Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Ogos 2008

Alat Ganti Hawa Dingin?

[]


HAWA dingin ada alat gantinya? Di mana alat ganti tersebut dapat diperoleh? Persoalan ini muncul kerana di Taman Maju Jaya, Kuala Lumpur ada kedai yang menjual alat ganti hawa dingin.

Lazimnya, hawa atau udara akan menjadi dingin secara semula jadi apabila hari hujan. Selain itu, udara juga akan menjadi dingin apabila didinginkan oleh “alat hawa dingin” atau juga dikenali dengan “penyaman udara”. Istilah “alat hawa dingin” merupakan padanan kepada istilah air-conditioner dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu, istilah tersebut juga boleh dipadankan dengan istilah “penyaman udara”.

Apabila telah lama digunakan “alat hawa dingin” atau “penyaman udara” perlu diselenggara atau di-servis, dan ada kalanya komponen atau alat tertentu perlu diganti. Komponen atau alat tertentu inilah yang dikenali dengan alat ganti, dan akan digunakan untuk menggantikan alat-alat dalam “penyaman udara” atau “alat hawa dingin” yang rosak, bukannya untuk menggantikan “hawa dingin” kerana “hawa dingin” tidak ada alat gantinya. Yang ada alat gantinya ialah alat hawa dingin dan alat ganti tersebut boleh dibeli di kedai alat ganti hawa dingin.

Jadi, nama premis atau kedai di Taman Maju Jaya sebenarnya tidak tepat dan sepatutnya diubah menjadi “Penjual Alat Ganti Alat Hawa Dingin” atau “Penjual Alat Ganti Penyaman Udara”. Pihak berkenaan yang bertanggungjawab dalam meluluskan pendaftaran nama syarikat sepatutnya lebih teliti dalam meluluskan pendaftaran sesuatu nama syarikat supaya nama yang didaftarkan adalah tepat dari segi penggunaan bahasa kebangsaan. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam meluluskan pemasangan papan tanda premis perniagaan.

Puisi Dua Negara Memartabatkan Sastera dan Budaya


[Oleh Zaidah Ahmad Rosly]


SEPAKAT: Sasterawan Negara (dari kiri), Ketua Pengarah DBP,
Pesuruhjaya Bangladesh ke Malaysia bersama dua orang karyawan
tersohor, Datuk Kemala dan Aminur Rahman.

DALAM usaha untuk terus memartabatkan sastera dan budaya Melayu, puisi-puisi hebat karya dua orang sastera-wan negara, Datuk Dr. A. Samad Said dan Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) diterjemahkan dalam bahasa Bangladesh oleh penyair terkenal negara itu, Aminur Rahman dan dihimpunkan dalam sebuah antologi. Majlis pelancaran buku tersebut diadakan di Dewan Bankuet, Menara DBP pada 31 Disember tahun lalu dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Tuan Yang Terutama M. Khairuzzaman.

Majlis pelancaran yang diada-kan di negara ini merupakan inisiatif Puan Rieta Rahman yang juga seorang penyair dan isteri kepada Tuan Yang Terutama M. Khairuzzaman, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dengan kerjasama DBP, PENA dan Persatuan Sastera Bandingan, Malaysia. Dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran tersebut, beliau mengatakan bahawa ini adalah titik permulaan kepada hubungan baru dalam perspektif sastera dan budaya antara Bangladesh dengan Malaysia.

Selain itu, beliau juga turut berharap agar hubungan ini akan terus mekar pada masa akan datang. Di samping turut membaca sebuah puisi daripada antologi tersebut dengan terjemahannya disampaikan oleh Aminur Rahman. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, Aminur Rahman, pegawai-pegawai dari kedutaan Bangladesh dan penggiat-penggiat sastera tanah air.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah dalam ucapan balasnya pula mengatakan DBP sangat berbangga dengan usaha ini dan berharap agar kolaborasi budaya antara Bangladesh dengan negara ini akan berterusan. Beliau turut membaca puisi Bangunkan Tanah Airku karya Rabindranath Tagore yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Pelancaran buku Antologi Datuk Dr. A. Samad Said dan Datuk’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Baca Puisi telah pun dilaksanakan di Dhaka, Bangladesh pada 24 November tahun yang lalu. Pelbagai acara telah diatur bersempena dengan majlis pelancaran antologi tersebut antaranya termasuklah sesi bertemu dengan teman-teman artis, rakan-rakan penyair dan sesi temu ramah dengan stesen-stesen televisyen.

Sejarah Jalur Gemilang




Surat Hamzah ketika menghantar rekaan bendera Malaysia.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.


Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Mohamed Hamzah

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Jalur Gemilang dalam catatan sejarah

1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.


3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.

4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006.

Fakta Jalur Gemilang

  • Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.

  • Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

  • Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.

  • 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

  • Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

  • Maksud lambang dan warna;

    - Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.

    - Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

    - Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.
  • Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung: Contohi Negara China Mendaulatkan Bahasa Ibunda

    [Oleh Normala Mohamed Yusof]

    Peluang menjejakkan kaki di Tanah Besar China memberikan peluang kepada mantan editor Klik DBP meninjau budaya bahasa yang diamalkan di sana. Negara kita harus mencontohi sikap dan pegangan rakyat negara China yang percaya negara mereka boleh maju, membangun dan sentiasa dikunjungi pelancong asing meskipun mengekalkan dan mempertahankan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pertuturan, perhubungan dan pemaparan nama tempat. Contohnya, Tembok Besar China yang menjadi salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia yang dikunjungi jutaan pelancong dari seluruh dunia hanya melakarkan bahasa ibunda mereka pada monumen di kaki Tembok Besar itu.

    Bahasa Inggeris hanya digunakan mengikut keperluan semasa atau dalam penganjuran majlis pada peringkat antarabangsa, itu pun diletakkan sebagai bahasa kedua. Dari segi pemaparan, saiz hurufnya lebih kecil dan diletakkan selepas bahasa ibunda.

    Kami sempat merakamkan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pelancong untuk tatapan pembaca Klik DBP. Antaranya, pemaparan papan tanda bangunan seperti monumen Tembok Besar China, hotel, muzium, pasar raya dan kedai cenderahati. Menariknya, papan tanda yang memaparkan nama Kedai Cenderahati Barangan Muslim itu dieja betul berbanding pemaparan Souveniour Shop For Muslim Products yang dieja salah. Hal ini membuktikan betapa mereka tidak teruja untuk menggunakan bahasa Inggeris yang betul, iaitu souvenir. Alangkah bertuahnya bumi Malaysia sekiranya mempunyai rakyat seperti negara China yang megah akan bahasa ibundanya. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

    Pertanyaan tentang aspek penggunaan bahasa yang betul boleh dihubungi melalui talian 03-2148 1960, 5887, 5905 dan 2139.

    Bahasa Melayu Di Persada Dunia: Siaran Radio Bahasa Melayu di Beijing

    [Oleh Aliah Abdul Rahim]

    Pada 1 Mac tahun ini, Siaran Bahasa Melayu (SBM), Radio Antarabangsa China (CRI), Beijing menyambut ulang tahunnya yang ke-49. Siaran ini dahulunya dikenali sebagai Radio Beijing dan pertama kali dipancarkan dalam tahun 1959 selama setengah jam sahaja dengan tiga orang kakitangan yang mengendalikannya.

    Sejak itu sehinggalah sekarang, SBM dapat didengar di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, sebahagian Indonesia dan selatan Thailand.

    Menjelang sambutan jubli emas SBM pada tahun depan, siaran ini telah mengalami banyak perubahan sama ada dari segi masa siaran, mutu rancangan mahupun taraf profesionalnya. Kini, siaran tersebut ke udara selama dua jam sehari dan dikendalikan oleh kira-kira 20 orang kakita ngan di Bahagian Bahasa Melayu, termasuk seorang penasihat bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Siaran pertama pada pukul 5.30 hingga 6.30 petang, manakala siaran kedua, iaitu siaran ulangan pada pukul 8.30 hingga 9.30 malam.

    Siaran Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada 38 jenis siaran bahasa di CRI, termasuk bahasa Mandarin dan empat jenis dialek Cina yang ke udara setiap hari. Radio Antarabangsa China yang ditubuhkan pada 3 Disember 1941 merupakan satu-satunya stesen radio China yang menyiarkan rancangan ke luar negara.

    Matlamat CRI adalah untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat China dengan rakyat pelbagai negara di dunia. Justeru, terdapat kira-kira 200 jam siaran dalam pelbagai bahasa daripada bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab sehinggalah kepada bahasa yang tidak ramai penuturnya, iaitu bahasa Urdu dan bahasa Pushto. Kandungan siaran termasuk berita, rencana semasa, rancangan khas tentang ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi, dan sebagainya. Disebabkan jaring an maklumat CRI yang luas, CRI digelar sebagai "Jambatan yang Menghubungkan China dengan Dunia" dan merupakan "cara yang mudah dan berkesan bagi memahami China".

    Siaran Bahasa Melayu CRI telah menjalin hubungan dengan DBP sebelum penghantaran penasihat bahasa yang pertama pada tahun 1993. Penasihat bahasa DBP berkhidmat sebagai editor yang menyemak artikel dan berita yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk siaran. Penghantaran penasihat bahasa setiap tahun dapat mengeratkan lagi hubungan CRI dengan DBP seiring dengan matlamat DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

    Seperti siaran radio yang lain, SBM juga mempunyai laman web yang dibuka secara rasmi pada 1 Oktober 2003. Pelbagai topik yang memberikan banyak maklumat tentang China khususnya turut termuat dalam laman tersebut selain berita semasa dari Malaysia. Antara maklumat yang menarik ialah waktu solat di China dan ruangan kuiz yang menyediakan hadiah berupa lawatan ke China. Menjelang Sukan Olimpik Beijing Ogos nanti, terdapat soalan kuiz tentang sukan dunia tersebut.

    Seiring dengan teknologi komunikasi yang maju, kepetahan penyampai SBM yang terdiri daripada orang tempatan boleh didengar melalui siaran dalam talian. Disebabkan istimewa dan menariknya laman web SBM ini, maka ia pernah diiktiraf beberapa kali sebagai laman web siaran radio yang terbaik di CRI. Jendela benua China akan terbuka dengan melayari www.cri.com.cn atau http://my.chinabroadcast.cn

    Maruah Jalur Gemilang


    Oleh Bennie Zie Fauzi




    Bendera sebagai lambang sebuah negara, simbol aspirasi rakyat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia

    MALAM 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor bermandi cahaya dan lautan manusia. Rakyat pelbagai kaum, jauh dan dekat hadir dengan satu matlamat; ingin meraikan detik pembebasan negara dari belenggu penjajahan Inggeris.

    Perbezaan agama dan budaya ditolak tepi, jurang sosial dan komunikasi dilupakan, fahaman politik dipinggirkan malah beza warna kulit tidak langsung diambil peduli.


    Tepat jam 12.01 malam, padang di kelab berprestij itu bergema dengan laungan ‘Merdeka!’ seiring upacara menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Detik itu juga, lagu Negaraku diperdengarkan kepada umum. Selama berkurun di bawah perintah asing, malam itu, bendera Union Jack ‘turun takhta’.

    Bendera meskipun ditakrifkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan, juga dikenali panji dan obor namun malam itu darjatnya besar. Ia dilihat simbol aspirasi rakyat yang menginginkan kehidupan aman, makmur, maju dan bersatu padu.

    Meskipun, sejak merdeka, ada kesungguhan menyatupadukan rakyat melalui bendera, kini, kredibilitinya bagai dicabar apabila berlaku satu demi satu insiden memalukan membabitkannya.



    Peristiwa membakar Jalur Gemilang dalam satu rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Terengganu pada 8 September 2007 masih basah dalam ingatan. Belum pun mencecah setahun, kini ada ura-ura menyambut kemerdekaan dengan mengibarkan bendera secara terbalik oleh penulis blog.

    Perlakuan ini disifatkan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah merangkap Penyelaras Rancangan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Arba’iyah Mohd Nor sebagai perpaduan membawa rebah.

    Menyebut berpunca perasaan hormat yang kian pudar, Arba’iyah menasihatkan masyarakat lebih rasional dalam membezakan pemimpin yang menerajui kerajaan dengan bendera lambang negara.

    “Pemimpin adalah mereka yang mentadbir negara melalui undian suara majoriti. Mereka datang dan pergi bila tiba masanya. Sementara, bendera mewakili negara bukan individu atau parti kerajaan. Ia simbol martabat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia. Kedudukannya setaraf dengan Perlembagaan,” katanya.

    Justeru, perbuatan membakar bendera bukan saja diibaratkan membakar hangus negara tetapi memijak lumat martabat dan maruah diri.

    “Bayangkan pula panji kebesaran kita ini dimusnahkan negara luar? Sudah tentu kita rasa tercabar. Jadi, jangan kerana marahkan pihak tertentu, bendera menjadi korban. Seharusnya, kita tanpa mengira kaum mempertahankan kedaulatan bendera dari dicalar dan dicemari, sebagaimana kita berjuang menentang musuh di medan pertempuran,” ujarnya.

    Jalur Gemilang yang suatu ketika dulu dipanggil bendera saja diilhamkan penciptanya dengan jiwa. Maka, setiap lambang dan warnanya menonjolkan maksud tertentu. Yang pasti, bahagian berwarna biru tua yang bermaksud perpaduan membawa pengertian paling mendalam kerana mewakili seluruh warga negara.

    Apabila masyarakat saling bersatu, kejayaan pasti menyusul seperti dibuktikan melalui pembinaan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pencakar langit diiktiraf antara tertinggi di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); lapangan terbang menawarkan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, Litar Sepang yang dikunjungi ribuan orang saban kali Formula 1 berlangsung, Putrajaya; kompleks pentadbiran kerajaan dan destinasi pelancongan selanjutnya penubuhan Petronas, Proton, Khazanah Nasional Berhad dan sebagainya.

    Arba’iyah berkata, semangat ‘biru tua’ harus dibawa ke mana saja kaki melangkah serta meliputi pelbagai aspek. Sukan antara kegiatan paling mengalu-alukan pembabitan bendera. Di sini bendera berperanan sebagai medium perpaduan dan penghormatan sekali gus.

    “Sokongan terhadap atlit negara di temasya sukan antarabangsa diterjemahkan menerusi bendera yang dijulang dan dikibarkan. Ia menjadi senjata utama membangkitkan semangat juang. Penghormatan terhadap negara yang memenangi sesuatu kejohanan ditunjukkan dengan menaikkan bendera negara berkenaan bersama lagu kebangsaannya,”katanya.

    Sementara, dalam peperangan, bendera dijadikan sumber kekuatan dan perpaduan tentera. Panji yang dibawa sewaktu bertempur selain menyemarakkan semangat patriotisme juga berfungsi membezakan pasukan sendiri dan musuh ditentang.

    “Bercakap mengenai patriotisme langsung saya teringat isu pembakaran bendera. Bagi saya, bukan semua bersetuju dengan perbuatan itu tetapi bagi yang sayang dan hormatkan benderanya tentu marah serta kecewa. Dinilai dalam implikasi lebih besar, perlakuan ini mengundang rasa tidak hormat pihak luar terhadap negara kita yang akhirnya membuka peluang penjajahan semula. Sikap tidak baik ini perlu dikikis segera bagi mengelakkan campur tangan asing,” katanya.

    Arba’iyah berkata, perlu ada langkah memupuk perasaan sayang dan hormat terhadap simbol kebanggaan negara ini. Langkah awal seharusnya bermula dari rumah membabitkan ibu bapa.

    “Ibu bapa memikul tanggungjawab menyemai rasa kasih terhadap bendera, memperkenalkan selanjutnya menerangkan fungsinya kepada anak-anak. Keprihatinan ditunjukkan dengan cara mengibarkan bendera di rumah terutama menjelang Bulan Kemerdekaan.

    “Sekurang-kurangnya anak-anak sedia mengenali fungsi dan kepentingan bendera sebelum memasuki alam persekolahan. Rasa hormat menerbitkan sayang dan cinta kepada negara,” katanya yang turut mencadangkan sukatan pelajaran pendidikan moral dan kewarganegaraan diselitkan pengetahuan mengenai Jalur Gemilang.

    Ilmu diterapkan perlu mengambil kira etika dan tatacara memelihara bendera negara meliputi cara mengibar, melipat dan menyimpannya. Dalam pada itu, pengibaran bendera dibudayakan kerana dari sini jati diri, hormat dan kasih dapat diwujudkan.

    “Budaya ini saya lihat belum menular dalam jiwa masyarakat. Saya pernah ke Turki ketika musim Piala Dunia lalu dan kagum dengan kecintaan mereka terhadap bendera.

    “Penghormatan ditunjukkan dengan cara menggantung dan mengibar negara di segenap ceruk dan tempat, bukan saja di premis perniagaan bahkan di pintu masuk negara, berderetan di tiang lampu, papan iklan dan sebagainya. Tidak payah tunggu Hari Kemerdekaan, bila-bila masa pun semangat ingin menonjolkan bendera perlu ada,” katanya.

    Beliau berkata, pengisian kemerdekaan bukan sekadar menggantung bendera dan mengibarkannya sewaktu perbarisan tetapi dizahirkan melalui penganjuran program berbentuk pertandingan melukis bertemakan Jalur Gemilang, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan sebagainya.

    SN Usman Awang jaguh puisi negara


    Oleh Rahiqah Ilmi Abd Rahim

    Khalayak terpegun dengar luahan emosi deklamator

    SUMBANGAN Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang terhadap khazanah kesusasteraan bangsa diiktiraf pada Malam Puisi Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di Arena Sukan Lasak, Kompleks Kementerian Belia dan Sukan, Bukit Kiara, baru-baru ini.

    Acara yang menjadi sebahagian daripada pengisian program Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9 setiap Jumaat, mengangkat kehebatan pemilihan kata dalam bait puisi SN terbabit yang keindahannya belum mampu ditandingi penyair lain selain sarat dengan makna tersurat mahupun tersirat.


    Tirai Malam Puisi NLKO, dibuka dengan personaliti TV9, Sharifah Nur dan Amin Hayat, tampil dengan puisi, Dari Bintang ke Bintang karya Allahyarham yang menyimpul ikatan cinta teruna dara pada hari pernikahan dan saat menempuh malam pertama penuh kebimbangan.

    Subur laksana ladang petani di lereng gunung
    Ranum menguntum dalam wujud rasa maha agung
    Mata yang memberi hati ini penuh menanti
    Kureguk kasih menghadapi hidup seluruh berani.

    Kini kulihat kepalamu tersandar di jinjang pelamin
    Rambutmu tersanggul terandam mengilau di cahaya lilin
    Gemersik kainmu membisikkan bahagia malam pengantin
    Melimpah tumpah bahagia dalam tawa teman keliling.

    Ketika malam kulihat matamu pada bintang
    Senyummu melambai di gemilang sinar bulan
    Dari bintang ke bintang kunantikan lagumu
    Hanya kerdipan dalam bisu suara hatiku bimbang.


    Jamaliah Anbia tampil dengan puisi romantis Usman, Kekasih yang mengisahkan kesediaan pasangan untuk membahagiakan antara satu sama lain dengan pemilihan kata puitis sehingga tampil indah apabila dilagukan penyanyi lagu puisi, Ahmad Ramli.

    Kekasih
    akan kupintal buih-buih
    menjadi tali
    mengikatmu.

    Akan kuanyam gelombang-gelombang
    menjadi hamparan
    ranjang tidurmu.

    Akan kutenun awan-gemawan
    menjadi selendang
    menudungi rambutmu.


    Akan kujahit bayu gunung
    menjadi baju
    pakaian malammu.


    Ikon kanak-kanak rancangan NLKO, Mohd Shafiemi, tampil menjiwai sepenuh hati puisi Hadiah yang merakam kebimbangan penyair pesta hari jadi menjadi galakan kepada kemusnahan kedamaian apabila hadiah dalam bentuk senjata sekalipun mainan menjadi pilihan tamu.

    Ah, kenapa kaubawakan senapang
    Kereta meriam dan kapal terbang perang
    - Meski sekadar barang mainan-
    Sebagai tanda mata hari lahir gemilang?
    Betapakah kerelaan dari kebenaran
    Antara kehormatan dan keyakinan teguh
    Sebab kau mengajar anak-anak membunuh?
    Manakah milik dunia yang baik
    Ah, berikan padanya, ia bias senyum jua
    Meski sekadar sekerat pensil kayu cuma.


    Anakku dan anak-anak kita semua
    Jangan dilukai hati mereka dengan senjata
    Biar di wajah dan hatinya cinta berbunga
    Dunia yang damai, hidup yang sejahtera!


    Aziz Desa pula memilih Salam Benua yang mencurahkan kebimbangan penyair tersohor itu akan kealpaan rakyat kepada kejahatan Barat melalui kuasa ekonomi sehingga mereka berpecah belah hanya kerana kepentingan material dalam menjamin kesejahteraan kehidupan.

    Mereka memisahkan kita
    pasport visa segala tempoh nama
    mereka merompak kita dengan undang-undangnya
    peluru dikirimkan dalam bungkusan dolarnya
    kita dipaksa memilih salah satu
    dan kita mesti memilihnya
    tiada jalan lain.


    Telah saudara pilih senapang dan peluru
    banyak pemimpin memilih dolarnya
    untuk ini saudara membasahi baju
    rumput-merah sungai-merah
    tangis anak-anak
    darah rakyat tertindas.


    ...salam
    tanpa
    visa
    pasport
    golf
    warna
    kemanusiaan rakyat
    seluruh benua.

    23 Ogos 2008

    Lelaki moden lebih emosi dan bervisi


    Oleh Diyanah Anuar


    KREATIF: Pereka terkenal Bernard Chandran mewakili karektor lelaki era moden.

    Transisi gaya hidup tradisional dan maju ubah personaliti jejaka

    DALAM transisi gaya hidup dan mentaliti daripada tradisional kepada moden, generasi kedua lelaki tempatan banyak dipengaruhi pelbagai jenis media terutamanya dari Barat.

    Kajian agensi pengiklanan, McCann Erickson mendapati penampilan bintang terkenal Hollywood dan Bollywood mempengaruhi pembawaan lelaki era itu. Antara gambaran yang sering ditampilkan adalah kekuatan yang dimiliki aktor dengan susuk tubuh gagah mereka mencetus ikutan.


    Kesan pengaruh itu, aktiviti kecergasan di gimnasium mula popular sedangkan pusat seumpama itu hanya dikunjungi atlit serta ahli bina badan saja. Golongan lelaki mula mengunjungi gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan sasa seperti bintang terkenal yang dipuja. Bayaran bulanan yang mahal tidak menjadi soal kepada mereka asalkan mengikut aliran ketika itu.

    “Tapi, tubuh yang sasa saja tidak mencukupi. Untuk kelihatan menarik, mereka harus mempunyai pakej lengkap. Mereka perlukan penampilan baru yang rapi dan bergaya dan sumber rujukan bagi semua ini adalah daripada paparan fesyen di media serta koleksi fesyen yang ditonjolkan jenama fesyen terkenal luar negara.

    “Istilah ‘grooming’ (perapian penampilan) yang cukup asing pada zaman bapa mereka dulu kini lebih diterima dan digalakkan. Grooming tidak dilihat khusus untuk wanita saja tapi sebagai suatu usaha mencapai kejayaan.


    “Penampilan rapi ini seiring dengan tubuh sasa yang diusahakan, barulah dikatakan ‘pakej’ yang lengkap serta keyakinan yang harus ada pada seseorang lelaki,” kata Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson, Abhinav Sharma.

    Kata Abhinav lagi, pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan juga mendorong kaum lelaki memperbaiki penampilan. Tabiat semula jadi wanita yang suka berhias sedikit sebanyak membuka minat lelaki untuk mengambil tahu mengenai fesyen dan mula mengunjungi butik fesyen berjenama. Industri penghasilan produk fesyen dan penjagaan diri untuk lelaki pun mula berkembang.

    “Kita dapat lihat ‘pertembungan’ pemikiran yang berbeza antara dua kumpulan ini (tradisional dan moden) dalam situasi yang mungkin pernah berlaku pada sebahagian besar antara kita.

    “Anak lelaki moden mungkin biasa membeli barangan mewah, atas dasar jenama dan kualitinya. Tapi perasan atau tidak, bila bapa tahu mengenainya atau bila kita hadiahkan barangan mahal ini kepada mereka, akan ada riak tidak setuju yang diberikan. Jelas terlihat lelaki moden lebih prihatin kepada fesyen dan penampilan,” tambah Abhinav.

    Dari kajian yang dilakukan ini, beberapa perbezaan sifat antara golongan bapa tradisional dengan anak lelaki berjiwa moden dapat dikesan. Bapa tradisional keras hati, mudah reda, diktator, sukar berkomunikasi dan berjiwa kekeluargaan manakala anak lelakinya yang dibesarkan bersifat sedikit acuh tak acuh, berwawasan, berdaya saing, mampu mengawal, memendam dan agak mementingkan diri sendiri.

    “Mereka biasanya kurang risau mengenai masa depan sendiri tapi lebih risau jika tidak menepati apa yang bapa mereka mahukan.

    “Di samping itu, mereka membesar dalam persekitaran yang tinggi persaingan. Ada kalanya, mereka tidak sependapat dengan bapa namun tidak tergamak untuk mengingkari.

    “Walaupun dididik dengan kata-kata ‘lelaki tidak menangis’, anak lelaki moden sebenarnya lebih emosional. Berbanding bapa, si anak lebih suka meluah dan melayan perasaan. Mereka kerap berdepan dengan konflik untuk menyenangkan hati bapa mereka dan pada masa yang sama mencari identiti sendiri,” katanya lagi.

    Secara tidak langsung, karakter kelelakian sedikit berubah. Jika dulu lelaki dianggap tidak sepatutnya menangis, kini perbuatan itu boleh diterima tapi perlu kena pada masa dan tempat.

    “Suatu contoh penerimaan sebahagian masyarakat terhadap lelaki menangis ini adalah ketika program realiti ‘What Women Want’ yang disiarkan di saluran 8TV tidak lama dulu.

    “Peserta Mohd Hafiz Adnan, seorang yang disifatkan paling sensitif, menjuarinya atas undian penonton. Beliau mengalahkan 12 peserta lain yang sifat kelelakian mereka lebih terserlah,” ujar beliau.

    Lelaki baru, kata Abhinav, lebih sensitif, kurang sikap memerintah dan lebih terbuka untuk mencuba perkara baru termasuklah apa yang sebelum ini dianggap profesion wanita.

    Beliau menamakan personaliti yang berjaya dalam bidang yang suatu masa dulu lebih sinonim dengan wanita, antaranya pereka fesyen, Datuk Bernard Chandran dan chef terkenal, Chef Wan yang masing-masing menempa nama dalam bidang yang diceburi.

    Dalam aspek kekeluargaan, sifat seorang bapa yang bertanggungjawab menyara dan melindungi keluarga masih kekal dalam generasi lelaki moden.

    “Apa yang berubah cuma bapa moden tidak lagi kekok menyalinkan lampin, menjaga anak atau melakukan tanggungjawab yang selama ini digalas golongan ibu memandangkan isteri mereka juga mempunyai komitmen kerjaya.

    “Dari bapa (lelaki tradisional) yang tegas, tidak banyak bercakap dan berkuasa penuh membuat keputusan dalam keluarga, bapa yang moden dikatakan lebih emosional, kurang memerintah dan berusaha menyediakan yang terbaik untuk keluarga,” tambah Abhinav.

    Akhir sekali, pemerhatian dari segi gaya hidup lelaki dalam kajian yang dilakukan McCann Erickson ini mendapati, lelaki Malaysia zaman kini rata-ratanya cenderung membeli-belah sebagai ganjaran kepada kesungguhan yang sudah dicurahkan ketika bekerja.

    “Mereka akan berbelanja barangan yang mahal harganya, bukan saja sebagai ganjaran kepada diri sendiri, tapi juga untuk menunjukkan yang mereka mampu memilikinya,” katanya.

    Lelaki Melayu dulu dan sekarang


    Oleh Diyanah Anuar


    Abhinav Sharma, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson.

    Personaliti maskulin tradisional

    PERNAHKAH anda terfikir perbezaan lelaki Malaysia sekarang dengan jejaka yang hidup lebih 50 tahun lalu? Secara kasar, kelainan itu mungkin tidak ketara kerana dikaburi peranan lelaki yang dikatakan terus dominan berbanding wanita. Namun, jika diamati, cetusan evolusi berlaku dalam kehidupan lelaki dari zaman ke zaman hingga membentuk ciri-ciri lelaki yang dilihat pada hari ini.

    Sebelum ini, tidak ramai berminat menyingkap fasa perubahan atau perkembangan lelaki baik dari aspek apa sekalipun. Ini kerana fokus selalu diberi kepada wanita di mana perubahan dan perkembangan mereka mungkin lebih menarik untuk diambil peduli.


    Namun, sejak 'kuasa' lelaki makin melebar - tidak lagi terbatas dalam kelompok keluarga dan kerjaya sebaliknya dalam pelbagai aspek gaya hidup dan sosial, agensi pengiklanan terkemuka, McCann Erickson Malaysia 'terpanggil' untuk menyelidik evolusi lelaki Malaysia.

    Agensi itu berkongsi hasil kajian menariknya bersama XY - Ikon Lelaki dengan memberi fokus kepada evolusi lelaki Melayu di Malaysia, sejak era sebelum merdeka, pasca merdeka hingga hari ini.

    Bermula dengan cerita lelaki sebelum merdeka yang digelar 'Lelaki Tradisional' dalam penyelidikan ini, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson, Abhinav Sharma menamakan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein; Allahyarham Tun Hussein Onn hingga Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang melambangkan ciri lelaki Melayu tradisional.

    Tan Sri P Ramlee

    Antara ciri lelaki tradisional yang dilihat pada barisan tokoh ini adalah kuasa dimiliki mereka, tanggungjawab selaku pemimpin serta semangat melindungi negara.

    Kata Abhinav, keluarga generasi pertama dan kedua di Malaysia yang menempuh kepayahan hidup pada zaman peperangan, lazimnya memiliki anggota keluarga atau anak yang ramai.

    Setiap anak lelaki yang lahir dalam keluarga besar pada tempoh sukar seperti ini biasanya sukar menerima perhatian saksama daripada ibu bapa mereka, terutama dari bapa.

    "Anak lelaki ini akan membesar secara berdikari dan belajar mengenai sesuatu menerusi pemerhatian dan contoh yang diperoleh dari orang tua.

    "Anak lelaki sulung akan mengikut jejak langkah bapa dan kedudukan lelaki sebagai jantina yang hebat dan pendukung kehormatan keluarga terus menjadi tradisi.

    "Definisi kelelakian yang dipelajari mereka adalah seseorang yang tanggungjawab memelihara kehormatan keluarga dan tradisi ini perlu terus diperturunkan; mempunyai tekad dan keazaman tinggi; boleh membuatkan orang lain takut; akan dihormati; mampu menyara keluarga; sentiasa setia dan hormat kepada yang lebih tua; jujur dan bertanggungjawab serta mampu memiliki lebih daripada seorang isteri," terang Abhinav.

    Abhinav menambah, selain ciri maskulin pada lelaki tradisional yang dijelaskannya, ada juga lelaki tradisional berjiwa lebih lembut. Contoh terbaik, aktor lagenda Melayu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Seniman Negara ini dilihat memiliki ciri serupa seperti keazaman yang kuat untuk berjaya dalam industri hiburan; dihormati dan dikenali serta pernah berkahwin dan bercerai lebih daripada sekali.

    Generasi kedua iaitu lelaki yang membesar dalam acuan tradisional akan meneruskan tradisi bapa tradisional pada keluarganya pula. Mereka adalah individu yang setia; tindakan mereka tidak boleh dipersoalkan; patuh kepada peraturan; tahu apa yang terbaik; pelindung; chauvinistik; tegas dalam soal disiplin serta dihormati.

    Kata Abhinav, masyarakat Asia ketika itu bersifat patriachal (kebapaan). Tiada siapa boleh mempertikai atau membantah sebarang arahan dan keputusan yang sudah diputuskan bapa.

    "Namun, selepas taraf hidup menjadi semakin baik, nilai tradisi yang diwarisi dari generasi sebelumnya sedikit terkikis oleh kemodenan.

    "Anak lelaki generasi kedua ini menghadapi dilema sama ada hendak mengikut tradisi bapanya atau meneruskan perjalanan kehidupan dengan identiti dan caranya sendiri," katanya.

    Pada masa yang sama, golongan anak ini harus melakukan sesuatu yang dapat membanggakan bapa mereka. Mengikut persepsi masyarakat ketika itu, apa yang dapat membuatkan seseorang bapa berbangga dengan anaknya adalah keputusan cemerlang dalam peperiksaan (pangkat A dalam semua subjek) serta menduduki jawatan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera.

    Anak kepada lelaki tradisional biasanya akan berjaya dalam akademik dan memilih laluan karier konvensional kerana takut serta menghormati bapa mereka.

    "Kehidupan anak lelaki yang dibesarkan dalam lingkungan tradisional ini dilihat menghadapi bermacam 'tekanan' dalam hidup mereka. Menurut 'parameter tradisional', mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik di sekolah; menuntut di universiti ternama; tamat pengajian dan memperoleh kerjaya berpendapatan stabil; memiliki kereta dan rumah sendiri; harus mampu dari segi kewangan untuk berkahwin dan membina sebuah keluarga.

    "Satu-satunya contoh atau role model yang dilihat golongan lelaki generasi kedua ini adalah bapa mereka. Justeru, tidak hairanlah jika ramai di antara mereka yang tetap mengikut jejak langkah bapa mereka biarpun minat dan kecenderungan sebenar mereka adalah berbeza," katanya.

    Menyentuh mengenai kajian agensi itu, Abhinav berkata, pihaknya sentiasa membuat penyelidikan seumpama itu bagi mengenalpasti corak dan kehendak pasaran.

    "Ini menjadi maklumat berguna kepada pelanggan kami untuk memasarkan produk mereka.

    "Seiring dengan kuasa beli golongan lelaki yang dilihat kian menyamai kuasa beli yang sebelum ini didominasi wanita, kami mengambil langkah strategik untuk membuat kajian mengenai lelaki tempatan," katanya.

    Kata Abhinav, tinjauan dan kajian ini dilakukan dalam tempoh lima hingga enam bulan berdasarkan soal selidik terhadap 300 responden lelaki pelbagai etnik dan sumber kajian sekunder.

    Gejala Perkataan yang Berubah-ubah

    [Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim]

    (Bahagian Pertama)

    Dalam bahasa Melayu, satu aspek yang perlu difahami ialah bagaimana perkataannya berubah-ubah bergantung, antara lain, pada imbuhan yang digunakan, proses pembentukan kata yang berlaku dan cara perkataan itu digunakan di dalam ayat. Sebagai contoh, perkataan jalan boleh berubah daripada bersifat kata nama (Jalan itu sa­ngat lurus.) kepada kata kerja (Dia berjalan ke sekolah.) semata-mata kerana penggunaan imbuhan ber- dan cara digunakan dalam ayat.

    Contoh kedua ialah bagaimana, melalui proses penggandaan penuh, makna sesuatu perkataan boleh berubah. Agar, misalnya, ialah kata hubung keterangan yang membawa maksud harapan, seperti dalam ayat Makanlah ubat ini agar kamu cepat sembuh. Jika diganda penuh perkataan ini, akan lahir agar-agar yang bererti sejenis tumbuhan (lumut laut), yang jika diproses dan dimasak, menjadi kuih yang sedap dimakan.

    Dengan kata lain, satu perkara yang menarik tentang bahasa Melayu ialah bagaimana perkataannya berubah-ubah. Namun begitu, jikalau perkara ini tidak difahami dengan betul, banyak kesalahan akan berlaku. Sebagai contoh, terdapat perbezaan makna dan cara menggunakan perkataan menjalankan dan menjalani. Jika tidak difahami, kita boleh membuat ayat yang salah kerana setiap imbuhan (meN-...-kan dan meN-...-i) membawa pengertian yang berlainan, seperti yang kelihatan dalam ayat-ayat ini: (1) Jabatan saya menjalankan kursus motivasi. (2) Dua puluh orang pekerja sedang menjalani kursus tersebut.

    Oleh itu, ruangan ini pada kali ini akan menumpukan perhatian kepada aspek ini. Aspek yang pertama ialah perubahan yang berlaku disebabkan perkataan itu mengalami proses penggandaan. Proses ini agak kompleks juga dalam bahasa Melayu, kerana terdapat beberapa bentuk penggandaan, seperti penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak.

    Kes yang pertama beraku pada perkataan yang mengalami penggandaan penuh, iaitu daripada bentuk tunggal kepada bentuk ganda. Proses ini bukan sahaja mengubah bentuknya (daripada bila, misalnya kepada bila-bila) tetapi juga mengubah makna, seperti yang telah dilihat pada perkataan agar dan agar-agar di atas. Bagi bila dan bila-bila, bila ialah kata tanya (Bilakah pelajar itu mengambil ujian?), manakala bila-bila ialah kata adverba yang bermaksud sebarang waktu (Hujan boleh turun bila-bila sahaja.).

    Perubahan melalui penggandaan separa juga boleh berlaku, yang juga membawa perubahan makna. Sebagai contoh, daripada mencari, yang membawa pengertian berusaha supaya dapat atau berjumpa (Dia mencari kucing-nya yang hilang.) kepada mencari-cari, yang bererti berusaha bersungguh-sungguh (Dia merayau ke sana sini mencari-cari kucingnya yang hilang.). Bagi perkataan mencari, terdapat pula proses penggandaan separa yang kedua, iaitu cari-mencari, yang membawa maksud kedua-dua pihak saling mencari (Kanak-kanak itu bermain permainan bersembunyi dan cari-mencari.).

    Perkataan kasih boleh menerima awalan ber-, menjadikannya berkasih yang membawa maksud berasa kasih. Contoh dalam ayat: Orang tua-tua selalu mengatakan “adat berkasih menanggung rindu”. Bentuk berkasih boleh mengalami penggandaan, menjadikannya berkasih-kasihan, yang bererti saling berasa kasih, misalnya Setelah berkahwin pasangan itu amat berkasih-kasihan.

    Demikian sedikit huraian tentang perubahan yang berlaku kepada perkataan disebabkan unsur penggandaan. Kelihatan bahawa bukan sahaja bentuknya berubah tetapi maknanya juga turut berubah.

    Perkara yang kedua yang ingin disentuh ialah tentang berubah golongan kata yang berlaku bergantung pada cara perkataan itu digunakan dalam ayat. Ada perubahan yang berlaku tanpa perubah­an pada perkataan itu. Misalnya bagi perkataan dalam. Dalam ayat Sungai itu sangat dalam, dalam merupakan kata adjektif kerana hadir dalam predikat dan didahului oleh kata penguat sangat.

    Dalam ayat Saya menyimpan wang itu di dalam almari, dalam hadir selepas kata sendi nama di dan sebelum kata nama almari. Ini menjadikan dalam kata arah, iaitu dalam frasa sendi nama di dalam almari. Dalam ayat Dalam hal itu, saya kurang bersetuju., di sini dalam merupakan kata sendi nama dalam frasa sendi nama, kerana hadir sebelum frasa nama hal itu. Dalam ketiga-tiga ayat ini kelihatan bahawa perkataan dalam berubah golongan kata sebanyak tiga kali.

    Perkataan bahasa dapat digunakan dalam ayat mengikut pelbagai golongan kata. Yang pertama ialah sebagai kata nama, seperti dalam ayat Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita. Kedua, bahasa kadangkala digunakan sebagai menggantikan kata hubung komplemen bahawa (Saya tahu bahasa ia malas). Mengikut Kamus Dewan, ejaannya boleh juga basa. Ketiga, dan ini terdapat dalam tulisan lama, bahasa memikul tugas kata adverba yang membawa makna agak atau sedikit, misalnya, Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sepoi-sepoi bermaksud perlahan; maka sepoi-sepoi bahasa bererti agak perlahan. Selain itu, ada juga orang mengatakan gila-gila bahasa yang bermaksud gila sedikit.

    Di samping itu, perkataan-perkataan juga berubah bergantung pada di mana duduknya dalam ayat. Perkataan putih, misalnya, lazimnya dikatakan tergolong sebagai kata adjektif. Contoh dalam ayat: Dia memakai baju putih. Namun begitu, ada kalanya putih digunakan sebagai subjek ayat, misalnya: Putih lambang kesucian. Subjek ayat dalam ba-hasa Melayu terdiri daripada kata nama atau frasa nama. Jika demikian halnya, putih dalam ayat ini dikatakan telah berfungsi sebagai kata nama. Mungkin asalnya ayat ini berbunyi Warna putih melam-bangkan kesucian, yang lama-kelamaan tergugur perkataan warna. Walau apa pun, putih dalam ayat ini berfungsi sebagai kata nama.

    Demikianlah huraian ringkas tentang beberapa aspek perubah-an yang berlaku kepada perkataan dalam bahasa Melayu. Kita hendaklah prihatin terhadap aspek ini agar penggunaan bahasa kita lebih baik dan lebih sempurna. Perbincangan ini akan disambung bulan hadapan.

    Terbitan DBP di Laman Sesawang

    [Oleh Abdul Razak Mohammad]


    TERKINI: Portal kedai DBP.

    Laman sesawang www.kedaidbp.my dibangunkan untuk mempromosi dan memasar­kan terbitan elektronik DBP yang berbentuk VCD/DVD, e-komik dan e-buku. Kini terdapat sebanyak 71 judul terbitan elektronik DBP yang berada di pasaran. Dengan adanya kemudahan ini, pembeli tidak perlu ke kedai buku atau pengedar berhampiran untuk mendapatkan produk tersebut.

    Produk yang dibeli akan dihantar kepada pengguna melalui pos laju dan jaminan akan sam­pai terus ke rumah. Pembeli hanya dikenakan caj penghantaran sebanyak RM 4 bagi setiap produk. Kaedah pembayaran boleh dibuat melalui debit daripada akaun pengguna atau melalui kad kredit Mastercard atau Visa. Sistem ini menerima debit melalui akaun bank seperti Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank, Bank Islam, CIMB Bank, RHB Bank, AmBank, Alliance Bank, Mobile Wallet, Meps Cash, Web Cash, Pos Pay, dan China Online Banking.

    Pembelian adalah selamat dan mudah kerana sistem ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan untuk melindungi pengguna membeli secara dalam talian. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.kedaidbp.my. Jika terdapat sebarang pertanyaan, sila hantarkan e-mel anda kepada pesan@aspati.com.my, tele-fon 03-51929151, 013-3058129. Pembelian melalui www.kedaidbp.my lebih mudah, cepat dan selamat.

    Inspirasi memilih kereta idaman


    Oleh Fairuz Zaidan




    Baik buruk pilih kenderaan baru, terpakai

    KERETA tidak boleh dipisahkan dengan dunia lelaki. Malah, ada lelaki meletakkan kereta di tangga pertama dalam senarai aset atau objek kesayangan. Tidak hairan juga, ada lelaki sanggup berhabis wang bagi memastikan kereta idaman memenuhi selera dan cita rasa diri.

    Bercerita mengenai kereta, tidak dinafikan golongan Adam cukup arif dan mempunyai taste dalam ‘menghias’ kenderaan pilihan. Tidak cukup dengan jenis kenderaan pilihan, aksesori tambahan dimanfaatkan sepenuhnya demi mahu tampil sporty!


    Mengupas ketaksuban lelaki terhadap kereta, XY-Ikon Lelaki cuba menyelam obsesi ini selain menyenarai tip berguna berhubung penjagaan kereta pilihan serta panduan menjimatkan petrol.

    Pengurus Jualan Honda Malaysia Sdn Bhd, Akkbar Danial yang memiliki pengalaman lebih 12 tahun di Jepun, memberi persepsi dan pandangan peribadi mengenai ketaksuban lelaki terhadap kereta serta senario kenderaan pilihan pengguna masa kini.

    Pandangan anda mengenai trend pemilihan kenderaan pengguna masa kini?

    KEHENDAK: Memiliki kereta idaman menjadi impian semua jejaka urban bergaya.

    Keadaan ekonomi dunia serta kesan ketara kenaikan petrol sebanyak 40 peratus manakala diesel 60 peratus secara tidak langsung menyebabkan pengguna lebih memberi tumpuan kepada kenderaan yang menawarkan penjimatan minyak komprehensif. Namun, pengguna tidak mahukan kenderaan yang menjimatkan minyak saja, tetapi aspek reka bentuk dan harga berpatutan.

    Apakah cara terbaik membuat pilihan kenderaan yang mampu menjimatkan kos, bahan api dan praktikal kepada dari segi pemanduan?

    Perkara paling utama harus diteliti ialah bajet kita sendiri sama ada mampu untuk memiliki sesebuah kenderaan. Selain itu, harus juga mengambil kira kekerapan pemanduan sama ada untuk kegunaan harian atau hujung minggu. Alternatif terbaik ialah dapatkan komen teman-teman serta pengguna kenderaan itu sendiri. Kami di Honda misalnya, menyediakan pelbagai jenis kenderaan daripada segmen sederhana kepada kelas mewah bagi memenuhi kriteria dan kepuasan pelanggan.

    Tip menjimatkan minyak bagi anda?

    PENJAGAAN: Penting bagi melakukan servis kenderaan tepat pada masanya.

    Banyak perkara yang boleh dibuat dalam usaha mengurangkan penggunaan petrol. Mungkin kita tidak sedar teknik pemanduan serta faktor persekitaran menambah penggunaan bahan api, sedangkan ada cara tertentu jika diikuti boleh menjimatkan minyak secara total.

    Tip menjimatkan minyak yang praktikal dan logik ialah:

  • Elak menyimpan barangan yang bukan keperluan dalam kereta. Barangan seperti kasut, beg, pakaian, kerusi roda kanak-kanak dan kelengkapan sukan sering disimpan dalam kereta sedangkan ia hanya menambah berat kenderaan. Pastikan jumlah barangan tidak melebihi 150 kilogram.

  • Periksa tekanan udara pada tayar sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Tip yang perlu dipelajari ialah pastikan tekanan udara tayar berada di tahap normal.

    Tekanan udara berlebihan akan menyebabkan pemanduan tidak selesa manakala tekanan udara yang kurang akan menambah geseran tayar di permukaan jalan.

  • Lakukan penyelenggaraan servis kenderaan tepat masanya. Sebaiknya, kenderaan diservis setiap 5,000 kilometer atau tiga bulan sekali. Cara ini memastikan jangka

    hayat enjin berada pada tahap terbaik.

  • Jangan memandu terlalu laju kerana ia meningkatkan penggunaan bahan api.

  • Pastikan gear kenderaan sesuai dengan pemanduan.

    Panduan terbaik membeli kereta baru di pasaran?

    Membeli kereta ini bukanlah seperti membeli makanan. Ia bukan murah. Justeru, penting untuk kita fikir apakah yang terbaik sebelum membuat keputusan. Bukan saja faktor harga, pertimbangan lain juga harus diteliti seperti kelasakan, jangka hayat kenderaan itu sendiri serta potensi harga jual semula apabila tiba masanya.

    Apakah kepentingan melakukan servis kereta tepat pada masanya?

    Kereta boleh diumpamakan sebilah pisau. Jika diasah selalu ia akan sentiasa tajam. Tetapi jika hanya sesekali diasah, ketajamannya tidak sama. Begitulah juga dengan kereta di mana cara terbaik adalah melakukan servis setiap 5,000 sekali. Di Honda, kami menyarankan pelanggan melakukan servis kenderaan tepat pada masanya. Ini penting bagi memastikan kelancaran enjin selain dapat mengesan kerosakan lebih awal.

    Baik buruk membeli kenderaan terpakai?

    Ada baik buruknya membeli kenderaan terpakai. Malah, kenderaan terpakai ini penting dalam segmen kenderaan kerana membantu menjana keseimbangan jumlah kenderaan. Biarpun murah berbanding kenderaan baru di pasaran, harus diambil perhatian soal penyelenggaraan dan keupayaan prestasi kenderaan itu sendiri. Kita harus menyelidik latar belakang pemandu, laporan servis kenderaan dan membawa kenalan yang arif untuk memeriksa kenderaan terpakai terlebih dulu sebelum membuat keputusan membeli.

    Ada berpendapat kenderaan berharga lebih RM80,000 lebih menjimatkan dalam tempoh jangka masa panjang. Apa pandangan anda?

    Pada dasarnya, teknologi yang digunakan untuk kenderaan segmen mewah memberi kelebihan dari segi pemanduan dan menjimatkan petrol. Enjin yang digunakan serta teknologi yang diserapkan pada kenderaan secara tidak langsung menjurus kepada penjimatan. Seperti teknologi hibrid yang sudah pun diperkenalkan pada kereta Honda Civic untuk pasaran Malaysia, ia menampakkan hasil menakjubkan. Selain kenderaan mesra alam, Honda Civic juga menjimatkan kos.

    Nampaknya kenderaan kompak mendapat sambutan cukup menggalakkan di pasaran. Bagaimana anda melihat situasi ini?

    Saya tidak nafikan yang kenderaan jenis ini lebih mendapat sambutan kerana faktor saiz dan penjimatan. Selain faktor saiz, pilihan lain yang menjadi keutamaan pengguna adalah reka bentuk dan keupayaan enjin serta penjimatan minyak yang ditawarkan.

    Tidakkah Honda sendiri merancang membawa lebih banyak segmen kenderaan cc rendah untuk pasaran Malaysia?

    Kita sudah mempunyai segmen kenderaan berkapasiti rendah iaitu kereta model Proton dan Perodua. Sementara Honda memberi tumpuan kepada kenderaan kelas pertengahan dan mewah walaupun di pasaran luar dan Jepun menawarkan model kereta Honda untuk 660cc dan 1000cc. Buat masa ini tiada perancangan ke arah itu namun tidak mustahil akan ada jika permintaan.

    Kelebihan jenama kereta Honda?

    Sesuai dengan logo kami iaitu Honda 'The Power of Dreams', pengguna dapat merealisasikan impian mereka dengan memandu pelbagai segmen kenderaan dari Honda City, Honda Jazz, Honda Civic, Honda Accords hinggalah kepada jenis kenderaan pelbagai guna (MPV). Kelebihannya terletak pada pemanduan dan teknologi yang diterapkan untuk membezakan pemanduan secara total.

    Profil

    Nama: Akkbar Danial

    Umur: 34 tahun

    Tarikh lahir: 4 September 1973

    Tempat lahir: Kuala Krai, Kelantan

  • 20 Ogos 2008

    "Menoleh 52 Tahun ke Belakang, Merenung 50 Tahun Akan Datang"

    []

    Sesuai dengan usia penubuhan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disarankan supaya menilai tahap keberadaan dalam masyarakat pada masa sekarang agar seiring dengan peredaran zaman dan selaras dengan peranannya. Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Datuk Razali Ismail berkata dengan usia lebih daripada setengah abad, sudah tentulah mempunyai pengalaman yang sangat luas.

    Katanya, “sesuai dengan sambutan ulang tahun ke-52 DBP, ini memberi ruang dan peluang kepada kita untuk bermuhasabah diri menoleh 52 tahun ke belakang dan merenung 50 tahun ke hadapan” ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-52 DBP di Balai Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur pada 23 Jun yang lalu.

    Menurut beliau lagi, “perubahan di persekitaran memerlukan kita menanggapi semua ini dengan bijaksana. Masalah pada tahun 2008 tidak boleh menggunakan kaedah tahun 60-an untuk mengatasinya.

    Ia sama sekali tidak sesuai! Zaman berubah dan kita mesti turut berubah mengikut peredaran zaman.”

    Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar dan mantan Pengarah, pesara dan kakitangan DBP, beliau turut melahirkan rasa gembira dengan pendekatan memaksimumkan peng-gunaan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT) yang diberikan perhatian serius. Contohnya, Khidmat Nasihat DBP dalam laman sesawang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat yang memerlukan bimbingan DBP dalam pelbagai aspek.

    Di samping itu, beliau mencadangkan agar badan berkanun ini memaksimumkan peranan cawangan di Sabah, Sarawak dan tiga pejabat wilayah untuk memberi ruang kepada ibu pejabat menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih strategik. Selain daripadaitu, mempertingkat sinergi dengan pelbagai Bahagian di Kementerian Pelajaran dan badan bukan kerajaan seperti Bahagian Sekolah, Bahagian Teknologi Pendidikan dan Bahagian Pendidikan Guru.

    DBP juga disarankan supaya memanfaatkan Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk membantu usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Antaranya Jawatankuasa Memperkasakan Bahasa Kebangsaanyang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Menteri Penerangan, katanya dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 500 kakitangan dan jemputan.

    Sempena ulang tahun ke-52 tahun ini, kira-kira 22 aktiviti dilaksanakandalamprogram "Jom ke DBP" untuk mengimarahkan DBP sebagai gedung intelektual dan mengajak masyarakat mendekati, menghayati peranan DBP sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan berbahasa Melayu.

    Program yang disertai dalam kalangan staf dan masyarakat luar ini diadakan di pejabat Wilayah, Cawangan dan di ibu pejabat. Antaranya Pameran DBP 52 Tahun (Suka dan duka diharungi bersama), bacaan Yasin, Pertandingan Mari Bercerita, Jejak Maklum dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa. Di Wilayah Timur diadakan Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster, Persembahan Boneka Kanak-kanak, deklamasi puisi dan persem bahan gurindam yang disertai oleh kira-kira 200 orang pelajar pra sekolah hingga pelajar tahun empat sekitar Kota Bharu.

    Pada 22 Jun yang lalu pula dilangsungkan sesi intelektual Wacana SeniPakaian Masyarakat Melayu yang menghimpunkan seramai 100 orang peserta daripada kalangan pegawai-pegawai kerajaan, warga pendidik, pelajar IPT dan persatuan-persatuan penulis. Wacana yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, YBhg.

    Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa mengupas tentang keunikan masyarakat Melayu yang bukan sahaja terpancar menerusi bahasa dan adat sopan, malah pakaian juga. Menurutnya, pakaian menjadi salah satu elemen budaya yang penting dalam masyarakat Melayu yang memancarkan nilai-nilai kesenian dan kehalusan si pemakainya.

    JAKSA Peneraju Sektor Swasta Mendaulatkan Bahasa

    Oleh Aliah Abdul Rahim

    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran memperluaskan pengiktirafan penulisan dalam bahasa kebangsaan yang baik, iaitu penulisan skrip drama, artikel majalah, akhbar dan buku sebagai usaha memberikan galakan kepada masyarakat untuk menghasilkan penulisan pelbagai media tersebut dalam bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu.

    Saranan ini timbul dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (JAKSA) yang diadakan pada 11 Ogos yang lalu di DBP, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, YB Datuk Haji Razali Ismail dan dihadiri oleh kira-kira 50 orang ahli daripada pelbagai sektor yang melibatkan jabatan kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan.

    Menurut ahli mesyuarat yang mengusulkan cadangan tersebut, belum ada mana-mana badan yang memberi pengiktirafan penulisan yang baik dari segi bahasa melainkan penghargaan yang diberi terhadap isi kandung­an penulisan, iaitu dari aspek kewartawanan. Justeru, DBP dilihat sebagai satu-satunya badan yang layak memberi pengikti­rafan tersebut.

    Majlis Anugerah Citra Wang-sa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan pada se-tiap tahun sejak 1997 turut memberi pengiktirafan kepada penulis lirik, penulis iklan, penulis skrip filem dan pengacara yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan berkualiti. Namun pengiktirafan sedemikian wajar diperluaskan lagi kepada bentuk penulisan yang lain, iaitu penulisan artikel, berita, rencana dan buku demi mengangkat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai ilmu dan genre dengan baik, bermutu dan berkesan. Anugerah Citra Wangsa 2007 pada tahun ini akan diadakan pada bulan Ogos di Dewan Bankuet, DBP.

    Dalam mesyuarat selama hampir dua jam itu, ahli mesyua­rat juga menyuarakan cadang­an agar Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang juga meru-pakan acara tahunan DBP dapat dilanjutkan daripada sebulan kepada sepanjang tahun supaya pelbagai acara dan aktiviti dapat melibatkan lebih ramai golong-an muda, terutama pelajar di seluruh negeri. Dengan itu acara seperti forum, deklamasi puisi, pertandingan kuiz dan sebagai-nya dapat dimanfaatkan oleh mereka. Selain aktiviti berbahasa Melayu yang serius seperti debat dan pidato, perlu difikirkan aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan untuk menarik minat ramai golongan pelajar supaya mereka lebih berminat untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu.

    JAKSA merupakan salah sebuah jawatankuasa di ba-wah Jawatankuasa Induk Memperkasakan Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dan membina negara bangsa yang sewajar-nya memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak kerajaan dan swasta.

    Mesyuarat JAKSA sebelum ini yang diadakan pada tahun 2006 di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan kerjasama antara DBP dengan pihak berkuasa tempatan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam yang akan dilaksanakan melalui pindaan akta dan undang-undang. Pindaan Akta DBP bertujuan memberi kuasa kepada DBP untuk membetulkan kesalahan bahasa pihak berkenaan dan mengenakan tindakan undang-undang jika tidak dipatuhi.

    Cinta dan Kemanusiaan dalam BPKL

    []

    Rasa cinta dan kasih sayang yang mendalam terhadap kehidupan dan kemanusiaan dalam semangat nasionalisme terus disuarakan dalam siri Baca Puisi Kuala Lumpur (BPKL) yang berlangsung pada 20 Jun yang lalu. Siri ketiga program yang berkonsep santai dan terbuka ini menampilkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasadan Pustaka (DBP), Anding AF2 yang mewakili golongan artis mendeklamasikan puisi.

    Majlis yang diadakan di Ruang Legar, Balai Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur ini dihoskan oleh penyair Sutung Umar RS yang membuka tirai bacaan puisi “Kita Tak Tahu Gelandangan Khuldi” dan “Ketukan di Pintu” karya Dinsman. DatukNoraini yang juga Ketua Puteri UMNO memukau penonton pada malam itu dengan emosi dan penghayatannya mengheret suasana puisi “Warkah Si Ibu Tua” karya sahabatnya, MS Zain. Antara bait-baitnya ialah;

    “Ingatlah antara kaca dan permata pilihan duniawi antara sembah sujud pada satu yang lebih hakiki usah kau kejar cinta pada dunia yang tiada noktahnya usah kau kejar pada ringgit dan bertuhankannya usah kau cinta pada manusia sampai dirimu diperhamba.”

    Pengerusi Lembaga Pengelola DBP pula mengajak penonton menghayati semangat nasionalisme melalui puisi “Dongeng Ketipang Payung”. Di samping itu pula, penerima Anugerah SEA Write 2002, Datuk Dr. Anwar Ridhwan mengetengahkan ketabahan wanita dalam mengharungi pancaroba kehidupan lewat puisi “Mariam”.

    Majlis anjuran bersama Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), DBP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut mengetengahkan bakat Timbalan Ketua Pengarah KPKKW, Mohd Zaki Din yang mendeklamasikan puisi “Jika Kita Cinta”. Manakala yang mewakili golongan artis, Anding mendeklamsikan puisi karya ayahnya Mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Zaini Ozea yang bertajuk “Cinta Bukan Sekadar Pak Pong” dan “Gudanggedung”.

    Penyair muda bersuara lantang, Marsli N.O melontar rasa cinta dan kasih sayang melalui puisi “Negeri Ini Anak”. Pensyarah Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), Mohd. Fauzi Abdullah pula menyelami pengorbanan ibu dan ayah melalui nazam berjudul ”Kasih Ayah dan Ibu”.

    Wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Faridah Hanim Hassan memukau hadirin dengan puisi “Suara Jeritan”. Kelab Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di bawah bimbingan Pensyarah Haslinda Saad, menampilkan empat orang pelajar dengan persembahan puisi berjudul “Pindah Dari Cinta Itu Untuk Dia”.

    Persembahan program yang memukau sekitar 400 khalayak ini turut diserikan oleh Sani Sudin daripada Kumpulan Kopratasa dengan dua buah lagu puisi “Ke Pintu Kasih” dan “Kita ini Semua Saja”. Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi 2006, Badrul Hisham Abdul Hamid pula memikat hadirin dengan karyanya “Air” dan “Permata”.

    Bahasa Melayu di Kemboja



    Hubungan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan negara Kemboja bermula sejak tahun 1999 lagi dengan lawatan Oukhiya Haji Kamaruddin Yusuf, Mufti Negara Kemboja dan YB Tuan Haji Zakaryya Adam, Menteri di Kementerian Hal Ehwal Keagamaan Kemboja (Secretary of State, Ministry of Cults and Religious Affairs, Cambodia) ke DBP. Susulan daripada itu satu rangka program kerjasama telah dirancang untuk mengembangkan bahasa Melayu di Kemboja.

    Program kerjasama kebahasaan yang pertama diadakan di Kemboja ialah pada tahun 2002. Program ini disasarkan kepada penduduk Kemboja yang berketurunan Melayu Cham yang merupakan sebahagianbesar penduduk Kemboja selain Khmer.

    Bahasa Melayu Cham merupakan bahasa yangmasih belumdisusun tatabahasanya secara sistematik.

    Atas faktor inilah DBP melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) mengambil inisiatif untuk mengadakan kerjasama dengan negara Kemboja dalam usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa.

    Program kebahasaan ini diteruskan lagi pada tahun 2003 dan 2005 sebagai kesinambungan usaha terdahulu dalam melatih tenaga pengajar dalam kalangan mereka untuk disampaikan pula kepada masyarakat Kemboja yang lain.

    Pada tahun ini program kebahasaan ini telah diadakan pada 16 hingga 19 Jun yang lalu. Program dimulakan dengan Kursus Penataran Bahasa Melayu selama tiga hari dari 16 hingga 18 Jun di Dewan Pejabat Mufti Kerajaan Kemboja. Seramai 30 orang peserta yang mewakili setiap daerah di seluruh Kemboja seperti: Battambong, Kratie, Kandal, Kampung Cham, Kampung Chnang, Siem Reap dan Phnom Penh menghadiri kursus tersebut.

    Mereka juga merupakan peserta yang pernah terlibat dengan program ini pada tahun-tahun terdahulu.

    Mantan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr. Haji Amat Juhari Moain merupakan satusatunya pakar bahasa yang terlibat dengan program ini sejak dari program pertama lagi. Program pada tahun ini, Tokoh Ilmuwan Bahasa 2003 ini digandingkan dengan Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, penulis yang merupakan urus setia program dan juga tenaga pengajar kursus tersebut.

    Kursus selama tiga hari ini dirasmikan oleh YB Tuan Haji Zakaryya Adam dan YB Dr. Sos Mousine, Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Kemboja (Under Secretary of State, Ministry of Rural Development, Cambodia) menyempurnakan majlis penutupan serta menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.

    Program kebahasaan ini diakhiri dengan perbincangan ringkas bersama Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Adnan Haji Othman di pejabatbeliau di Phnom Penh yang turut memberikan sokongan atas usaha yang dijalankan oleh DBP di Kemboja.

    Pembentukan Istilah dan Kata Pinjaman


    Bersama Hajah Halimah Haji Ahmad

    PERISTILAHAN merupakan usaha mencipta atau menggubal kata baru, terutamanya untuk menyampaikan ilmu pengetahuan khusus dalam sesuatu bidang ilmu atau profesional. Sesuatu istilah itu mempunyai makna yang tepat bagi konteks penggunaan bidangnya, dan dengan itu dapat diberi definisi yang khusus. Istilah boleh dibentuk melalui proses pinjam terjemah atau melalui istilah pinjaman.

    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sejak lebih setengah abad yang lalu telah mencipta kira-kira sejuta istilah dalam pelbagai bidang. Dalam melaksanakan kerja penyusunan istilah, DBP dengan kerjasama pakar bidang dalam Jawatankuasa Istilah tertentu telah bersidang dan meneliti setiap butiran dalam senarai bahasa sumber iaitu, bahasa Inggeris sebelum membincangkannya dan seterusnya memberikan padanan bahasa sasaran, iaitu bahasa Melayu berdasarkan langkah-langkah proses pembentukan istilah yang telah ditetapkan dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Mereka mengabstrakkan konsep daripada bahasa sumber, biasanya bahasa Inggeris. Apa yang terbentang di hadapan mereka merupakan entiti yang bermakna kepada mereka. Tugas mereka adalah untuk mengambil konsep daripada entiti tersebut dan menempatkannya dalam leksikon asli bahasa Melayu melalui proses pinjam terjemah atau menggunakan istilah kata pinjaman.

    Konsep pinjam terjemah (konsepnya yang dipinjam daripada bahasa lain), kemudiannya disesuaikan dan diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran. Sebagai contoh, frasa kapal terbang atau pesawat terbang adalah frasa pinjam terjemah daripada bahasa Belanda, vliegtuig, manakala frasa kapal udara adalah pinjam terjemah daripada kata bahasa Inggeris, air-plane. Begitu juga dengan kata dalam bahasa Inggeris, skyscraper menjadi ungratte-ciel dalam bahasa Perancis. Kini, terdapat sebahagian penutur bahasa Sepanyol menyebut perros calientes (secara literal bermaksud “dog hot”) atau hot dogs dalam bahasa Inggeris bagi menamakan sejenis makanan. Kata bahasa Inggeris honeymoon menjadi lune de miel dengan maksud moon of honey dalam bahasa Perancis dan “bulan madu” dalam bahasa Melayu.

    Antara kaedah dalam proses pinjam terjemah ialah terjemahan langsung. Kaedah ini dilaksanakan apabila wujud kesepadanan istilah bagi kedua-dua bahasa sasaran dan bahasa sumber. Contohnya, akar (bahasa sasaran) merupakan terjemahan daripada root (bahasa sumber), alang (bahasa sasaran) diterjemahkan daripada beam (bahasa sumber) dan cacing (bahasa sasaran) merupakan terjemahan daripada worm (bahasa sumber). Kata padanan dalam bahasa sasaran menunjukkan bahawa sudah wujud kata dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu dan juga dalam pengetahuan ahli peristilahan. Dalam proses pemadanan ini, makna yang dibawa oleh padanan bahasa sasaran adalah sama dengan makna dalam bahasa sumber.

    Melalui proses pinjam terjemah ini ada kalanya juga penggabungan dua kata dapat mencari padanannya yang setara apabila diterjemahkan seperti “pasangan” yang diterjemahkan daripada viability (daya hidup) dan “gila babi” daripada epilepsy. Ada kalanya kesepadanan terjemahan antara kedua-dua bahasa tersebut tidak dapat dicari, seperti terjemahan “denyutan nadi” daripada pulse. Hal ini demikian kerana asas terjemahan dalam istilah adalah ketepatan makna bukan makna harafiah. Selain itu, berlaku juga penciptaan kata baru yang tidak pernah ada dalam bahasa Melayu bagi mendukung konsep baru sama ada dalam bentuk satu perkataan, frasa atau gandaan separa seperti terjemahan “tanih” daripada soil, biak baka daripada breed dan “cecair” daripada liquid.

    Ada kalanya proses pinjam terjemah juga tidak mudah, terutamanya dalam bidang yang lebih khusus dan teknikal. Bahasa Melayu masih kurang efisien untuk mendukung konsep yang saintifik yang timbul bersama-sama dengan kemajuan negara dalam bidang sains, teknologi dan ikhtisas. Kaedah yang sesuai adalah melalui peminjaman dan kaedah ini dilaksanakan dalam pembentukan istilah dalam banyak bahasa di dunia.

    Kaedah peminjaman ini banyak diterapkan oleh penggubal istilah bahasa Melayu dalam bidang yang khusus. Ada bentuk pinjaman yang tidak diasimilasikan, iaitu tidak disesuaikan secara ortografi (sistem ejaannya). Oleh itu, istilah pinjaman ini sama dari segi bentuk mahupun maknanya dalam bahasa asal, seperti istilah “lamina”, “orbit” dan “organ”. Istilah pinjaman yang diasimilasikan separa dengan cara penyesuaian dari segi ortografi bahasa Melayu, seperti terjemahan “analisis” daripada analysis dan “cip” (elektronik) daripada chip. Bentuk ini berbeza dengan istilah pinjaman yang diasimilasikan sepenuhnya, seperti rizab (reserve) dan resit (receipt). Bentuk lain yang wujud ialah kata dasar yang merupakan kata pinjaman dan berimbuhan bahasa Melayu, seperti “kadar kemortalan” (mortality rate) dan “meneutralkan” (neutralise). Frasa “pelarut akues” (bahasa sasaran) yang diterjemahkan daripada aqueous solvent (bahasa sumber) ialah bentuk istilah yang unsur penerangnya ialah kata pinjaman.

    Peminjaman berlaku bukan kerana penggubal istilah bersikap merendahkan martabat bahasa Melayu tetapi sesungguhnya masih banyak makna kata dalam bahasa Melayu yang tidak sejajar dengan makna konsep dalam bahasa Inggeris, dan ada kalanya istilah bahasa Melayu harus digandingkan dengan istilah pinjaman untuk membentuk istilah tersebut. Hasil daripada penyediaan istilah ini telah membawa perubahan dalam leksikon bahasa Melayu.

    Bahasa Melayu seperti bahasa yang lain juga mempunyai kosa kata dalam bahasanya dan memerlukan kata yang dipinjam daripada bahasa lain untuk melangsungkan komunikasi.

    Bahasa Melayu Wadah Komunikasi Utama



    BARU-BARU ini Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta atau ringkasnya JAKSA telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mesyuarat telah sepakat memutuskan beberapa perkara ke arah meluaskan serta meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan sektor swasta sebagai wahana komunikasi utama dalam sektor perdagangan dalam negeri, industri khusus, perkhidmatan ke-wangan dan media massa.

    Banyak perkara yang dibincangkan, daripada isu pelaksanaan bahasa dalam sektor yang diwakili oleh ahli mesyuarat sehinggalah kepada usaha atau cadangan memperkasakan bahasa kebangsaan, sewajarnyalah bahasa Melayu menjadi keutamaan sebagai bahasa pengantar dalam urusan rasmi.

    Sesungguhnya segala yang diputuskan dalam mesyuarat perlu diaplikasikan dalam hal-ehwal pentadbiran serta pengurusan korporat, lebih-lebih lagi produk dan perkhidmatan yang dihasilkan untuk masyarakat seluruhnya. Sebagai bangsa yang merdeka kita mahu melihat negara kita maju mengikut acuan sendiri. Kini masanya sektor swasta bertambah yakin terhadap kemampuan bahasa kebangsaan sebagai wadah komunikasi, pengembangan minda dan pembangunan ekonomi. Untuk memperkasakan bahasa kebangsaan bukan sahaja melalui penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu khususnya bidang kebahasaan, tetapi juga dengan penghasilan produk dan perkhidmatan yang berasaskan bahasa kebangsaan. Malah bahasa kebangsaan dapat melengkapkan ilmu dan maklumat yang perlu diketahui oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.

    Tiada alasan untuk mana-mana pihak mengingkari Perlembagaan Negara dengan mengagung-agungkan bahasa asing kerana bahasa Melayu telah menyediakan kemudah-an lengkap untuk mengungkapkan kata dan istilah dalam pelbagai bidang. Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 ini, bersama-samalah kita menanamkan tekad untuk terus memperkasakan bahasa kebangsaan di tanah air tercinta. Semoga keringat pejuang bahasa yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air lebih setengah abad yang lampau terus mendapat pengiktirafan pemegang tampuk negara.

    18 Ogos 2008

    Maruah Melayu tak harus dipertaruh


    Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

    SIPITANG: Maruah orang Melayu dan golongan Bumiputera tidak harus dijadikan pertaruhan pihak berkepentingan semata-mata untuk menunjuk lagak sebagai wira di kalangan masyarakat.

    Ketua Penerangan Umno bahagian Sipitang, Karmalin Ombi, berkata cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera secara jelas menghina orang Melayu dan Bumiputera.

    "Jangan gadai maruah orang Melayu dan Bumiputera. Jika hendak menjadi `hero', kaji dulu sebelum membuat cadangan yang menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera.


    "Jangan bangkitkan soal (membuka UiTM kepada bukan Bumiputera) kerana ia boleh menggugat keharmonian bangsa yang selama ini hidup tenteram.

    "Sepatutnya, orang Melayu diberi peluang memperbaiki kelemahan untuk setanding dengan bangsa lain," katanya berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Berkelompok Zon Sipitang dan Zon Maritaman di sini, kelmarin.

    Hadir sama, Ketua Puteri Umno bahagian Sipitang, Dayang Maimunah Sidek; Setiausaha Bahagian, Ag Rakawi Ag Mohd Said dan ahli daripada 40 cawangan.

    Kamarlin berkata, status UiTM yang diwujudkan bagi golongan Melayu dan Bumiputera perlu dikekalkan bagi membolehkan graduannya maju secara berdaya saing.

    "Dari segi akademik dan kejayaan profesional, UiTM boleh berbangga kerana melahirkan ramai pemegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan serta swasta," katanya.

    Sementara itu, Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan turut mengingatkan ahli Umno mengekalkan perpaduan supaya kepentingan bangsa Melayu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Walaupun cabaran pada awal penubuhan Umno berbeza berbanding sekarang, katanya, ahli Umno tetap perlu bersatu kerana faktor itu adalah penentu terhadap kesinambungan parti.

    "Kita maklum ini adalah tahun pemilihan jawatan tetapi pada masa sama saya harap tiada pertelingkahan berlaku dalam keluarga Umno Sipitang hingga boleh merenggangkan ikatan.

    "Mereka yang hanya berminat menjaga kepentingan sendiri adalah dalang yang boleh menghancurkan parti, sedangkan keadaan semasa memerlukan ahli Umno bersatu dalam menghadapi pelbagai kerenah yang ditimbulkan pihak luar," katanya.

    Bekas penjajah hasut rakyat takut


    Oleh Rosli Abdul Jalil

    Demonstrasi, perhimpunan haram dan forum sentuh sensitiviti kaum dicetus

    KUANTAN: Pelbagai kaedah digunakan bekas penjajah untuk menghasut rakyat supaya negara ini dilihat tidak selamat di mata dunia, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

    Beliau berkata, penganjuran demonstrasi jalanan, perhimpunan haram dan forum yang menyentuh sensitiviti kaum adalah antara hasutan dan idea yang dicetuskan bekas penjajah untuk mengganggu keharmonian Malaysia.


    “Mereka (kuasa asing) menciptanya dengan bertopengkan kebebasan yang boleh menyebabkan negara kita tidak stabil dan maju bagi memudahkan mereka menjajah semula," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51 2008 dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di sini, semalam.

    Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak. Tan Mohd Aminuddin kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada 51 jabatan dan agensi kerajaan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Seong Hong dan Adun Panching, Mohd Zaili Besar.

    Adnan berkata, rakyat perlu faham bahawa penjajahan bentuk baru tidak lagi menggunakan senjata yang canggih tetapi dengan kaedah mengawal mata wang dunia, melakukan sekatan ekonomi dan globalisasi.

    “Jadi, tanpa ilmu, rakyat tidak mampu menangkis serangan global penjajahan bentuk baru yang dirangka negara Barat yang ingin menjajah semula.

    “Pengalaman pada 1997 dan 1998 membuatkan kerajaan amat berwaspada terutama dengan globalisasi yang dipromosikan kuasa asing, walaupun diakui pasaran terbuka dan penyertaan orang asing dalam ekonomi negara akan menyumbang kepada pembangunan negara.

    "Kita bukan menolak globalisasi secara menyeluruh, sebaliknya kita menerima penyertaan asing secara bersyarat," katanya.

    Adnan berkata, semua yang dikecapi sekarang adalah hasil kerjasama rakyat sesama rakyat dan rakyat dengan kerajaan.

    Beliau berkata, kemerdekaan kita masih muda dibandingkan negara lain tetapi nikmat yang dikecapi menjangkau mereka yang merdeka terlebih dulu.

    Sementara itu, Wan Adnan dalam ucapannya berkata, kesedaran terhadap semangat kekitaan dan cintakan negara perlu ada dalam setiap jati diri dan jiwa rakyat Malaysia.

    Justeru, beliau berkata, rakyat sewajarnya bersyukur kerana negara kekal aman dan sejahtera untuk sekian lama.

    Bachok dipilih lokasi pusat kajian marin


    Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
    krull@bharian.com.my

    Institusi Sains Darat dan Laut buat penyelidikan

    KOTA BHARU: Sebuah pusat penyelidikan marin bagi teknologi ekokejuruteraan dikenali dengan Institut Sains Darat dan Laut (IOES) akan dibangunkan di Bachok dekat sini, membabitkan kos RM25 juta.

    Ketua Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UMMReC), Prof Phang Siew Moi, berkata IOES itu ditubuhkan dengan kerjasama UMMReC untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi bersama program "laut dan angkasa" Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


    Katanya, kos pembangunan IOES ialah RM13 juta, manakala RM12 juta adalah bagi peralatan tambahan dengan matlamat untuk membangunkan satu sistem marin yang padu di rantau ini, selain melancarkan ekspedisi Laut China Selatan.

    "Universiti Malaya (UM) yang terkenal dalam penyelidikan ekologi dan marin biodiversiti akan menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menjayakan IOES.

    "Penubuhan pusat itu juga memenuhi matlamat pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam penyelidikan berasaskan marin terutama dalam meningkatkan hasil tangkapan laut di Pantai Timur selain negara," katanya.

    Phang berkata, kajian bioteknologi marin di pusat itu akan menjuruskan kepada pembangunan sumber marin tropikal yang berpotensi untuk bioperubatan marin, selain teknologi tisu rumpai laut dan bioimformatik.

    “Ada pasaran luas bagi kajian marin dalam bidang farmaseutikal dengan sebanyak AS$52.3 bilion dibelanjakan untuk makanan tambahan kesihatan di Malaysia pada 2002, selain AS$3 bilion dibelanjakan untuk kosmetik,” katanya.

    Beliau berkata, IOES ada lima unit kajian iaitu sumber, bioteknologi dan ekosistem kehidupan marin; kajian pemprosesan pantai serta kejuruteraan pantai; pemantauan sistem bumi; polisi dan perundangan maritim dan geopolitik serta budaya maritim.

    "Dengan penubuhan IOES ini, ia akan menyediakan kepakaran terkini terutama saintis terkemuka dalam maritim, sejarah, budaya dan geopolitik.

    "Selain itu, sebuah institusi terkemuka dalam sains bumi dan laut iaitu National Oceanography Centre Southampton, dijemput menjadi penasihat IOES," katanya.

    Pencinta alam kemuka syor warta hutan simpan


    Oleh Azmi Md Deros





    MB cadang lakukan pembalakan jika pampasan tak dibayar


    ALOR STAR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Pas Kedah supaya mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda yang membabitkan tiga daerah iaitu Padang Terap, Sik dan Baling sebagai taman negara.

    Pengerusi MNS Kedah, Phang Fatt Kow, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga, Dr Chia Soon Hai untuk mengemukakan usul itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.

    Katanya, langkah mewartakan hutan simpan itu sebagai taman negara bagi membolehkan hutan berkenaan terpelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar.

    "MNS dan Dr Chia mencapai persetujuan supaya sesuatu yang konkrit perlu dilakukan untuk menyelamatkan Hutan Simpan Ulu Muda daripada dicerobohi dengan aktiviti yang boleh merosakkan keaslian kawasan itu, termasuk pembalakan lebih-lebih lagi ia adalah kawasan tadahan air yang penting bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

    "Langkah mewartakannya sebagai taman negara juga boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada kerajaan negeri, bukan hanya pembalakan," katanya selepas Forum Selamatkan Hutan Simpan Ulu Muda di sini, kelmarin.

    Kira-kira 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai forum berkenaan.

    Pada Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang melakukan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda jika kerajaan Pusat tidak mahu membayar pampasan RM100 juta sebagai balasan hutan itu tidak ditebang.

    Sebuah syarikat pembalakan dari Sarawak dikatakan sudah menyatakan minat untuk melakukan kerja pembalakan itu dengan kaedah mengangkut balak yang ditebang menggunakan helikopter supaya ia tidak menghempap pokok lain.

    Azizan juga memberi jaminan pembalakan dicadang itu adalah terkawal iaitu hanya membabitkan penebangan tiga batang pokok bagi setiap hektar dan cadangan itu tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

    Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, juga dilaporkan pernah bercadang melakukan pembalakan menggunakan kaedah helikopter sebelum ini, tetapi tidak diteruskan kerana dibantah pelbagai pihak, termasuk Pas sendiri.

    Sementara itu, Dr Chia berkata, hutan simpan itu yang kaya dengan kepelbagaian biologi perlu dipulihara kerana ia adalah aset amat berharga untuk sektor pelancongan.

    "Kami khuatir pembalakan itu bukan hanya menyebabkan sumber air tercemar, malah pelbagai jenis hidupan liar yang menghuni hutan berkenaan, termasuk gajah akan terancam.

    "Jika diwartakan, ia akan muncul sebagai taman negara terbesar di utara Semenanjung," katanya.

    Melaka promosi lokasi teknologi bio dan tenaga perbaharui


    Oleh Amirullah Andi Nur

    MELAKA: Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah aktif bagi mempromosikan negeri ini sebagai lokasi pilihan utama untuk pelabur membuka industri termasuk dalam bidang teknologi bio dan tenaga perbaharui, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Katanya, pada masa sama, kerajaan turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta bijak dalam bidang komputer yang ketika ini menjadi tulang belakang kemajuan ekonomi pada era teknologi maklumat. "Bagi memastikan pelabur terus datang ke sini, kita juga mewujudkan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Multimedia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menampung keperluan pelabur terutama dari segi tenaga kerja mahir," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ibu pejabat baru HE Consolidated Sdn Bhd (HE), sebuah syarikat kejuruteraan terkenal di negeri ini di Jalan Bukit Senjuang, dekat sini. Teks ucapan beliau dibacakan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Yunos Husin. Ibu pejabat baru HE yang turut dikenali The Core atau Pusat Tenaga Diperbaharui, sebelumnya beroperasi di pusat komersial Taman Melaka Raya di Bandar Hilir, dekat sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HE, Dennis Yong dan Naib Presiden Kanan HE, Michele Gei. Mohd Ali berharap, pembukaan ibu pejabat baru HE ini akan dapat membantu syarikat itu dalam memainkan peranan meningkatkan pembangunan ekonomi negeri ini pada masa depan. Sementara itu, Gei berkata, syarikat itu sudah beroperasi lebih 12 tahun di negeri ini dan setakat ini sudah mempunyai beberapa pejabat cawangan di ibu negara selain China, berharap dapat merebut lebih banyak peluang ekonomi di Melaka menerusi pelbagai pelaburan baru pada masa depan.


    Replika Masjid Quba hiasi astaka


    Oleh Baharom Bakar


    PENUH KREATIVITI: Mohd Annuar (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai astaka Tilawah Al-Quran ke-50 sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong di Taman Tamadun Islam Terengganu.

    80 peserta tilawah al-Quran antarabangsa mula perdengar bacaan malam ini

    KUALA TERENGGANU: Replika masjid Quba di Madinah, Gua Hira dan bangunan berbumbung tradisonal Terengganu serta berlatarbelakangkan alam semula jadi menjadi pentas 80 qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 di Taman Taman Islam, di sini, memperdengarkan bacaan.

    Astaka bertemakan `Menjana Ummah Gemilang' diilhamkan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri (Bahagian Arkitek), Mohd Annuar Ngah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan kerajaan negeri.

    Turut menghiasi reka bentuk astaka ialah empat batang tiang dengan lilitan pelepah dan daun kurma serta satu jambatan yang merentasi kawasan berair dan persekitaran berbentuk gurun dipenuhi dengan pokok kurma.


    Konsep reka bentuk astaka yang dicipta dalam masa tiga minggu itu dibahagikan kepada tiga kompenan iaitu binaan berkubah di sebelah kanan pentas, binaan berbentuk gua di sebelah kiri serta bangunan berbumbung berbentuk tradisonal Terengganu.

    Mohd Annuar berkata, tiga binaan pada pentas itu melambangkan secara simbolis tiga perkara penting dalam konsep mereka bentuk astaka iaitu Allah, Muhammad dan syiar Islam.

    Katanya, proses mereka bentuk astaka termasuk penghasilan model dilakukan dalam tempoh tiga minggu sebelum mendapat kelulusan jawatankuasa tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang terdiri daripada pegawai Jakim dan kerajaan negeri.

    "Pada mulanya, kita mereka bentuk tiga model pentas untuk majlis tilawah tetapi jawatankuasa memutuskan menerima model astaka yang menggabungkan seni bina berlatarbelakangkan alam semula jadi seperti berada di gurun," katanya.

    Kerja pembinaan astaka di dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, di sini, mula dilakukan 3 Ogos lalu, manakala replika Gua Hira dan Masjid Quba dilakukan di bengkel JKR negeri di Jalan Bukut Kecil, akhir Julai lalu.

    Mohd Annuar berkata, Gua Hira melambangkan secara simbolis bagaimana Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah selepas menerima wahyu daripada Allah melalui Jibril dan selepas baginda wafat perjuangan itu diteruskan sahabat sehinggalah Islam mencapai kegemilangan dan mencipta tamadun sehingga kini.

    "Persekitaran pentas berbentuk gurun dan dipenuhi pokok kurma melambangkan Nabi Muhammad memulakan dakwah di Makkah manakala gurun yang dibentuk 13 lapis melambangkan seruan dakwah dilakukan selama 13 tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

    "Empat batang tiang dengan lilitan pelepah serta daun kurma di tengah pentas astaka itu melambangkan Masjid Quba iaitu masjid pertama dibina Rasullullah ketika baginda singgah dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah," katanya.

    Beliau berkata, empat tiang itu melambangkan secara sembolis Masjid Nabawi yang didirikan baginda apabila sampai di Madinah dan tapak masjid itu dibina selepas unta ditungganginya berhenti rehat.

    "Di antara binaan berkubah dengan binaan gua terdapat satu lagi arca yang melambangkan Hajarul Aswad yang melambangkan penghubung alam syurga dengan dunia.

    "Di sebelah kiri binaan berkubah terdapat satu jambatan yang merentasi satu kawasan berair dan ianya melambangkan secara sembolis bahawa Islam dibawa dan dikembangkan keseluruh dunia merentasi tujuh benua dan lautan," katanya.

    Mohd Annuar berkata, jika diimbau sejarah, umat Islam terdahulu patuh dan melaksanakan kehidupan dengan penuh taqwa berjaya mewujudkan satu tamadun geliang gemilang dalam pelbagai bidang seperti matematik, perubatan, astronomi, kejuruteraan, falsafah dan senibina.

    Secara keseluruhan, katanya, pembinaan pentas yang akan menjadi tumpuan utama pengunjung bertepatan dengan tema tilawah iaitu Menjana Ummah Gemilang bersesuaian dan bertepatan dengan kehidupan umat Islam.