besar dalam sejarah politik tanah air. PKR sebenarnya bergerak atas landasan dendam peribadi pemimpinnya. DAP ternyata mempergunakan PKR untuk agenda mereka dan terbukti berjaya besar. PKR pula bergantung kepada DAP untuk menarik undi bukan Melayu. Sebab itu, PKR sanggup bersekongkol dengan gerakan undi jentera DAP iaitu ‘undi Cina untuk Cina’.

    Atas percaturan itu, masyarakat Cina turut menyokong PKR kerana parti itu diyakini bukan membawa agenda Melayu sebagaimana UMNO. Lebih pasti, PKR menjadi alat untuk DAP lemahkan kuasa politik Melayu. Itulah jasa terbesar PKR kepada umat Islam dan Melayu.

    Dasar terbuka, telus hakis maruah Melayu


    ORANG Melayu tidak seharusnya terkejut dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

    Sebenarnya inilah provokasi yang telah dibuat oleh akhbar-akhbar berbahasa Inggeris (saya tidak tahu bagaimana akhbar berbahasa Mandarin) sejak dasar keterbukaan dan ketelusan diisytiharkan.

    Dasar itu yang dengan secara bijak merendahkan dasar kerajaan sebelumnya, telah menyebabkan media berani melanggar semua fahaman di bawah kontrak sosial termasuk hak orang Melayu, agama dan juga bahasa.

    Yang lebih terasa tentunya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri. Selepas pilihan raya baru-baru ini, lebih dahsyat lagi penentangan terhadap dasar DEB disuarakan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan Gerakan.

    Selepas itu, penghinaan terhadap institusi Melayu berlaku dengan sewenang-wenangnya. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz dan Tun Dr. Mahathir yang disayangi dan dihormati terpaksa ke mahkamah untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Diraja mengenai klip video yang lebih banyak menarik perhatian orang bandar daripada di luar bandar.

    Maruah orang Melayu telah pun terhakis satu demi satu di bawah dasar terbuka dan ketelusan. Yang lebih amat terasa adalah Datuk Zakaria Md. Deros yang meninggal dunia secara mengejut kerana kejatuhan kerajaan negeri Selangor dan orang Melayu sambil mengenang bagaimana sukarnya suatu masa dahulu Datuk Harun Idris mengembalikan kuasa Melayu.

    Saya menulis ini di bawah dasar terbuka dan saya berharap saya tidak ditegur atau disekat untuk terus menulis bagi menyuarakan perasaan tertekan orang Melayu sekarang.

    Berikan saya peluang untuk bersuara di bawah dasar terbuka dan diharapkan Utusan Malaysia dapat menyiarkan surat ini atas dasar ketelusan.

    – ANAK ORANG ASLI

    Peranan PBT memurnikan bahasa Melayu dituntut

    Oleh Azman Ismail

    TANPA bahasa, bangsa tidak mungkin dapat berkembang dan juga gagal menggambarkan identitinya secara keseluruhan dalam perhubungan dengan bangsa-bangsa lain.

    Akibatnya, bangsa itu akhirnya akan lenyap ditelan masa. Oleh itu, bahasa menunjukkan identiti bangsa dan ia juga dapat menunjukkan tinggi rendahnya kebudayaan sesebuah bangsa. Bahasa turut menggambarkan jauh mana kemajuan yang telah dicapai sesuatu kelompok tersebut.

    Sebagaimana dijelaskan oleh Ralp Fasold dalam bukunya, The Sociolinguistics of Society dan The Sociolinguistic of Language (1990), kelemahan bahasa juga akan melambangkan status sosial dan kekuatan identiti sesebuah bangsa.

    Begitu juga Frederick J. Newmeyer melalui tulisannya Language: The Sociocultural Context menganggap sesebuah bangsa yang gagal memperkasakan bahasanya bakal terjerumus ke dalam krisis sosiobudaya yang serius.

    Newmeyer juga berpendapat, kekuatan bahasa merupakan sisi lain kepada citra khusus keunggulan peradaban, pemikiran dan perilaku sesebuah bangsa.

    Namun dalam konteks bahasa Malaysia, persoalan klise masih wujud - fungsinya dalam banyak aspek tidak dititikberatkan terutama dalam bidang komunikasi, pengiklanan, penerbitan dan sebagainya.

    Secara formal, kini bahasa Malaysia mempunyai empat fungsi iaitu sebagai bahasa integrasi, bahasa kebangsaan, bahasa negara dan bahasa resmi.

    Dalam perkembangannya lebih lanjut, bahasa Malaysia diletakkan sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu. Keenam-enam kedudukan ini mempunyai fungsi yang berbeza, walaupun dalam amalannya dapat saja muncul secara bersama-sama.

    Ironisnya hari ini, penggunaan bahasa Malaysia tidak banyak berubah. Masyarakat (tanpa mengira kaum) seolah-olah lebih senang berbahasa Inggeris selain bahasa ibunda. Malah, ada masyarakat Melayu yang berbahasa Inggeris!

    Kesan daripada keadaan ini, masih banyak penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat, lemah dan bercampur-aduk dengan istilah-istilah bahasa asing serta gaya penuturan bahasa ibunda mengikut etnik.

    Sektor pengiklanan (terutama penggunan papan tanda) masih memperlihatkan kelemahan yang cukup ketara walaupun kempen besar-besaran penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam sektor swasta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilaksanakan.

    Ada papan tanda premis-premis perniagaan yang masih menggunakan gaya bahasa yang boleh menjejaskan imej bahasa Malaysia. Kesalahan yang dipaparkan cukup ketara. Namun, tidak ada sebarang tindakan atau teguran khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Oleh itu, siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini? Adakah para peniaga, DBP atau PBT yang `tidak peka’ terhadap kegagalan penggunaan bahasa Melayu yang baik di kawasan pentadbiran mereka?

    Menurut pensyarah bahasa dan kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Lim Swee Tin, PBT perlu memantau dengan menyeluruh kesilapan-kesilapan tersebut.

    Katanya, tindakan akan diambil bergantung kepada peraturan dan bidang kuasa yang dimiliki oleh PBT. Ia sama ada arahan untuk mengganti atau memperbetulkan sebarang kesilapan yang ada.

    “Ada dua isu dalam konteks ini. Ada penyelewengan dan kesalahan menterjemah. Penyelewengan bererti pihak PBT tidak membuat pemantauan yang meluas terhadap papan-papan tanda atau medium pengiklanan yang lain.

    “Kesalahan bahasa mungkin tidak dititikberatkan dan pada masa yang sama pemilik perniagaan menggunakan khidmat penterjemah yang menterjemah secara langsung sesuatu ayat. Di sinilah kesilapan berlaku,” katanya.

    Swee Tin berkata, jika masalah dan isu penggunaan bahasa tersebut tidak diselesaikan secepat mungkin, bahasa Malaysia akan terjerumus ke dalam `tragedi’.

    Ini kerana, jika gaya bahasa seperti itu terus digunakan, ia akan memberi impak kepada masyarakat terutama generasi baru termasuk kanak-kanak sekolah.

    “Cuba bayangkan jika gaya bahasa yang salah itu dibaca oleh orang asing yang berada di negara ini atau setidak-tidaknya generasi muda yang terdiri daripada pelajar sekolah. Adakah ia baik dan sesuai?,” tambah beliau.

    Oleh itu, beliau berkata, PBT perlu memastikan setiap bahasa pada papan iklan perlu benar-benar tepat sebelum sesebuah permohonan perniagaan diluluskan.

    Dalam pada itu, penulis, Uthaya Sankar SB pula berpendapat, penggunaan bahasa Malaysia yang salah di papan-papan tanda atau papan iklan sering dianggap sesuatu kecil.

    Sedangkan, beliau berkata, bahasa Malaysia telah menjadi medium komunikasi dan bahasa rasmi negara ini dan diterima oleh masyarakat berbilang kaum.

    “Di sini kita menuntut peranan PBT untuk bertindak tegas terutama membuat semakan yang teliti ketika permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan oleh para peniaga.

    “Jangan terlalu bergantung kepada DBP untuk membuat semakan sebab membetulkan kesilapan bahasa merupakan tanggungjawab semua individu, kelompok dan institusi,’’ katanya.

    Sama seperti Swee Tin, Uthaya berpendapat, rakyat Malaysia sebagai pengguna bahasa itu seharusnya bangga menggunakannya sebagai alat komunikasi, perniagaan, integrasi dan keharmonian.

    Melalui bahasa Malaysia, mereka mampu menyampaikan perasaan dan fikirannya dengan sempurna dan lengkap kepada orang lain termasuk juga produk-produk perniagaan yang ditawarkan.

    Muzium Adat lambang kekuatan tanah beradat


    SEREMBAN 12 Mac - “Biar mati anak, jangan mati adat.” Itulah pepatah Melayu yang seringkali didengar terutamanya dalam membicarakan soal adat yang sudah sebati dengan masyarakat di Nusantara ini.

    Dalam usaha memartabatkan adat yang kini mulai terhakis di kalangan generasi muda, pelbagai pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menerapkan kebudayaan dan juga adat dalam kehidupan.

    Justeru, menyedari kepentingan memelihara adat, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) telah membangunkan sebuah muzium yang diberi nama, Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu di sini.

    Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Muzium Adat yang mempamerkan pelbagai artifak dan replika berkaitan adat setiap bangsa serta kumpulan etnik di Malaysia akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara sebagai produk mesti dilawati.

    ‘‘Ini merupakan langkah kerajaan bagi memastikan semua artifak dan replika yang berhubung kait dengan adat sesuatu bangsa dan etnik dapat dipamerkan dalam usaha mendekatkan adat dengan generasi muda.

    ‘‘Selain dari pameran bahan-bahan artifak di Muzium Adat ini, daya tarikan pengunjung juga akan tertumpu dengan teknik pencahayaan yang pertama diperkenalkan yang juga digunakan di Muzium Negara,” katanya di sini, baru-baru ini.

    Muzium empat tingkat yang mula dibina pada tahun 2005 memberi penekanan terhadap kegiatan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai adat bersesuaian dan bertepatan dengan imej serta identiti Negeri Sembilan sebagai ‘Tanah Beradat’.

    Muzium ini telah dirasmikan pada awal Februari lalu oleh Undang Jelebu, Datuk Musa Wahab bersama Rais dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zakiah Ahmad dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Ibrahim Ismail.

    Muzium empat tingkat ini akan memaparkan segmen-segmen yang menyentuh secara dasar mengenai pengenalan, definisi dan konsep adat pelbagai kaum akan didefinisikan di galeri pertama.

    Selain itu, paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia meliputi kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di negara ini apabila pengunjung beralih ke segmen kedua.

    Galeri ketiga akan menyingkap dan mendekatkan lagi kepada pengunjung tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi kesultanan Raja-Raja Melayu.

    Sementara itu, pengunjung juga akan menyingkap adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak Adat Perpatih di Negeri Sembilan dari sudut struktur.

    Ketirisan ketuanan Melayu

    Oleh AZMAN ANUAR

    Hampir sebahagian Semenanjung Malaysia beralih kepada parti pembangkang. Jangan hairan senario politik kini menjadi penentu ketuanan Melayu pada masa akan datang.

    Ketewasan parti-parti politik yang mendukung kepentingan bumiputera dan Melayu sudah tergugat disebabkan demokrasi.

    Awas jika Melayu tidak berwaspada, amalan demokrasi ini juga akan menghakis kepentingan ketuanan Melayu.

    Ini kerana melalui politik pilihan raya pun boleh menghilangkan hak-hak istimewa orang Melayu.

    Berdasarkan kekuatan Kerajaan Persekutuan masa kini, daripada 140 kerusi yang dimenangi, UMNO berjaya mendapat 79 kerusi berbanding 15 (MCA), 3 (MIC) dan 2 dari Gerakan serta kelebihan 41 kerusi Parlimen yang disumbangkan komponen selain UMNO di Sabah dan Sarawak.

    Tanpa sokongan kuat para pengundi Sabah dan Sarawak terhadap BN, pastinya daripada jumlah kerusi yang dimenangi di Semenanjung sahaja, BN akan berhadapan dengan masalah besar untuk tidak lagi mampu menjadi pemerintah di negara ini.

    Menurut Md. Shukri Shuib, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia; ini kerana di Semenanjung, BN hanya mampu mendapat 86 kerusi daripada keseluruhan 166. Selebihnya, iaitu 79 kerusi adalah di bawah pengaruh DAP, PKR dan Pas. UMNO di Semenanjung sahaja menyumbangkan 66 daripada 86 kerusi yang dimenangi BN.

    “Ini bermakna hanya 20 kerusi yang berjaya disumbangkan oleh MCA, MIC dan Gerakan. Peralihan undi kali ini adalah terbesar dalam sejarah pilihan raya negara, di mana ia ibarat ‘tsunami’ yang jauh lebih teruk berbanding impak pergolakan politik 1999 yang turut dibadai oleh kesan ekonomi serantau.

    “Kini dampak 2008, memaparkan sejarah tersendiri, apabila negeri-negeri Melayu seperti Perak dan Selangor memperlihatkan calon daripada bukan Melayu menerusi DAP dan PKR mula menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri dengan jumlah yang besar,” komen Md. Shukri.

    Di Perak sahaja, kebuntuan melantik Menteri Besar memperlihatkan akan aspek ketuanan Melayu yang semakin merunsingkan keadaan. Dengan gabungan pembangkang menerusi sejumlah 31 kerusi, iaitu DAP mendahului kemenangan pembangkang dengan 18 kerusi diikuti PKR (7) dan Pas (6), ADUN Melayu di dalam PKR hanyalah 2, dan Pas (6).

    Dengan itu, jumlah ahli DUN menerusi campuran kerajaan pembangkang di Perak hanya berjumlah 8 orang ADUN Melayu, berbanding ADUN DAP dari keturunan Cina dan India berjumlah 18.

    Ini mewujudkan satu situasi bertentangan, di mana Kesultanan Perak mahukan Menteri Besar adalah daripada kalangan ADUN berketurunan Melayu.

    Ini pastinya memberikan tekanan kepada situasi politik yang boleh merebakkan sentimen perkauman yang merunsingkan.

    Orang Melayu seharusnya sedar bahawa, ancaman kepupusan kuasa Melayu telah pun menjadi realiti, di mana di Pulau Pinang sahaja, dengan dominasi DAP.

    Menurut Md. Shukri, DAP semestinya lebih ekstrem berbanding Gerakan, dengan penguasaan 19 kerusi DUN, bersama 6 anggota bukan Melayu dalam PKR, menunjukkan penguasaan bukan Melayu di dalam DUN Pulau Pinang sahaja berjumlah 25 orang ahli Yang Berhormat, berbanding kedudukan BN yang hanya dimenangi oleh calon UMNO, yang juga Melayu sebanyak 11 kerusi dan diikuti Pas (1) serta Melayu di dalam PKR (3).

    Melayu Islam hanya mempunyai 15 kerusi di dalam DUN yang didominasi DAP.

    “Pemimpin UMNO yang selama ini leka dengan projek, tender, kemewahan, serta isu rasuah, nepotisme, kronisme, serta kelemahan kepimpinan, kemunduran idea, pelaksanaan projek yang tidak memberikan dampak positif kepada rakyat semestinya memikirkan akan tanggungjawab terhadap bangsa melebihi diri dan keluarga serta sahabat handai,” komen Md. Shukri.

    Pemerhati politik, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rashid pula melihat politik sekarang memang boleh menggugat ketuanan Melayu, sistem pemerintahan Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

    Jika langkah-langkah serius tidak diambil oleh pemimpin Melayu sekarang, masa depan bumiputera akan tergugat.

    Realiti sekarang sudah terhidang apabila kerajaan DAP di Pulau Pinang akan menghapuskan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DAP yang diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang tidak akan mempertahankan perjuangan orang Melayu.

    “Apa yang kita bimbang, apabila kuasa politik Melayu Pulau Pinang lemah dan mudah dijatuhkan, perkara yang sama mungkin boleh berlaku di kawasan majoriti Cina di negeri lain,” kata Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik dan Inovasi, Kota Damansara, Selangor itu lagi.

    Abdul Rahim memberitahu Utusan Malaysia, ketuanan Melayu kian lemah kerana perpecahan orang Melayu yang masing-masing menyokong parti yang berlainan ideologi – UMNO, Pas dan PKR.

    Cauvanis

    Kita dapat lihat trend pengundi Cina kini kembali lebih cauvanis dengan mengutamakan kaumnya sahaja kerana berpegang pada asas demokrasi politik ikut kaum.

    “Memang sudah lama pengundi Cina tidak puas hati dengan layanan pada bukan Melayu dan mereka mahu hak-hak sama rata lalu mereka mengundi pembangkang. Malangnya generasi muda Melayu yang marahkan kerajaan juga memilih pembangkang,” jelas Abdul Rahim.

    Ini juga adalah kesan daripada perpecahan orang Melayu ditambah kefahaman mengenai institusi kenegaraan yang lemah, jadi hasrat untuk melindungi hak-hak orang Melayu pun boleh ditolak begitu mudah. Adalah malang jika bukan Melayu dapat merealisasikan matlamat mereka dengan sokongan Pas dan PKR.

    Jika tiada penyatuan Melayu propembangkang dan Melayu prokerajaan, ini memudahkan kuasa ketuanan Melayu dicarah dan dihakis oleh bukan Melayu.

    Sekarang, menurut Abdul Rahim, wujud satu trend baru untuk merombak ketuanan Melayu dengan terancang melalui gerakan politik pilihan raya.

    Trend sikap pengundi bukan Melayu kepada BN sudah beralih kepada pembangkang. Orang Melayu harus sedar kepimpinan Melayu boleh ditukar pada masa akan datang.

    “Kalau perkara ini tidak disedari oleh Melayu, kita akan lihat orang Melayu akan hilang kuasa dan ketuanan akan hancur apabila politik negara dikuasai pembangkang yang ideologi perjuangannya jauh daripada agenda bangsa, agama dan negara,” kata bekas pensyarah Universiti Malaya itu lagi.

    Abdul Rahim bimbang orang Melayu akan terpinggir di kawasan yang dikuasai oleh pembangkang yang melaksanakan bentuk diskriminasi baru. Walaupun sedar Melayu miskin namun hak peribumi ini mungkin dinafikan kerana dasar sama rata.

    “Walau apa pun Melayu paling rugi. Melayu perlu nilai semula perjuangan politik, jika tidak politik pilihan raya boleh menghakis kuasa Melayu,” kata Abdul Rahim merumuskan cabaran yang mendepani Melayu sekarang.

    Kini bukan pelik apabila Melayu mengundi DAP. Apabila pengundi Melayu tersedar daripada lamunan, Pulau Pinang dan Perak sudah dikuasai oleh parti bukan Melayu/Islam.

    Pada hakikatnya menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, pengundi Melayu telah mengambil risiko besar dengan memangkah pembangkang.

    Bukan suatu yang mustahil jika suatu hari nanti isu-isu hak orang Melayu akan disentuh oleh pemimpin DAP di Pulau Pinang dan Perak kerana jumlah mereka ramai.

    Oleh itu, tegas Mohd. Zainul Fithri, untuk menjamin ketuanan Melayu dipertahankan, maka UMNO kena menjadi parti Melayu tulen.

    “Kalau tidak, ada parti politik lain yang akan ambil tanggungjawab itu. Sentimen sekarang pengundi tidak memikirkan bab ketuanan Melayu. Apa yang terpendam di dalam hati ialah perasaan kecewa mereka terhadap pemerintahan BN.

    “Mereka mengubah sokongan daripada BN kepada pembangkang sebagai tanda protes dan bukan disebabkan PKR hebat.

    “BN dan UMNO menerima musibah ini kerana terlalu ramai pemimpin yang lapar dan tamakkan kuasa serta melupakan perkhidmatan kepada rakyat,” jelas Naib Presiden Management & Science University (MSU) itu.

    Tarik semua ahli politik Melayu bersatu

    Oleh Zulkiflee Bakar

    DALAM ajaran Islam terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam.

    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri.”

    Inilah sebabnya Baginda Rasulullah SAW menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang.

    Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan toleransi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh.

    Begitu juga dengan usaha menyatukan orang Melayu dalam satu saf ini demi mempertahankan hak dan kuasa mereka.

    Dalam perkembangan politik terutamanya selepas berlaku tsunami pada 8 Mac lalu, ia bukan sahaja membuktikan bahawa kuasa rakyat penentu segala-galanya dalam politik.

    Malah ia juga menunjukkan betapa rapuh kuasa politik dan perpaduan di kalangan orang Melayu.

    Tanpa berhasrat untuk mewujudkan sebarang sentimen perkauman, perubahan politik yang berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang menyaksikan banyak kerusi dikuasai bukan Melayu adalah jelas, kuasa politik orang Melayu semakin rapuh.

    Justeru masanya sudah tiba untuk orang Melayu berfikir dengan matang, apakah mereka akan terus membiarkan keadaan ini berlanjutan atau kembali berada di saf yang sama.

    Hakikatnya, tidak salah untuk UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas berbeza pandangan atau memperjuangkan ideologi politik masing-masing.

    Tetapi dalam soal perpaduan Melayu mereka harus berdiri bersama dan berganding bahu demi memastikan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tidak atau cuba dicabuli oleh mana-mana pihak.

    Pada April 2001, ketika berucap di Par- limen, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu memegang jawatan Perdana Menteri menegaskan;

    “Perpaduan Melayu yang dimaksudkan oleh UMNO bukanlah perpaduan secara total sehingga mereka tidak boleh ada hubungan ataupun kerjasama dengan orang bukan Melayu sama sekali.

    “Ia juga bukan untuk bermusuh dan menentang atau berperang dengan bukan Melayu. Perpaduan ini hanyalah untuk mempertahankan apa yang sudah pun diiktiraf sebagai hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara khususnya disebut dalam Perlembagaan Negara bahawa:

    * Orang Melayu iaitu penduduk asal negeri-negeri Melayu mempunyai hak yang istimewa sebagai rakyat Malaysia;

    * Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara;

    * Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia;

    * Raja-raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang men- jadi sebahagian daripada Malaysia.

    “Perpaduan Melayu hanya diperlukan jika ada cabaran berkenaan empat perkara di atas. Cabaran ini mengancam hak semua orang Melayu sama ada daripada parti UMNO, Pas ataupun lain-lain.

    “Justeru itu, mempertahankannya tidak menguntungkan UMNO daripada segi politik parti. Yang untung ialah semua orang Melayu dan semua mereka patut terlibat dengan pertahanan ini.”

    Kenyataan Dr. Mahathir itu jelas membuktikan bahawa jika UMNO dan Pas atau PKR bersatu demi perpaduan Melayu, ideologi dan perjuangan politik mereka tidak akan berakhir.

    Oleh itu, dalam soal untuk menarik kesemua parti yang dianggotai oleh orang Melayu ini, mereka harus kembali kepada ajaran Islam iaitu memupuk kasih sayang sesama umat.

    Jika Islam dijadikan teras bagi mencapai perpaduan Melayu sudah pasti UMNO, PKR atau Pas tidak akan bertelagah sehingga akhirnya menyebabkan orang Melayu dan umat Islam berpecah belah seperti sekarang.

    Untuk tujuan itu, kesemua parti politik yang dinyatakan harus menghapuskan sikap menanam sentimen kebencian sesama mereka.

    Ini kerana dalam Islam, jika sifat buruk seperti suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya ia ternyata akan merugikan kita kelak.

    Justeru masanya sudah tiba, bagi semua pemimpin-pemimpin Melayu memikirkan dengan tenang hikmah di sebalik tsunami politik pada 8 Mac lalu.

    Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan sesuatu itu berlaku tanpa ada hikmahnya. Mungkin inilah hikmah iaitu semakin kurangnya kuasa politik orang Melayu.

    Mungkin ada antara pemimpin politik atau juak-juak mereka yang masih menganggap sudah tersepit baru hendak bercakap soal perpaduan Melayu.

    Tetapi bukankah kita juga sebagai seorang Islam diseru untuk memikirkan setiap hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu.

    Berdasarkan kepada hakikat tersebut, adalah perlu orang Melayu tanpa mengira fahaman politik memikirkan dengan serius bagi menyatukan semula golongan itu yang kini terus berpecah belah.

    Tidak kisah jika mereka hendak bertarung secara sihat dalam pilihan raya kerana itulah amalan demokrasi tetapi janganlah sampai mewujudkan perpecahan sehingga ke akhir hayat.

    Mahu tidak mahu orang Melayu dan Islam menghadap kiblat yang sama dan diikat dengan kukuh melalui ukhuwah Islamiah.

    Adalah diharapkan tsunami politik berkenaan akan menjadi titik tolak kepada perpaduan Melayu kerana ia bukanlah sesuatu yang mustahil, selagi kita mampu mengawal nafsu ingin berkuasa semata-mata.

    Percayalah, kalau orang Melayu terus bertelagah sesama sendiri tanpa secebis pun hasrat untuk bersatu sudah pasti suatu hari kelak kita bukan sahaja kehilangan semua hak dalam perlembagaan malah tidak mustahil akan menjadi pelarian di tanah air sendiri.

    Ketika itu anak cucu akan berada di sisi kuburan kita, bukan untuk berdoa tetapi menyumpah kita kerana kedegilan untuk bersatu demi makhluk bernama Melayu.

    18 Mac 2008

    Sistem demokrasi terus subur

    MUKADIMAH
    MINGGUAN: Sejarah menunjukkan DAP keluar dari Barisan Alternatif (BA) kerana Pas dan hari ini, Pas menjadi masalah kepada DAP di Perak. Apakah ini takdir atau sumpahan hubungan DAP dan Pas?

    KIT SIANG: Jika diimbas sejarah hubungan DAP dan Pas, ia bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua parti bekerjasama atas objektif yang sama dengan melancarkan manifesto untuk menjadikan Malaysia negara yang adil, demokratik dan bersih. Dalam tempoh itu, isu negara Islam tidak menjadi hal kerana ia bukan objektif jalinan kerjasama antara semua parti pembangkang. Malangnya, selepas pilihan raya 1999, Pas yang memenangi 27 kerusi Parlimen bertindak agresif menekankan pelaksanaan negara Islam dan hukum hudud, menyebabkan DAP tidak tahan.

    Memandangkan DAP gagal mengubah Pas dan tiada sokongan parti lain, DAP keluar BA dan sejak itu, DAP dan Pas tiada hubungan kecuali melibatkan isu-isu semasa antaranya anti-ISA, bersih dan hak-hak manusia. Segala-galanya berubah selepas 8 Mac setelah rakyat dari semua bangsa mahu perubahan. Apabila tidak ada satu parti yang betul-betul kuat untuk menubuhkan kerajaan, tiga parti pembangkang membentuk pakatan dan memaksa DAP menilai semula hubungan dengan Pas demi merubah keadaan di Perak dan Selangor.

    Apakah asas tindakan DAP sehingga dilihat tidak menghormati Sultan Perak hanya kerana isu siapa akan menjadi Menteri Besar?

    KIT SIANG: Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, DAP menguasai 18 kerusi, PKR tujuh dan Pas hanya tiga kerusi. Oleh itu, Pas menjadi parti terkecil dalam pakatan pembangkang dan sepatutnya yang mendapat kerusi paling banyaklah patut menjadi Menteri Besar (MB).

    Walau bagaimanapun, DAP sedar Perlembagaan Negeri yang mensyaratkan hanya orang Melayu boleh menjadi MB walaupun Sultan Perak berkuasa membuat pengecualian. Di sini, jelas, ini bukan soal Melayu atau Cina atau India tetapi sama ada DAP atau PKR menjadi MB, bukan Pas. Selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Pulau Pinang, kami bersetuju untuk memberi mandat penyerahan nama calon DAP dan PKR untuk dipilih oleh Sultan Perak sebagai MB. DAP tidak meluluskan nama calon Pas walaupun sedia bekerjasama dengan parti itu untuk mentadbir Perak.

    Keputusan DAP dibuat berdasarkan kebimbangan dan ketakutan rakyat jika Pas menjadi MB yang dilaporkan mahu melaksanakan hukum hudud di Kedah. Apabila ini terjadi, DAP kena menjelaskan mandatnya sekali lagi dan terus mengadakan perbincangan dan akhirnya memutuskan untuk memulau majlis angkat sumpah ADUN Pasir Panjang yang juga Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai MB.

    Apakah tindakan pulau itu disenangi semua orang terutama orang Melayu yang hormat pada raja-raja?

    KIT SIANG: Saya akui kesilapan yang telah dibuat, blog saya menjadi sesak dan sukar diakses ekoran ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan itu, sebab itu pagi-pagi lagi saya mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas tindakan DAP meminta 18 ADUN DAP di Perak memulaukan istiadat pelantikan MB.

    Sesungguhnya, tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati itu tidak berniat menunjukkan rasa tidak hormat kepada Sultan Perak dan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. Kenyataan memulaukan majlis itu hanyalah bertujuan menjelaskan pendirian dan keputusan DAP mengenai calon MB Perak. DAP telah mengeluarkan satu lagi kenyataan meminta semua ADUN DAP hadir pada majlis angkat sumpah itu. DAP menerima Mohammad Nizar dan akan memberi kerjasama mentadbir negeri.

    Pembangkang menang besar kerana undi protes BN dan bukan kerana mahu pembangkang menjadi kerajaan, apakah kemenangan ini mampu dikekalkan?

    KIT SIANG: Bagi DAP, undi kali ini ialah untuk menukar kerajaan kerana rakyat mahu menilai sejauh mana kemampuan pembangkang dalam menunaikan kewajipan dan inspirasi rakyat. Persoalan sama ada pembangkang mengekalkan kerusi atau tidak bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan penggal ini.

    Bagi saya secara peribadi, perkembangan ini menunjukkan kematangan proses demokrasi dan menyebabkan sambutan kemerdekaan ke-50 Malaysia menjadi lebih bermakna kerana sistem demokrasi yang terus subur. Walaupun pembangkang menawan lima negeri dengan menguasai 82 kerusi Parlimen, namun secara realitinya BN dengan 140 kerusi Parlimen masih mempunyai majoriti yang kuat dan cukup selesa untuk membolehkan BN mentadbir negara dengan cekap dan berkesan.

    Keadaan ini lebih baik berbanding dengan kerajaan di banyak negara maju dunia pertama lain terutama negara-

    negara Eropah yang hanya menang tipis berbanding pembangkang dan terbukti boleh mentadbir dengan baik. Kini, dengan ada pembangkang yang kuat, suasana Dewan Rakyat akan berubah dan semua perbahasan rang undang-undang akan dijalankan secara lebih berkesan. Semua Ahli Parlimen termasuk BN akan bekerja keras untuk meluluskan sebarang perkara dengan meyakinkan pembangkang mengenai kebaikan undang-undang yang diluluskan kepada rakyat.

    Perubahan positif ini adalah sejajar dengan cita-cita Perdana Menteri yang mahu rakyat Malaysia memiliki minda kelas pertama dengan sokongan infrastruktur kelas pertama menerusi Parlimen yang seimbang.

    Adakah sebarang penanda aras atau standard untuk wakil rakyat DAP?

    KIT SIANG: Rakyat Malaysia tentunya mempunyai harapan yang tinggi terhadap wakil-wakil rakyat pembangkang terutama DAP dan jika mereka gagal menunjukkan prestasi yang baik, rakyat akan menghukum mereka sama, pepatah Cina ada berbunyi ‘air boleh melancarkan perjalanan bot ketika belayar dan air juga boleh membuatkan bot itu terbalik’.

    Walau bagaimanapun, DAP akan bermesyuarat hujung minggu ini bagi membincangkan mengenai modus operandi dan tahap kualiti perkhidmatan kepada rakyat agar ia menjadi keutamaan kepada setiap wakil rakyat DAP.

    Anak YB, Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang manakala YB di Ipoh Timur. Namun sudah timbul tuduhan dan tanggapan YB menjadi ‘mastermind’ dan Guan Eng hanya sebagai boneka?

    KIT SIANG: Sudah jelas hari ini bahawa Guan Eng adalah KM Pulau Pinang, justeru, semua kerja, tanggungjawab dan keputusan mengenai urusan pentadbiran Pulau Pinang adalah terpikul di bahu Guan Eng. Saya mungkin akan memberi sedikit nasihat kepada Guan Eng namun semua keputusan akhir terletak di tangan beliau dan saya tidak akan mempengaruhi beliau. Sebagai Penasihat DAP, saya akan meneruskan kerja-kerja untuk mempromosi DAP di seluruh negara.

    Cuma di bawah Guan Eng, saya berharap Pulau Pinang akan menjadi negeri contoh dengan rakyat boleh melihat sendiri kecekapan pengurusan, ketelusan kepimpinan, integriti dan pentadbiran yang baik termasuk hal-hal menjana pertumbuhan ekonomi. Saya yakin penduduk Pulau Pinang akan memberi sokongan di atas semua usaha kerajaan negeri berdasarkan sokongan padu semasa pilihan raya yang lalu. Pakatan dengan PKR dan Pas juga diharap dapat membantu Guan Eng menjayakan projek yang dirancang.

    Kelantan di bawah Pas tidak maju kononnya kerana BN mengamalkan sikap ‘anak tiri’ dari segi pemberian peluang dan dana. Apakah YB menjangka perkara yang sama kepada Pulau Pinang?

    KIT SIANG: Selepas 8 Mac yang lalu, keadaan jelas menunjukkan rakyat negara ini mencapai tahap kematangan politik yang lebih tinggi. Berdasarkan kematangan politik yang lebih baik, saya percaya rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang tidak akan dihukum oleh Kerajaan Pusat hanya kerana mengundi parti pembangkang.

    Bagi Pulau Pinang, Guan Eng menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam membangunkan Pulau Pinang dan pastinya, Pak Lah yang juga berasal dari Pulau Pinang mahu melihat negeri kelahirannya terus maju.

    Mahu ke mana Melayu Pulau Pinang?

    BALIK Pulau Bayan Lepas, sana terpelau, sini terlepas. Itulah antara kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat keputusan pilihan raya umum kali ini khususnya di Pulau Pinang. Ketika BN khususnya UMNO mengharapkan Parlimen Permatang Pauh kembali ke pangkuannya tetapi perkara sebaliknya berlaku. BN akhirnya kehilangan dua kawasan Parlimen iaitu Balik Pulau dan Nibong Tebal yang secara tradisinya menjadi milik BN lebih-lebih lagi bagi Balik Pulau.

    Dan calon yang kalah pula bukannya calang-calang orang. Di Balik Pulau, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Norraesah Mohamad manakala di Nibong Tebal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zainal Abidin Osman. Lebih mengejutkan, Zainal kalah kepada calon PKR Tan Tee Beng, anak bekas pemimpin Gerakan Pulau Pinang. Di kawasan majoriti pengundi Melayu itu, calon PKR menang selesa dengan kelebihan 3,087 undi manakala Norraesah yang bertanding di kawasan hampir 61 peratus pengundi Melayu kalah dengan majoriti 708 undi kepada calon PKR.

    Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, UMNO hilang tiga kerusi berbanding sebelum ini hanya satu kerusi. UMNO pernah menjadi penyelamat kepada penubuhan kerajaan BN apabila Gerakan dan MCA tewas banyak kerusi DUN sementara UMNO menang semua kerusi yang ditandingi sehingga mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk UMNO.

    Kini keadaan sudah berubah. Ramai yang bertanya apa sudah jadi dengan Melayu Pulau Pinang?

    Apa yang pasti undi Melayu di pulau itu sudah berpecah. Mereka tidak peduli lagi siapa yang bertanding asalkan calon berkenaan mewakili pembangkang. Sama ada calonnya DAP, PKR atau Pas, banyak undi Melayu sudah terlepas ke tangan pembangkang yang kini berjaya membentuk kerajaan negeri.

    Dan ada yang berkata, nasib baik Melayu Pas menang satu dan Melayu PKR menang tiga kerusi di DUN. Maka ada juga wakil Melayu di dalam kerajaan negeri termasuklah Timbalan Ketua Menteri dari kawasan Parlimen Permatang Pauh dan seorang anggota Exco kerajaan negeri. Betul juga kata mereka ini. Tetapi hakikatnya, lebih ramai Melayu Pulau Pinang kini berada di sebelah pembangkang – kesemuanya 11 orang, dari UMNO.

    Rakan-rakan UMNO dari parti komponen lain yang bertanding iaitu Gerakan, MCA dan MIC semuanya kecundang. Tetapi bagi kawasan Parlimen, jumlah wakil Melayu bertambah seorang apabila Zahrain Hashim yang dulunya orang kuat UMNO Tanjong memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru yang sebelum ini diwakili MCA. Tiada siapa yang menduga pada satu hari nanti Zahrain yang kini Pengerusi PKR Pulau Pinang mampu menjadi wakil rakyat di negeri itu. Ini kerana tidak ada satu kerusi pun di Tanjong yang selamat untuk calon daripada UMNO. Tetapi perubahan politik telah mengubah nasib Zahrain. Bayan Baru sebelum ini juga pernah diwakili orang Melayu melalui Ahmad Nor dari DAP.

    Persaingan

    Melihat semula kawasan yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu, ternyata berlaku persaingan yang amat hebat antara UMNO dan PKR. Ini berdasarkan jumlah majoriti undi yang diperoleh oleh calon-calon yang menang di peringkat DUN kecuali di lima kawasan, masing-masing tiga di Parlimen Kepala Batas dan dua di Tasek Gelugor.

    Kebanyakan kawasan yang dimenangi oleh calon-calon PKR memperoleh undi lebih besar berbanding kemenangan calon-calon UMNO yang menang dengan majoriti undi kecil ke atas calon PKR.

    Di DUN Bayan Lepas, UMNO menang dengan majoriti 399 undi, Pulau Betong (294), Telok Bahang (465), Seberang Jaya (533), Sungai Dua (535) dan Sungai Acheh (250). Sebaliknya di tiga kerusi yang dimenangi pembangkang, Pas menang dengan majoriti lebih besar di Permatang Pasir iaitu 5,433 undi manakala PKR menang kerusi DUN Penanti dengan 2,219 undi dan Sungai Bakap dengan majoriti 2,067 undi.

    Begitulah corak pengundian yang melibatkan pertembungan antara dua calon Melayu di negeri itu. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Sebagai minoriti di pulau itu, orang Melayu tidak seharusnya mengalami perpecahan yang berterusan sehingga mereka terbahagi kepada dua – pembangkang dan penyokong kerajaan yang akhirnya tidak memberi sebarang makna kepada perjuangan politik mereka.

    Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan Kelantan atau Terengganu. Melayu Pulau Pinang dalam apa keadaan sekalipun perlu menunjukkan kesepaduan mereka supaya yang kalah tidak menjadi abu dan yang menang tidak menjadi arang. Lebih mudah jika tidak faham, Melayu rugi sama ada mereka menang atau kalah. Begitu juga dengan peringatan orang Melayu dulu-dulu supaya jangan sampai menang sorak kampung tergadai.

    Semoga Melayu Pulau Pinang tidak terpinggir dan terabai seperti yang mula dikeluh kesahkan oleh masyarakat Melayu di Pulau Mutiara itu sejak kebelakangan ini setelah kerajaan gabungan DAP-PKR-Pas dibentuk.

    – HASSAN MOHD NOOR

    Institusi beraja selamatkan kedaulatan Melayu?

    ORANG Melayu sangat wajar bersyukur kerana institusi beraja sekali lagi menyelamatkan maruah mereka daripada terus tergadai di bumi sendiri.

    Ternyata institusi beraja menjadi penyelamat dalam mempertahankan gagasan kedaulatan Melayu.

    Kesal rasanya, sebahagian orang Melayu singkat fikiran dan penuh emosi dalam ‘membuat keputusan’ menerusi peti undi sehingga menggugat survival Melayu.

    Bayangkan, kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, tahun lalu, tetapi gara-gara politik emosional – hari ini Pulau Pinang terlepas kepada DAP.

    Malah kerana percaturan yang silap akibat termakan pujukan pemimpin pembangkang Melayu yang bermuslihat tertentu, kini DAP menawan Pulau Pinang dan dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

    Kita juga hampir menyaksikan wakil DAP menjadi Menteri Besar di Perak dan Timbalan Menteri Besar I dan II di Selangor terdiri daripada mereka bukan Melayu.

    Raja-raja Melayu, walaupun menjadi payung kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum, cukup bijaksana dalam menunaikan tanggungjawab mereka menterjemahkan semangat Perlembagaan negara bagi membantu masyarakat Melayu dalam situasi genting.

    Buktinya institusi kesultanan Melayu menyelamatkan maruah bangsa apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Selangor menetapkan Menteri Besar terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Dalam hal ini, kita memuji ketegasan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri itu. Baginda tidak goyah biarpun DAP secara biadab bertindak mahu memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar baru negeri itu, baru-baru ini.

    Tidak terhinakah orang Melayu melihat gelagat Lim Kit Siang sekadar memohon maaf kepada Sultan Perak melalui kenyataan akhbar sahaja?

    Kepada orang Melayu, insaflah – kerana dengan izin Allah – nasib kita hari ini diselamatkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang dipertahankan oleh sultan. Tanpa disangka, Pilihan Raya Umum Ke- 12 mengingatkan orang Melayu betapa mereka – tidak dapat tidak – mesti menjunjung institusi yang memayungi survival Melayu selama ini.

    Malah kaum-kaum lain di negara ini seharusnya sedar bahawa disebabkan institusi kesultanan sedia ada, mereka juga mampu menjalani kehidupan dalam aman, damai dan makmur. Institusi beraja tidak pernah mengapi-api dan mempengaruhi orang Melayu untuk bertindak di luar batas undang- undang.

    Tetapi orang Melayu perlu ingat, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri turut menyebut, sultan atau raja juga mempunyai kuasa melantik Menteri Besar bukan daripada orang Melayu dan tidak beragama Islam jika keadaan terdesak dan memerlukan.

    Ini bermakna bukan mustahil jika ada orang Melayu sendiri yang sudah hilang ‘jati diri’ – tergamak untuk mempengaruhi sultan supaya berbuat demikian jika keputusan itu menguntungkan diri sendiri.

    Siapa ‘orang Melayu itu’ sebenarnya pada mata kaum lain? Percayalah mereka sebenarnya diperalatkan menerusi kerjasama dalam pakatan pembangkang untuk melemahkan kuasa politik Melayu.

    Kita bimbang sekiranya kuasa politik Melayu hilang, kedudukan institusi beraja juga terancam dari muka bumi ini.

    Jika bukan Melayu memerintah, mereka pastinya mahu menjadikan Malaysia sebuah republik.

    Kepada orang Melayu yang masih lagi rasional – inilah masa untuk kita memperkukuhkan jati diri seiring usaha kita untuk terus mempertahankan kedaulatan institusi beraja.

    – MELAYU PATRIOTIK

    Pontian, Johor.

    Orang Melayu perlu bermuhasabah untuk bersaing



    DASAR Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 dengan hasrat untuk menyusun semula masyarakat dan menyeimbangkan pendapatan antara kaum adalah satu dasar yang sangat baik. Ia adil kepada semua.

    Orang Melayu yang mempunyai pendapatan per kapita yang jauh lebih rendah daripada bangsa lain dibantu dengan pelbagai program terutamanya yang berkaitan dengan keusahawanan.

    Kita harus mengakui bahawa keistimewaan yang diberi kepada orang Melayu sebenarnya bukanlah untuk selama-lamanya. Ia adalah satu ruang kepada orang Melayu meningkatkan kemampuannya untuk sama-sama mengusai ekonomi Malaysia. Selepas orang Melayu mampu berjalan sendiri maka tongkat itu akan dibuang.

    Tidak dapat dinafikan bahawa keusahawanan adalah satu cara untuk mengubah taraf hidup sesuatu bangsa. Tidak ada orang yang jadi bilionair dengan makan gaji. Dengan itu pelbagai peluang diberikan kepada orang Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

    Tidak ada cacat celanya perancangan yang telah dibuat untuk membantu orang Melayu dalam menjadikan pengagihan kekayaan yang seimbang dengan bangsa lain.

    Tetapi yang menjadi persoalan adalah bagaimanakah caranya orang Melayu mengambil peluang tersebut dalam mengubah taraf hidup mereka. Contohnya, Institut Kemahiran Mara yang ditubuhkan untuk melatih pelajar Melayu dan bumiputera dalam kemahiran teknikal telah melahirkan ramai guna tenaga terlatih dalam bidang teknikal seperti bidang automotif.

    Tetapi berapa ramaikah yang mengambil peluang untuk membuka bengkel selepas memperoleh semua kemahiran tersebut.

    Kebanyakannya mengambil jalan mudah bekerja makan gaji. Tidak mengapa untuk menimba pengalaman dengan bekerja tetapi sehingga sekarang kita boleh lihat dengan mata kepala sendiri berapa banyakkah bengkel kereta milik orang Melayu? Kita jawab sendiri.

    Kontraktor-kontraktor Melayu terutama daripada kelas F yang mendapat tender-tender kerajaan masih ramai yang hanya mengali baba peluang yang diberi kepada mereka. Mereka tidak belajar sendiri cara untuk melakukan tugasan yang diberi dan mengambil jalan mudah 'menjual' tender itu kepada orang lain.

    Kita tidak menafikan bahawa sesetengah daripada bangsa bukan Melayu sebenarnya tertanya-tanya sampai bilakah keistimewaan yang diberikan kepada peniaga-peniaga Melayu untuk mendapat tender kerajaan akan terus diberikan. Mereka merasakan bahawa peluang mereka selama ini tertutup dan sukar untuk menembusi tender-tender kerajaan kerana polisi ini.

    Semua keistimewaan ini sepatutnya sudah membolehkan orang Melayu berdikari dan mula untuk memasuki persaingan yang lebih terbuka setelah hampir 40 tahun Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan.

    Sikap manja kebanyakan orang Melayu yang merasakan bahawa mereka sentiasa selamat menyebabkan mereka tidak mengambil peluang dengan bersungguh-sungguh dan percaya bahawa keistimewaan ini akan kekal selama-lamanya.

    Peniaga-peniaga yang manja ini sebenarnya menjadi beban kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikan taraf hidup bangsa Melayu. Dan akhirnya dengan berat hati mereka terpaksa mengakui bahawa DEB tidak berjaya mencapai sasarannya.

    Sama seperti orang yang sedang sakit. Mereka harus kuat melawan penyakit yang mereka hadapi. Orang yang patah kaki kerana kemalangan akan diberikan tongkat selagi tulang mereka belum kuat. Selepas itu mereka perlu menjalani terapi untuk membolehkan mereka berjalan tanpa tongkat.

    Kalau pesakit itu memanjakan dirinya dan tidak mahu melawan penyakit mereka mereka akan kekal bertongkat sampai bila-bila. Maka orang yang bertongkat sampai bila-bila boleh dikira sebagai orang kurang upaya (OKU). Adakah kita mahu menerima bangsa kita sebagai bangsa yang kurang upaya? Sudah pasti tidak.

    Mungkin keputusan pilihan raya yang telah diumumkan baru-baru ini akan menjadi satu wake-up call yang akan mengejutkan orang Melayu dari lamunan mereka. Suara-suara yang meminta supaya dikurangkan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dalam hal-hal berkaitan perniagaan sudah mula kedengaran.

    Meritokrasi dalam pendidikan telah pun dilaksanakan. Mereka harus sedar bahawa satu masa nanti kita mungkin akan berhadapan dengan situasi persaingan terbuka dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia iaitu meritokrasi dalam dunia perniagaan.

    Anggaplah fenomena yang sedang berlaku ini sebagai ubat yang pahit. Seperti kata pepatah, manis gula itu racun, pahit ubat itu penawar. Sampai bilakah orang Melayu tidak mahu mengubah sikap dan berubah menjadi bangsa yang rajin dan bekerja keras? Kita tidak tahu sampai bilakah segala keistimewaan ini akan dapat bertahan. Jangan nanti di saat segala kelebihan ini hilang, di saat tongkat terlepas dari tangan, pada waktu itu orang Melayu masih belum bersedia. Maka kita akan tersungkur menyembah bumi. Semoga dijauhkan.

    - NASSRUL HAKIM MD. JANI

    Melaka.

    Perbanyak sukan tradisi

    Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID

    MELAKA 16 Mac - Pelbagai persatuan sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini digesa menganjurkan lebih banyak pertandingan berasaskan sukan tradisi rakyat dalam usaha mempopularkan sukan tersebut.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, minat dan populariti sukan tradisi seperti sepak takraw, gasing dan congkak yang suatu ketika dahulu sangat popular di kalangan masyarakat Melayu jika bijak diketengahkan mampu menaikkan nama negara ke persada antarabangsa.

    Misalnya, kata beliau, penganjuran pertandingan sukan sepak takraw perlu diteruskan dari semasa ke semasa agar minat dan bakat yang ada di kalangan masyarakat tempatan tidak lenyap begitu sahaja.

    ''Penganjuran kejohanan sepak takraw adalah salah satu usaha mengembangkan semula permainan tradisi masyarakat Melayu ini agar ia 'tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan'.

    "Justeru, kerajaan negeri amat menggalakkan mana-mana persatuan sukan atau NGO yang berhasrat menganjurkan kejohanan sukan tradisi kerana usaha tersebut membantu kita mengetengahkan lagi sukan rakyat," katanya di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Ali, pada masa sama, pihaknya berharap pihak swasta turut sama memainkan peranan termasuk menjadi penaja kepada kejohanan sukan tradisi rakyat agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Ini kerana, katanya, tanpa penyertaan pihak swasta, sukar bagi sesebuah penganjur untuk mempopularkan aktiviti sukan tradisi.

    ''Bagaimanapun, seperti yang kita lihat pada hari ini, permainan tradisi seperti gasing atau congkak hanya popular di kampung-kampung lama kerana ia semakin dilupakan oleh generasi muda.

    ''Bagi orang luar yang pertama kali menyaksikan pertandingan gasing, ia berbaloi untuk ditontoni kerana mereka dapat melihat sendiri aksi dan gaya seseorang pemain memangkah gasing lawan,'' kata Mohd. Ali.

    Kata beliau, melalui usaha memperbanyakkan sukan tradisi ini diharap mengembalikan semula kegemilangan permainan gasing yang begitu popular sebelum tahun 1980-an.

    Abdullah ketepikan cakap-cakap mengenai undi tidak percaya

    PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyangkal khabar angin mengenai wujudnya rancangan mengadakan undi tidak percaya terhadapnya dengan menegaskan beliau mendapat sokongan padu Umno.

    Perdana Menteri juga berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai spekulasi adanya usaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau pada perhimpunan agung Umno yang dijadual Jun depan dan juga hubungannya dengan Najib.


    “Apa yang saya tahu, saya masih di sini. Saya sudah diberikan satu mandat yang amat kukuh, saya percaya...hanya kurang lapan kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga. Saya bukannya seorang yang lari daripada mandat yang sudah diberikan kepada saya.

    “Mereka (pengundi) sudah memberikan saya undi mereka dan adalah menjadi hasrat saya untuk meneruskannya. Saya mendapat sokongan kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan barisan Kabinetnya di Perdana Putra, di sini.

    Mengenai hubungannya dengan Najib, beliau berkata: “Saya mempunyai hubungan paling baik dengan Najib. Anda yang bertanya mengenainya...orang membuat tuduhan mengenai banyak perkara.” — Bernama

    Perkembangan sejarah Tanjung Tuan

    ALOR GAJAH - Menyingkap mengenai sejarah kewujudan Tanjung Tuan, ia dahulunya dikenali sebagai Cape Rachado, sebuah tanjung yang kedudukannya menganjur keluar ke Selat Melaka dari tanah Negeri Sembilan.

    Dikelilingi Selat Melaka di sebelah utara, barat dan selatan, di sebelah timur pula, Tanjung Tuan bersempadan dengan Negeri Sembilan membuatkan kedudukannya berada di persisiran dari tanah besar Negeri Sembilan.

    Mengikut sejarahnya, Tanjung Tuan yang terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Bandar Port Dickson dan 80 km dari Bandar Melaka mula ditadbir sebagai sebahagian daripada negeri Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

    Pada masa itu, ia menjadi tempat kawalan kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka kerana kedudukan perairannya yang sempit memudahkan pihak penguasa memantau atau mengawal kapal yang melaluinya.

    Kedudukan Tanjung Tuan yang strategik juga dipercayai menjadi faktor utama tempat tersebut terus digunakan oleh pemerintah di Melaka termasuk Portugis, Belanda dan Inggeris.

    Buktinya, sehingga hari ini, masih terdapat rumah api di puncak bukit yang tertinggi di kawasan ini yang menghadap ke Selat Melaka yang pada asalnya dibina oleh Portugis pada abad ke 16 sebelum dibina semula oleh pihak Inggeris pada tahun 1839.

    Pada 1921, kawasan ini telah diwartakan sebagai salah satu daripada hutan simpanan kekal yang tertua di Malaysia dan ditadbir oleh Pejabat Hutan Negeri Melaka.

    DiwartakanIa juga telah diwartakan sebagai Kawasan Suaka Kehidupan Liar pada tahun 1971 dan Kawasan Perlindungan Mergastua pada tahun 1991 dan diletakkan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang bersempadan dengan Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Hari ini, Tanjung Tuan yang terletak berhampiran Ilham Resort Port Dickson ini dikenali sebagai pantai peranginan yang telah diwartakan sebagai kawasan santuari burung liar.

    Ia menjadi tempat persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi jenis helang berhijrah dari hemisfera selatan ke hemisfera utara terutamanya pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.

    Burung migrasi ini telah menjadikan Tanjung Tuan sebagai lokasi transit untuk mendapatkan bekalan makanan, santuari rehat serta perlindungan yang selamat sejak ratusan tahun lalu sebelum meneruskan perjalanan bermusim melintas hemisfera.

    Menyedari keunikan ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan telah menganjurkan program Raptor Watch Weekend-RWW (Minggu Pemerhatian Burung Helang) sejak Sembilan tahun lalu.

    RWW bertujuan memberi kesedaran orang ramai tentang kewujudan fenomena semulajadi ini sejak ratusan tahun dahulu dan menghargainya di samping berusaha untuk mengekalkannya untuk tontonan generasi seterusnya.

    RWW 2008 telah berlangsung selama seminggu sejak 8 Mac lalu di PNB Ilham Resort, Tanjung Tuan, Alor Gajah, Melaka dan menerima hampir 4,000 kunjungan pencinta alam dan pemerhati burung dari dalam dan luar negara.

    Raja Melayu stabilkan politik negara

    SEBAGAI seorang pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) saya amat tertarik dengan peranan penting yang dimainkan oleh raja-raja Melayu demi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam melantik pemimpin negeri.

    Sistem kerajaan raja berperlembagaan kadang-kadang kurang difahami oleh warganegara lain. Tahun lepas seorang pelancong Barat telah mengeluarkan cacian peribadi terhadap raja negara jiran terdekat kita.

    Tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa dan pihak media Barat telah menyebarkan pandangan ketidakpuasan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan.

    Orang luar perlu faham bahawa di negara jiran kita institusi rajanya yang telah mengekalkan kestabilan negara kerana parti politik yang menang sering berubah dan ada rampasan kuasa pihak tentera.

    Di negara kita Alhamdulillah pergolakan politik tidaklah begitu ketara. Namun setelah PRU12 kita telah nampak bagaimana institusi ini memainkan peranan penting dalam proses pemilihan Menteri Besar dibuat secara teliti supaya dapat memenuhi kehendak Perlembagaan dan juga kepentingan rakyat.

    Jelas tindakan raja-raja Melayu tidak dipengaruhi oleh kehendak politik semata-mata, di peringkat negeri mahupun di kalangan kelompok tertentu.

    Ini dijangkakan kerana rata-rata sultan yang memegang kuasa pada masa ini merupakan tokoh dalam pelbagai bidang termasuk bidang profesional.

    Kita berdoa sultan dan wakil rakyat dapat terus bekerjasama dalam memberi khidmat dan mewakili masyarakat. Dengan rekod yang baik, insya-Allah sistem raja berperlembagaan akan terus relevan di era globalisasi.

    Melaka tingkatkan sektor sejarah

    MELAKA 17 Mac - Sektor pelancongan di negeri ini terutamanya yang berkaitan dengan sejarah akan terus dipertingkat melalui usaha pemuliharaan serta pemugaran sejarah oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

    Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang diiktiraf sebagai Bandar Raya Bersejarah dan pelbagai usaha akan terus dilakukan agar pelbagai warisan sejarah dan budaya negeri ini tidak luput ditelan zaman.

    "Muzium yang berperanan mengumpul koleksi bersejarah, kini perlu seiring dengan cabaran dunia tanpa sempadan dan dunia digital yang lengkap selari dengan teknologi moden yang ada.

    "Pembaharuan di sektor ini dilihat sebagai satu komitmen kerajaan negeri ke arah memberikan idea dan pendekatan yang tersendiri serta mesra pengguna," katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

    Jelas Mohd. Ali, kelebihan Melaka yang telah dikenali sejak kurun ke-15 lagi dimanipulasi supaya kegemilangan Melaka suatu ketika dahulu tetap unggul di mata dunia.

    "Bila sebut sahaja Melaka, pasti terbayang di fikiran, sebuah negeri bersejarah yang mempunyai keunikan tersendiri.

    "Sebagaimana telah diketahui seluruh masyarakat dunia, sejarah negara juga sebenarnya berakar umbi dari bumi bertuah ini sejak 600 tahun lampau," katanya.

    Katanya, kecemerlangan dan kemakmuran masa silamnya membuatkan Melaka terkemuka sejak zaman dahulu dan menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat.

    "Kewujudan bangsa Melayu menjadi teras kepada komuniti lain termasuk Baba Nyonya, Ceti dan Portugis hasil pertembungan pelbagai pengaruh dan budaya masyarakat Portugis, Belanda dan Inggeris.

    "Semua budaya inilah yang telah mewarnakan catatan sejarah di samping memperagakan ragam budaya yang menarik di bumi Melaka ini," katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd. Ali berkata, tahun 2008 akan menjadi pemangkin kepada pelbagai perancangan dan projek pembangunan di Melaka terutamanya dalam usaha Melaka mencapai status negeri maju menjelang 2010.

    Katanya, semua projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan itu akan mengambil kira setiap aspek keamanan dan kemakmuran rakyat.